Ihfazillah Yahfazka - Episod 10


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 10 : Fasbir Sobran Jameela



Selesai kuliah pada hari Khamis itu, Rumaisha segera berjalan ke surau untuk solat zohor secara berjemaah manakala Fadhlin terus pulang ke kolej kediaman kerana didatangi ‘kawan baik’. Kuliahnya sedikit lambat berakhir hari ini sedangkan waktu zohor pun makin awal. Hal seperti ini tidak menjadi sesuatu yang pelik kerana biasa sangat terjadi lebih-lebih lagi jika ada sesetengah pihak yang memandang enteng tentang solat di awal waktu. Suara muazzin  yang sedang iqamat bergema di ruang angkasa. Rumaisha mempercepatkan langkahnya. Selesai memngambil wudhuk, Rumaisha memakai semula tudungnya dan menutup aurat secara rapi dengan lengkap berstokin sepertimana biasa. Kain telekung surau pula sehelai pun tidak ada. Barangkali ahli lajnah surau sedang membersihkannya. Dia cukup yakin pakaiannya itu telah menutup aurat dan boleh digunakan untuk solat, tidak ketat, tidak jarang dan tidak menampakkan warna kulit. Rumaisha segera memenuhi saf pertama. Jarang sekali solat zohor ada lebih daripada satu saf di bahagian muslimat. Tidak tahu pula jika di sebelah muslimin bagaimana. Masih dia ingat seloroh Pengerusi Biro Kerohanian, saudara Ikhwan sementara Rumaisha pada ketika itu memegang jawatan Timbalan Pengerusi dua tahun yang lepas, “Saya cukup tak faham, laluan ke kolej kediaman lelaki dari bangunan kuliah tu satu hala sahaja dengan surau. Tapi masuk sahaja waktu zohor, ramai mahasiswa seolah-olah tak nampak surau, macam ada hijab pula di kawasan surau ini.” Bagaimana nak jaga keluarga nanti kalau solat jemaah pun tak jaga? Setelah mengangkat takbiratul ihram, Rumaisha masih sempat rukuk bersama imam dalam rakaat pertama.

Ramai juga dalam kalangan muslimat yang menimbulkan isu kenapa tidak solat sahaja di bilik? Kita kan perempuan sebaik-baiknya solat di bilik atau di rumah bukan di surau atau masjid? Persoalan- persoalan ini seringkali juga bermain di fikiran Rumaisha suatu ketika dahulu. Apakah tidak patut dia sentiasa berjemaah di surau seperti para muslimin? Jadi, persoalan ini telah dilontarkannya kepada seorang pensyarah Jabatan Agama Islam (JAPIM) yang telah mendapat master dalam bidang Faraid, Ustaz Zulkifli, 

“Apakah tidak boleh seorang muslimat sentiasa ke surau atau masjid kerana katanya bimbang membawa kepada fitnah? Bukankah wanita itu fitnah?”

Jawapannya ialah mengapa tidak boleh? Surau, masjid, kan rumah Allah? Hukum perempuan ke masjid ialah harus. Jika di institut ini, di mana lagi para penuntut ingin menuntut ilmu agama jika bukan di surau kampus atau masjid berdekatan? Kalau penuntut bidang Pendidikan Agama Islam, ya memang tidak dinafikan kuliah mereka penuh dengan pengetahuan tentang pemahaman yang lebih jelas tentang agama Islam. Tapi kalau penuntut-penutut bidang lain, memang langsung tidak ada kuliah agama di dalam jadual masing-masing melainkan hanya dua semester sahaja yang terisi daripada sebelas semester yang ada. Sedangkan memahami dan mendalami tentang Islam itu adalah wajib. Jadi jika sekadar ingin mencari alasan untuk tidak ke surau, terserah tetapi mengapa mahu mengatakan orang perempuan yang pergi ke surau atau masjid itu ini begitu begini. Di kampus ini, ustaz pasti keadaannya sangat selamat dari fitnah asalkan aurat dijaga sepanjang ke surau dan menjaga adab-adab sepanjang berada di Rumah Allah. Nabi pernah berpesan yang direkodkan oleh Abu Daud “Jangan menghalang wanita kamu ke masjid, namun rumah mereka lebih baik untuk mereka.”  Sebaik-baiknya solat di bilik tetapi jika berada di bilik, kita membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti terus obses dengan laman sosial sehingga berlama-lama menghadapnya dan menyebarkan hadis-hadis yang entah sahih atau tidak kerana ceteknya ilmu agama, lebih baik menuntut dengan murabbi yang diperakui pentauliahannya. Ternyata penjelasan ustaz ada benarnya. Dulu, sebelum Rumaisha tidak terlalu rapat dengan surau, hatinya terasa kosong, rasa sangat jauh dengan Allah namun apabila sering bertemujanji dengan Allah di rumah-Nya, wah satu perasaan yang sangat sukar digambar membuncah di hati. Perasaan yang sangat indah!

Selesai bersalaman dengan para jemaah muslimat yang majornya terdiri daripada pensyarah, Rumaisha menunaikan solat sunat ba’diyyah. Selepas itu, Rumaisha menyandang tas tangan di bahunya dan mengkelek laptop Asus dan sebuah fail coklat miliknya untuk pulang ke kolej kediaman. Sebaik sahaja Rumaisha membuka pintu bilik, dia melihat rakan sebiliknya, Fadhlin sedang mengurut-ngurut perutnya. Muka Fadhlin pucat. Dia sedang mengerang kesakitan.

“Lin, kau kenapa ni? Period pain ke?” tanya Rumaisha. Fadhlin sekadar mengangguk.

Rumaisha faham benar bagaimana sakitnya senggugut ini. Senggugut juga dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai ‘premenstrual dysphoric disoder’ atau ‘dysmenorrhea’. Dia juga pernah hampir pengsan menahan kesakitan itu. Selalu juga muntah-muntah hingga terpaksa tidur di tempat mengambil wudhuk di kawasan bilik air berhampiran biliknya itu. Jika masih sakit, maka tidak ada cara lain melainkan memakan pil pain killer. Itu pun kalau dah terpaksa dan terlalu sakit. Makan pain killer terlalu kerap juga boleh memudaratkan kesihatan. Tak fasal-fasal hilang satu penyakit, timbul pula penyakit lain. Tapi kesakitan itu sebenarnya menunjukkan seseorang wanita itu adalah subur. Penyakit ini kebiasaanya akan terus hilang dalam diri seseorang wanita setelah dia melahirkan anak.

“Aku panaskan tungku ya. Sebelum tu, sapukan minyak panas di bahagian perut kau.” Arah Rumaisha selaku orang yang berpengalaman sambil memberikan botol minyak ‘Mastika’ kepada Fahlin. Rumaisha segera mengambil tungku elektriknya yang berbentuk seperti bantal bayi itu lalu disambungkan ke plak suis dengan wayar penyambung. Setelah tungku elektrik mengeluarkan lampu hijau yang menandakan tungku sudah panas sempurna, dia menekan butang ‘off’ pada suis dan menanggalkan tungku dengan wayar penyambung. Rumaisha mengambil tungku yang telah dipanaskan itu lalu dituamkan di bahagian perut Fadhlin. Selepas satu minit menuam, dia akan menyapu minyak ‘Mastika’ pula dan melilit perut kawannya itu dengan kain sarung yang dilipat selebar tapak tangannya dengan cara memanjang. Sesudah itu, Rumaisha menuam semula tungku panas-panas suam itu di bahagian perut. Kaedah ini perlu juga diketahui oleh para suami apabila isteri ditimpa penyakit perempuan seperti ini supaya pengecutan otot-otot rahim yang luar biasa itu boleh dikurangkan dan dengan izin Allah membuatkan pesakit lebih tenang. Ubat-ubatan yang mengandungi hormon juga boleh membantu selain dirawat dengan ‘ibuprofen’ yang membantu menghalang penghasilan ‘prostaglandin’. Hal ini demikian kerana penghasilan hormon ‘prostaglandin’ oleh badan dalam uterus inilah yang menyebabkan pesakit akan mengalami sakit yang teruk di bahagian pinggang dan ari-ari. 

Kain tudung pun belum sempat ditanggal kerana terlalu risau sakit Fadhlin itu melarat. Melihat keadaan Fadhlin yang terlena, dia bersyukur. Tadi Lin berpeluh-peluh menahan sakit, wajahnya juga pucat. Sekarang alhamdulillah keadaannya sudah stabil. Memandangkan kuliah hari ini selesai pada pukul 1.30 petang tidak seperti hari-hari lain yang berlanjutan hingga ke 4.30 petang, Rumaisha tidak akan melepaskan peluang sebegini untuk berehat seketika. Rumaisha menanggalkan tudung dan anak tudungnya. Selesai mengurus diri dan membasuh serta menjemur pakaian yang dipakai ke kuliah tadi di ampaian, dia merebahkan seluruh badannya di atas tilam. Terasa lenguh-lenguh di bahagian belakangnya tadi juga beransur hilang. Allah, selesanya! 

“Sha, aku terlena ke tadi?” tanya Fadhlin tiba-tiba. Dia masih terbaring di atas katil dan wajahnya pula dihadapkan ke arah Rumaisha yang juga sedang berbaring di atas katil bersebelahan dengan jarak 2 meter.

“Aah, Lin. Masa aku tengah mengurut, tengok-tengok kau dah lentok. Lena sampai nak terkeluar air liur basi!” jawab Rumaisha.

“Eh, betul ke Sha? Ya Allah, macam mana aku nak nikah dengan Syuraik nanti kalu air liur basi meleleh mase tidur. Ya Allah malunya aku! Oh tidak! Kau ni pun satu, Sha! Kau urut tadi buat aku rasa selesa sangat. Tu yang tiba-tiba terlentok. Hehe Tapi syukur alhamdulillah hilanglah sikit sakit perut aku ni,” kata Fadhlin dengan mata separa terbuka.

“Aku tak kata pun keluar. Aku kata macam nak terkeluar. Ish, kau ni Lin. Cotton buds dah berapa lama habis?” usik Rumaisha.

“Amboi kau! Cotton buds kau kata. Main ‘halus’ kau ya. Nasib baik aku tengah sakit, kalau tak..” Seloroh Lin.

“Kalau tak, ape? Hah?” Rumaisha mengusik lagi.

“Aku kawinkan kau dengan Uwais, baru tahu! Biar padan muka kau!”balas Fadhlin.

“Pandailah kau. Macam kau pulak mak aku ya. Sempat lagi nak kenakan aku walaupun sakit-sakit macam ini. Tak sedar diri langsung.” Rumaisha membaling bantal kecil ke arah Fadhlin sambil menjeling manja.

“Aku sakit di perut bukan di mulut. Jadi tugas aku untuk kenakan kau masih berjalan seperti biasa. Eh, Sha, apa kata aku minta tolong Syuraik ingatkan Uwais tentang hal tu? Manalah tahu, dia masih menyimpan perasaan pada kau kalau ingatan dia pulih nanti. Lagipun, aku rasa tak ada masalah. Syuraik masih rapat dengan Uwais macam dulu walaupun diorang dah habis belajar kat sini. Kau rasa, okey tak?” tanya Fadhlin serius.

“Hello! Amboi, amboi, amboi. Banyak cantik muka kau! Kau bocorkan rahsia ni, aku ganyang-ganyang mulut kau dengan cili tau.” Kata Rumaisha dengan nada bersahaja.

Best jugak tu. Hehe idea yang bagus! Em, atau kau masih tunggu Si Hafiy, Sha?” tanya Fadhlin menuntut kepastian.

Rumaisha mengeleng dan berkata “Tidak, Lin. Aku tidak sesekali menunggu dia. Aku dah maafkan dia dan aku tidak menyimpan dendam padanya. Malah aku tidak pernah rasa menyesal mengenali dia, Lin. Dia banyak mengajar aku tentang kehidupan. Banyak sekali kenangan yang telah terpahat. Ye lah, kami berkawan bukannya sebulan dua, Lin. Dah bertahun-tahun lamanya. Sepanjang aku kenal dia, banyak selok-belok negara Mesir yang aku tahu. Dari segi bahasa arab pasarnya, suasananya, orangnya dan budayanya semuanya sudah terangkum indah dalam ingatanku seolah-olah aku pernah menjejaki negeri Nabi Musa itu. Namun, inilah hakikat yang kami patut terima. Tidak semestinya yang lama itu akan bertahan dan tidak semestinya yang baru itu akan kekal.” Jawab Rumaisha. Kali ini Fadhlin khusyuk sekali mendengarnya.

“Kau memang nekad ke, Sha? Dah banyak lamaran kau tolak sebab menunggu dia selama ni kan?” Tanya Fadhlin lagi.

“Aku nekad, Lin. Sewaktu aku dapat menghidu persahabatan baiknya dengan gadis itu, aku langsung menunaikan solat sunat istikharah. Kau tahu kan, Lin. Perasaan aku waktu itu terasa hancur sekali. Ye, memang kami tidak pernah meluahkan perasaan satu sama lain dan jarang sekali mengutus berita. Namun kami masing-masing memahami. Aku tidak nafikan, sedikit sebanyak aku juga berharap. Beberapa kali aku solat sunat istikharah memohon agar Allah membantuku untuk membuat keputusan. Namun, Allah belum menemukan aku kepada jawapan yang jelas. Pada suatu malam, aku tidak mampu untuk tidur, Lin. Kupejam-pejam mata, namun mataku masih degil untuk terus berjaga. Aku kira itu isyarat Allah kepadaku tanda doa waktu itu sangat dikabulkan. Aku mengambil wudhuk dan terus menunaikan solat sunat istikharah. Selesai sahaja solat, aku tetap tidak boleh melelapkan mata. Kebetulan minggu itu minggu imtihan, aku membuat sedikit ulangkaji dan pada saat itu jam sudah pun menunjukkan pukul 3 pagi. Aku terdetik untuk mencari maklumat melalui internet. Alang-alang sudah melayari internet, aku log in sebuah laman sosial ini. Allah, aku terkejut, Lin! Aku nampak mereka sangat akrab. Pada waktu itu juga, kepercayaanku kepadanya juga turut runtuh dan lenyap sama sekali! Kini, aku benar-benar yakin itu jawapan Allah untukku. Alhamdulillah, Lin. Sepanjang semua itu berlaku, tidak setitik air mataku menitis keluar. Pada saat itu juga, aku redha dan yakin pasti ada yang terbaik untukku dan untuknya. Soal lamaran-lamaran tu, bukanlah aku menolak sebab dia tapi sebab aku belum bersedia, Lin.” Rumaisha menceritakan dengan panjang lebar.

“Pernah tak kau terfikir kalaulah dia ada kat depan mata kau, apa yang kau akan buat? Kau nak lenyek-lenyek dia jadi sambal ke atau kau nak kisar dia dalam blender?” tanya Fadhlin sambil membuat aksi melenyek-lenyek bantal kecil yang dibaling Rumaisha tadi.

“Haha kau ni, Lin. Merepek je. Hmm.. kalau dia ada kat depan aku, aku nak ucap terima kasih banyak-banyak kat dia, Lin. Aku jadi dewasa dengan perkenalan ni. Aku terhutang budi dengan dia. Dia salah seorang guru pengalaman aku, Lin.” jawab Rumaisha sambil tersenyum.

“Guru pengalaman? Kau masih boleh berlembut dengan dia walaupun dia dah aniaya perasaan kau macam ni? Hmm, aku tahu susah nak buat macam tu kan, Sha? Tapi baguslah kalau kau bertindak macam ni. Tindakan yang matang, Sha! Aku pun tak faham kenapa orang sekarang ni, mula-mula sayang-menyayang, lama-lama dah melayang-layang semua kasih sayang tu dan masing-masing benci-membenci. Benarlah kata-kata Imam Syafie, ‘Manusia yang paling bersifat kekurangan adalah manusia yang selesa dengan dengki dan dendam yang ada pada dirinya.’" sokong Fadhlin tanda dia bersependapat dengan Rumaisha.

“Allah, aku suka kata-kata Imam Syafie tu, Lin. Terima kasih. Hmm aku yang aniaya perasaan aku sendiri, Lin. Siapa suruh aku berharap kan? Allah dah pesan awal-awal, ‘(Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka’ . Semua ini aturan Allah. Allah telah menghadirkan aku seorang guru pengalaman yang cukup hebat. Kalau aku nak benci dia pun atas dasar apa? Aku ni pun banyak perkara yang aku buat, orang tak suka, Lin. Aku sangat terkesan dengan kata-kata ni, pandanglah kebaikan yang ada pada orang lain, dan pandanglah kejahatan yang ada pada diri sendiri nescaya kamu akan menghargai orang di sekelilingmu. ” jelas Rumaisha merungkai segala persoalan.

“Tak apalah, Sha. Kalau dia tidak sanggup menunggu, maka lebih baik kau lepaskan sahaja dia dengan sesiapa pun, asalkan dia menemui kebahagiaannya. Tapi yang ruginya, dia, Sha! Kau sahabat aku, Sha! Aku tahu kau lebih layak dengan orang yang jauh lebih baik dari dia. Jika sebelum kawin dia sanggup buat kau macam ni, apatah lagi kalau dah kawin nanti.” ujar Fadhlin.

“Dia dah mohon maaf dan mengaku yang dia khilaf. Aku dah maafkan dia. Aku rasa tidak ada gunanya untuk dia menunggu lebih lama. Lebih baik aku yang menarik diri. Dengan siapa pun dia nanti, kita sama-sama doakan kebahagiaan dia, Lin. Sekurang-kurangnya, ucapan ‘Aku sangat mencintaimu’ masih kuikat kemas dan tidak pernah kuluahkan kepada mana-mana lelaki ajnabi. Insya-Allah ini ucapan istimewa hanya untuk suamiku. Insya-Allah, Lin!” kata Aisha dengan penuh bersemangat.

“Tindakan kau melepaskan dia amat tepat sekali, Sha! Aku sokong! Hehe aku suka tengok kesabaran kau ni. Kau dah banyak berubah dari dulu kan? Hmm sabar ni satu perkataan yang cukup mudah meniti di bibir manusia namun sukar sekali kan untuk melaksanakannya. Aku seringkali tewas, Sha.” Fadhlin bernada sedikit rendah diri.

“Aku pun sama, Lin. Kalah dengan perasaan sendiri. Sabar ini susah, Lin! Susah sangat. Apabila ditanya kepada Al-Junaid tentang sabar, maka dia berkata : “Sabar itu adalah meneguk kepahitan tanpa berkerut dahi.” Sabar ini sebenarnya berasal dari perkataan sabir iaitu nama buah yang rasanya sangat pahit. Meneguk kepahitan tanpa berkerut dahi? Hmm susah kan, Lin?” Kata Aisha sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya.

“Betul tu, Sha! Kita selalu nasihatkan orang : sabar, sabar. Tapi sepatutnya kita perlu memberitahu orang yang ditimpa musibah itu cara bagaimana untuk bersabar, bukan dengan sekadar menasihatinya supaya bersabar sahaja.” Fadhlin menyuarakan pendapat. Nampaknya perbualan mereka sudah berubah rentak.



“Ya, Lin. Nabi Muhammad mengajarkan kita tentang cara untuk bersabar iaitu pertama, ikrar dan kedua, berdoa. Ikrar iaitu ingat janji bahawasanya kita ini telah mengaku sebagai hamba dan seorang hamba selayaknya sentiasa diuji. Kedua, berdoa supaya musibah yang menimpa kita itu memberi kebaikan kepada diri kita dan semoga dikurniakan Allah ganti yang lebih baik dari sebelumnya. Sebaik sahaja mendapat musibah, nabi mengajar kita untuk terus bersabar waktu itu juga. Bukan dengan mengeluh dan merintih-rintih terlebih dahulu, baru nak bersabar. Itu bukan sabar lagi namanya. Ruwaim juga pernah berkata “Sabar itu adalah meninggalkan mengadu segala ujian kepada makhluk. Allah, aku dah termengadu pada kau, Lin. Astaghfirullah..”  Jelas Aisha dengan nada sedikit kesal.

“Tak apalah, Sha. Kita muhasabah diri kita balik. Hmm, sabar itu indahkan? Fasbir sobran jameela. Maka bersabarlah engkau (Muhammad) dengan kesabaran yang baik. Alhamdulillah, terima kasih, ‘Doktor’ Rumaisha. Perkongsian petang yang menarik untuk aku selaku pesakit kau petang ni. Terima kasih juga rawat aku tadi. Hehe macam berusrah pulak aku rasa. Walaupun kau berlagak kuat depan aku, tapi aku tahu kau masih terluka, Sha. Insya-Allah semoga Allah mengurniakan ganjaran yang besar buat kau, Sha. Jangan lupa, aku sentiasa dibelakang kau. Ana uhibbuki fillah jiddan,  Rumaisha binti Harits!” kata Fadhlin dengan tersengih-sengih.

“Ya, sangat indah, Lin. Sama-sama. Ilmu kau pun apa kurangnya. Terima kasih sudi nasihatkan aku. Dan sanggup di samping aku saat susah dan senang. Ameen ya Rabb! Haha kalau Syuraik tahu, dia pasti cemburu dengan aku ni! Wa ana kaman ya Nur Fadhlin binti Mohd Khusairi. ” usik Rumaisha sebelum mereka tergelak kecil. 

Bunyi telefon Rumaisha tiba-tiba mencelah. Ada kiriman mesej dari seseorang. Rumaisha membaca teks mesej itu satu persatu. 

“Ya, Allah. Layakkah aku?!”



-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s :  Jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
13 Safar 1434 H
27 Disember 2012 (Khamis)
11.59 pagi

Ihfazillah Yahfazka - Episod 9


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 9 : Siapakah Gadis Itu?

Dengan KuasaMu
Jiwaku tergoncang
Terus melayang
Mengembara cinta

Dengan KuasaMu
Hati telah terpaut
Lalu terikat
Ditawan cinta

Bukan bibir ini berbicara
Namun jiwa ini berbahasa
Dalam lamunan ku yakinkan
Kaulah teman kebahagiaan

Tuhan temukan daku penawar
Terluka ditusuk duri cinta
Hanya dia… cuma dia
Yang kan mampu menyembuhnya

Dan terus aku
Terus berdoa
(Hanya dia membawa bahagia)

Dengan KuasaMu
Mataku memandang
Sepenuh sayang
Dia tercinta

Dengan KuasaMu
Pastiku diseru
Dan kan menyatu
Di ambang cinta


Nasyid Kontemporari yang didendangkan oleh kumpulan Nur One yang berjudul Dengan KuasaMu meniti di bibir Uwais ketika mendengarnya menerusi earphone dari alat pemain MP3 sambil dia duduk bersantai di tepi kolam renang rumahnya. Temuduga untuk penempatan guru masih lagi belum menerima apa-apa berita. Memandangkan tahun itu kerajaan telah melaksanakan pasaran terbuka dan usia guru-guru lama dilanjutkan sehingga umur 60 tahun, maka proses penempatannya agak lewat. Uwais masih lagi di rumah dan membantu apa-apa yang dia mampu untuk meringankan kerja ibu bapanya. Bukan keluarganya tidak mampu untuk menyara orang gaji, tetapi dari kecil, Encik Naufal dan Puan Sumayyah mengajar kedua-dua orang anaknya itu supaya berdikari. Untuk keluar bekerja membantu Puan Sumayyah di kilang kerepek milik arwah datuknya pun tidak diizinkan kerana dia baru sahaja sembuh dari koma beberapa bulan yang lepas. Di tepi kolam itu, dia duduk sambil menyinsing seluar trak hitamnya ke paras bawah lutut dan menyelamkan kakinya ke dalam air kolam, tiba-tiba bahu Uwais dicuit.

"Wah! Wah! Wah! Apa tadi? Hanya dia yang kan mampu menyembuhnya? Siapa 'dia' tu bang long? Pergh.. senyap-senyap ye. " usik Salma sambil duduk bersebelahan abangnya.

"Ish budak kecik ni! Abang nak 'jiwang' sikit pun tak boleh! Pengacau betul!" kata Uwais sambil mencubit pipi Salma, adiknya yang berbeza tujuh tahun.

"Ei abang long boleh tahan 'kejiwangan' jugak kan?" tanya Salma sambil tersengih-sengih.

"Alah, tengok la siapa adik dia? Ratu jiwang sedunia!" kali ini usikan Salma berjaya dibalasnya.

"Abang!!" Salma memukul-mukul bahu abang longnya itu dengan pukulan manja. Geram!

"Tak adalah, abang tengok-tengok MP3 abang ni tadi. Abang buka folder fovourite. Tak sangka pula abang layan juga lagu-lagu macam ni dulu kan? Entah bila abang start dengar lagu-lagu macam ni pun abang tak tahu. Tapi, boleh tahan lah lagu ni. Buat abang seolah-olah macam teringat kat seseorang." kata Uwais sambil memainkan semula lagu itu dan terus menari di gegendang telinganya.

"Seseorang?? Cewah! Abang ada suka kat seseorang ke dulu? Hot news! Hot news!" tanya Salma teruja untuk mendengarnya.

"Eei adik ni, bukan setakat Ratu Jiwang, Ratu gosip pun dia jugak!" usik Uwais lagi.

"Ala abang, bagitahu lah adik. Siapa gadis yang bertuah tu? Please.. Please.." pujuk Salma.

"Manalah abang tahu. Tapi abang rasa macam tu. Entah ya entah tidak, abang tak tahu." jawab Uwais selamba.

"Aah! Abang kan hilang ingatan. Tapi kalau betullah apa yang abang cakap ni, kita kena siasat, bang? Nanti kalau orang lain masuk line, melepaslah abang!" Salma bernada sedikit serius.

"Kecoh la adik ni. SPM tak lagi, tiba-tiba pulak nak jadi FBI. Abang cool je, adik pulak yang gelabah tak tentu pasal! Dah, dah! Jangan biarkan hidup adik diselubungi... misteri," Uwais sempat lagi menggayakan seperti gaya pengacara Misteri Nusantara sementara Salma masih ligat mencari solusi. Uwais hanya mampu tersenyum melihat rupa adiknya itu dan menguis air ke arah Salma. Mereka berbalas-balas sehingga kebasahan.

Dalam hati Uwais, satu soalan tiba-tiba singgah, jika betullah ada seseorang yang pernah mengisi ruang hati, siapakah gadis itu?




-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s :  Jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
5 Safar 1434 H
18 Disember 2012 (Selasa)
9.32 pagi

Ihfazillah Yahfazka - Episod 8


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 8 : Melihat Dengan Pandangan Hikmah


Bunyi esakan pada dinihari itu menyebabkan Fadhlin terjaga. Jam di tab menunjukkan pukul 4.57 pagi. Ya, sungguh itu tidak pelik jika Rumaisha yang kuat di siang hari menangis seperti anak kecil di tikar sejadah pada waktu sebegitu. Cuma tangisannya hari ini benar-benar menggambar hati kecil yang luluh. Fadhlin masih dalam keadaan termamai-mamai cuba mengintai Rumaisha dalam kepekatan malam. Melihat keadaan Rumaisha seperti itu, Fadhlin yang masih mencari-cari jawapan juga ikut menangis. Rintihan Rumaisha kepada Kekasih Hati yang Maha Mendengar itu benar-benar membuat Fadhlin turut merasa tempiasnya.

'Aisha, aku lagi berdosa daripada engkau. Tapi aku liat untuk bangkit qiam. Kau menangis seolah-olah kaulah yang paling berdosa. Allah!' Fadhlin bermonolog dan terus bangkit mengambil wudhuk sambil matanya masih dibanjiri air mata keinsafan.

Hujung minggu ialah hari istirehat untuk para mahasiswa di sini. Namun, bukan untuk Rumaisha. Hari minggu bukanlah hari untuk bersenang-lenang. Goyang kaki seperti yang dilakukan oleh mahasiswa lain. Tiada kuliah tidak bererti kita perlu tidur hingga matahari meninggi. Malah, hujung minggu lah hari untuk perbaiki diri. Seperti kebiasaannya, setiap hari Sabtu Rumaisha akan bertemu janji bersama adik-adik usrah. Mereka akan melakukan aktiviti riadah bersama-sama sambil mendekatkan diri dengan Kekasih Maha Cinta.

Dialah yang menciptakan cinta,
pastinya Dia Maha Tahu apa yang dicipta.
Pelik!
Ramai manusia yang mengemis cinta daripada pengemis juga.
Para pengemis ini majornya tidak tahu apa itu sebenar-benar cinta.
Ramai di antara mereka itu pembohong dan pendusta.
Hanya nafsu yang mengaburi mata.
Batu-bata dibilangnya permata.
Itukah manusia yang digelar hamba?
Seringkali lupa.
Hidup mereka dalam dunia rekaan mereka semata-mata,
dan menunggu detik untuk binasa bila-bila masa.
Sedang kehidupan yang abadi itu benar-benar nyata,
apakah mereka masih buta?

Nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhi dari segala sifat 'buta'.

'Apakah sama orang yang melihat dan orang yang buta?'

Sejak dari subuh tadi, Rumaisha masih belum berganjak dari surau. Di situ, dia duduk bersila dengan mushaf berwarna coklat miliknya. Sehari, dia akan menghafal sekurang-kurang satu muka surat. Dari sebelum subuh lagi iaitu sebelum ke surau untuk solat subuh berjemaah, dia sudah bersiap-siap dengan tudung labuh berwarna pic dan berpakaian riadah. Sambil menunggu detik temujanji tiba, iaitu sekitar pukul 7.33 pagi, Rumaisha menunaikan solat sunat israk. Solat Sunat Isyrak ialat solat sunat dua rakaat yang dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.

Tirmizi merekodkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyrak). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.”

Pesan Rasul yang amat dirindui Rumaisha itu akan sentiasa tersemat di hati. Tidak ada kejayaan melainkan dengan mengikut sunnah Rasul.

Selesai memakai kasut sukan di tangga surau, Rumaisha ditemani Fadhlin bergerak ke padang kampus, tempat pertemuan seperti yang telah dipersetujui semua ahli usrah. Alhamdulillah kabus pagi yang masih menebal menyapa pipi Rumaisha. Angin berhembus perlahan-lahan membangkit rasa damai yang menyejukkan. Dalam perjalanan, Fadhlin memandang Rumaisha dengan seribu satu persoalan.

"Aisha, kau okey ke?" tanya Fadhlin, lembut.

"Alhamdulillah. Kenapa kau tanya macam tu, Lin?" Rumaisha membalas pertanyaan dengan pertanyaan.

"Hafiy buat kau terluka lagi kan? Aku dah agak. Aku memang dah agak. Lepas dia call semalam, aku nampak kau lain." Fadhlin sedikit beremosi.

"Tak adalah." Rumaisha sekadar membalas hambar.

"Tolonglah cerita kat aku, apa yang dah jadi semalam. Apa yang si Hafiy tu cakap dengan kau sampai kau jadi macam ni?" Fadhlin masih tidak berpuas hati. Semalam dia masuk ke dalam surau terlebih dahulu supaya Rumaisha tidak rasa terganggu untuk menjawab panggilan.

"Jadi macam mana, Lin? Aku macam biasa je. Tak ada apa-apa."

"Please.. kalau aku betul-betul kawan kau, bagitahulah aku. Kongsilah kesedihan kau tu dengan aku." rayu Fadhlin.

"Aku tak sedih, Lin. Aku bersyukur. Ini sebuah hadiah daripada Allah. Hadiah ketenangan, Lin. Alhamdulillah," jawab Rumaisha.

"Kenapa ni, Sha?" Fadhlin terus mengasak.

Pertanyaan Fadhlin menyebabkan Rumaisha mengingat kembali detik dia mendapat panggilan dari seorang pemuda yang bernama Hafiy semalam. Pemuda yang digelar Aisha sebagai Pemuda Ardhul Kinanah itu sedang menuntut di sebuah Universiti tertua di dunia, Universiti Al-Azhar.

Hafiy


Hafiy : Assalamualaikum, Aisha.

Aisha : Waalaikumussalam warahmatullah.

Hafiy : Aisha, sihat?

Aisha : Bil khair, alhamdulillah, Fiy.

Hafiy : Tengah buat apa ?

Aisha : Dalam perjalanan ke surau. Ada apa sebenarnya, Fiy?

Hafiy : Sha masih termakan hati lagi ke? Hafiy minta maaf. Hafiy minta maaf, Sha.

Aisha : Apa? Tak. Sha makan nasi, tak makan hati.

Hafiy : Aisha, Hafiy betul-betul ni.

Aisha : Ya, betul. Hafiy buat salah apa ya?

Hafiy : Aisha, Hafiy mengaku Hafiy silap. Dia bukan siapa-siapa. Hafiy sekadar nak buat Aisha cemburu. Hafiy minta maaf sangat-sangat. Hafiy silap.

Aisha : Hafiy, janganlah risau. Aisha tak apa-apa.

Hafiy : Kalau tak ada apa-apa, kenapa mesej tidak berbalas, Sha?

Aisha : Aisha minta maaf, Fiy. Aisha takut.

Hafiy : Takut?

Aisha : Ya, Fiy. Aisha takut selama ini Aisha telah mengambil sesuatu yang bukan milik diri sendiri.

Hafiy : Maksud Sha?

Aisha : Fiy, mungkin dia jodoh Fiy. Sha telah ambil hak dia tanpa Sha sendiri sedar.

Hafiy : Apa yang Sha cakap ni? Mustahil, Sha! Kita dah lama berkawan. Jauh di sudut hati Hafiy, Hafiy ingin jadikan Sha suri hidup. Sha, tolong Sha. Hafiy tahu jarak yang jauh macam ni memang agak sukar untuk kita. Apa lagi, waktu di sini dengan di tanah air berbeza. Tapi, insya-Allah kita kena kuat, Sha!

Aisha : Lama berkawan itu bukan penentu, Fiy. Muhammad Hafiy, yang terpuji lagi yang memuliakan. Nama Hafiy cukup cantik. Yang memuliakan. Aisha tahu dia gadis yang baik, Fiy. Cuma dia perlukan bimbingan. Bimbingan dari seorang bakal ustaz seperti Hafiy. Muliakanlah dia, Fiy. Insya-Allah, Aisha benar-benar ikhlas.

Hafiy : Tidak, Sha. Kenapa Sha macam ni? Kenapa ? Atau di sana ada yang lagi layak dari diri ini, Sha ?

Aisha : Fiy, apakah Hafiy tahu bahawa gadis melayu adalah gadis yang paling setia? Cuma keadaan sekarang sudah berbeza. Dulu, waktu kita kenal, Aisha masih jahil, Fiy. Mendambakan kasih dari seorang lelaki yang tidak berhak. Di sini, Aisha belajar banyak perkara yang selama ini Aisha langsung tidak tahu.

Hafiy : Tolong, Sha. Teruskanlah kesetiaan itu untuk lagi dua tahun. Hafiy benar-benar berharap.

Aisha : Hafiy, andai tercatat di Luh Mahfuz itu ada jodoh antara kita, pasti ada! Tapi jika tidak ada, maka semua ini sia-sia belaka, Fiy. Hafiy, Hafiy seorang penuntut di universiti yang melahirkan ramai alim ulama'. Gedung ilmu agama yang sangat diidami oleh segenap orang Islam dari seluruh dunia untuk menimba ilmu di situ. Pastinya, ilmu Hafiy jauh lagi tinggi maqamnya dari Sha. Aisha tidak sanggup untuk mengambil sesuatu yang sepatutnya menjadi milik orang lain. Bagaimana jika isteri yang benar-benar berhak untuk Hafiy nanti menuntut dengan Sha di akhirat kelak? Sha, tak sanggup, Fiy.

Hafiy : Sha..

Aisha : Hafiy. Sudahlah, Fiy. Anggaplah dahulu kita sama-sama tak tahu. Walaupun kita jarang berhubung dan tidak pernah menyatakan perasaan masing-masing, tapi Hafiy tentu bersetuju jika Aisha katakan selama kita begini, ibadah kita tidak khusyuk, bukan?

Hafiy diam sahaja.

Aisha : Fiy, dia calon terbaik buat Hafiy. Usah bermain-main dengan perasaanya, Fiy. Jangan buat dia terluka lagi. Antara kita, tidak pernah Aisha menganggap dia orang ketiga. Luculah kalau Aisha beranggapan seperti itu sedangkan kita tidak ada ikatan apa-apa. Aisha cukup yakin yang dia benar-benar berharap pada Hafiy. Jangan kecewakan dia, Fiy. Insya-Allah dialah isteri solehah yang Hafiy cari selama ini. Sha doakan.

Hafiy tetap juga berdiam dan esakan mula kedengaran dalam talian.

Aisha : Jiwa Hafiy lembut dan sangat penyayang. Janganlah begini, Fiy. Ambillah semangat Presiden Morsy yang tidak gentar dengan ujian. Semua ini pelajaran dari Allah buat kita.

Hafiy : Rumaisha binti Harits, sungguh kaulah gadis solehah yang aku nanti-nantikan. Janganlah Aisha menghukum Hafiy sebegini disebabkan kesilapan itu, Sha.

Aisha : Hafiy, semua manusia ada kelemahan. Dari kelemahan, lahirnya kesilapan. Tapi dari kesilapan itulah kita belajar tentang kehidupan, kan? Siapa Aisha untuk menghukum Hafiy? Ini bukan hukuman, Fiy. Tapi satu kenyataan yang sebenarnya kita perlu tahu dari dulu lagi. Emm Fiy, maafkan Aisha ya. Waktu zohor di sini sudah masuk. Kiranya, sampai di sini sahajalah, Fiy. Aisha akan tetap doakan kebahagiaan Hafiy, Insya-Allah. Assalamualaikum.

Hafiy : Sha.. waalaikumussalam.

Talian terputus di situ dengan diakhiri esakan Hafiy.

"Rumaisha? Sha?" Fadhlin menegurnya.

"Ha! Ya, ya!" Rumaisha tersedar.

"Aku tanya kau ni, susah sangat ke nak jawab?" Fadhlin masih menuntut Rumaisha untuk menjawab persoalan-persoalan tadi.

"Ya, mak cik Fadhlin! Hafiy seorang lelaki yang baik, Lin. Aku akan tetap doakan kebahagiaan dia." Rumaisha membalas sambil tersenyum dan berlari menuju ke padang. Alhamdulillah, dia awal seminit dari masa temujanji. Kelihatan kelapan-lapan orang adik usrahnya termasuk Mas dan Ifah sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk menunggu di situ.

"Sha, tunggu aku!" Fadhlin mengangkat tangan kanannya memberi isyarat dan terus berlari mengikut Rumaisha untuk sama-sama berusrah.


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s :  Jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
1 Safar 1434 H
14 Disember 2012 (Jumaat)
10.33 pagi



Ihfazillah Yahfazka - Episod 7


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 7 : Panggilan dari Mesir


Kuliah pada hari ini usai pada pukul 12.30 tengah hari, sejam awal dari hari-hari biasa. Matahari terik di atas kepala. Kerongkong terasa kering sekali. Alhamdulillah Kafe Kak Chik masih dibuka. Pantas kaki menyusun langkah menuju ke kafe itu. 

"Kak, air sirap, dua. Bungkus ya."

Selepas memesan air sempat Rumaisha mengintai kelibat Kak Chik di bahagian dapur, tapi tidak ada. Pemilik Kafe itu sangat mesra orangnya, ramah dan mudah didampingi para penuntut di kampus.

"Kak Chik, kat mane kak?" Rumaisha bertanya kepada pekerja Kak Chik yang sedang menuangkan ais ke dalam plastik. 

"Dia keluar,dik. Mungkin sekejap lagi, dia balik lah tu." jawab wanita itu sambil mengikat bungkusan air yang dipesan tadi kemudian meletakkannya di atas sebuah dulang. Rumaisha membuat pembayaran selepas mengambil bungkusan air itu.

"Terima kasih. Beli ya, kak." Rumaisha membuat akad jual beli seperti yang disarankan Islam semasa membeli atau menjual sesuatu barang.

"Jual, dik" lafaz ijab dari Rumaisha disambut dengan lafaz kabul. Fadhlin yang dari tadi menemani Rumaisha hanya duduk sahaja di bangku. Ramai juga yang menggelar Fadhlin sebagai puteri lilin. Jika panas, maka dia tidak akan banyak bercakap. 

"Aisha, kenapa kau selalu sebut beli ya, kak? Itu bukanke zaman dulu-dulu je orang buat macam tu?" Fadhlin bertanya sambil jari-jemarinya yang runcing membuka ikatan pada plastik bungkusan air sirap.

"Aku tak adalah pandai sangat dalam bab-bab ni. Tapi aku berkongsi la setakat yang aku mampu. Baiklah, kebanyakan orang Islam mengucapkan terima kasih semasa proses ini dilakukan tapi tertinggal satu lagi perkara penting dalam akad jual beli iaitu lafaz ijab dan qabul. Berterima kasih itu sunnah nabi kerana nabi pernah berpesan, 'Jika kamu tidak berterima kasih kepada manusia maka kamu tidak berterima kasih kepada Allah.' Tapi akad jual beli juga terkandung dalam sistem muamalah Islam. Sebarang bentuk jual beli harus ada akad. Selepas melakukan akad, barulah sah jual beli kita tadi. Ulama fiqh sepakat bahawa unsur utama dalam jual beli adalah kerelaan antara penjual dan pembeli. Ini kerana kerelaan itu berada dalam hati, maka harus diwujudkan melalui ucapan ijab dari pihak penjual dan kabul dari pihak pembeli. " terang Rumaisha panjang lebar. Dengan lafaz 'Bismillahirahmanirrahim' dan doa 'Bismillahillazi la Yadhurru ma'asmihi sayai-un Fil ardhi wa lafisama' wahuwassamiul a'lim', Rumaisha menghirup air sirap dengan menggunakan straw. Alhamdulillah. Kerongkongnya terasa sejuk dan mendamaikan.



"Oh macam tu. Ingatkan nikah je ada akad, rupa-rupanya jual beli pun ada? Hmm.. tapi tadi kan kau cakap lafaz ijab dari pihak penjual, tapi selalunya kau yang lafaz dulu kan?" teruja Fadhlin dengan ilmu yang baru dimakluminya tadi.

"Hal-hal macam ni selalunya orang berniaga pun ramai tak tahu. Jadi kita sebagai pembeli yang tahu, kita yang sepatutnya mengingatkan mereka dengan cara kita dahulukan lafaznya. Insya-Allah, dari situ pembelajaran tidak langsung berlaku. Manalah tahu, dengan cara itu, peniaga boleh biasakan diri." Fadhlin  mengangguk dengan penjelasan Rumaisha.

"Wah, dari mana kau belajar semua ini, Aisha?" Fadhlin terus bertanya.

"Masa di sekolah menengah, Lin. Dulu aku minat sangat dengan subjek Syariah Islamiyyah." Rumaisha    menghirup lagi air sirap itu.

"Kenapa kau tak sambung belajar dalam bidang tu je Sha?" Fadhlin terus mengasak Rumaisha dengan soalan.

"I will. Tapi bukan sekarang. Insya-Allah satu hari nanti, Lin. Kau doakan aku ya" jawab Rumaisha. Tenang. Fadhlin mengangguk. Selesai minum, mereka berjalan menuju ke surau kampus.

'Assalamu alayka ya
Ya Rasulallah
Assalamu alayka ya habibi
Ya Nabiyyallah'

Suara Maher Zain menerusi lagu Assalamu alayka berkemundang melalui telefon bimbit yang tersimpan dalam tas tangan berwarna coklat milik Rumaisha. Bunyi itu menandakan ada panggilan masuk. Rumaisha mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor yang panjang bermula dengan angka 2 terpampang di skrin telefonnya. Walaupun nama tidak muncul di situ, tapi dia kenal benar dengan nombor itu. Sangat dikenalinya suatu ketika dahulu.

"Siapa, Sha?" Tanya Fadhlin sambil berkerut dahi apabila air muka Rumaisha berubah setelah melihat skrin tersebut.

"Dia, Lin." jawab Rumaisha.

"Siapa? Ustaz Uwais ke?" Fadlin meneka. Rumaisha mengelengkan kepalanya. Ternyata tekaannya meleset. Masakan Ustaz Uwais, tentu sekali Ustaz Uwais ke masjid untuk solat Jumaat. Lagipun, dia seboleh-bolehnya tidak akan menelefon akhawat jika tidak ada urusan. Tambahan pula, sekarang ini, Uwais langsung sudah tidak ingat kejadian 3 tahun lepas.

"Budak Mesir tu ke?" Fadhlin meneka lagi. Kali ini, Rumaisha mengangguk.


********

Hasifah menampal sekeping nota di papan meja belajarnya itu. Setelah ditampal, Hasifah membacanya sekali lagi walaupun sudah beberapa kali dibacanya:

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah saw bersabda : Sungguh menakjubkan keadaan seorang yang beriman, sesungguhnya seluruh keadaannya baik. Itu tidak dimiliki oleh sesiapapun kecuali oleh seorang yang beriman. Jika dia diberi kesenangan, dia bersyukur maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka itu juga baik baginya. (Riwayat Muslim)


Tulisan jawi dan rumi yang cukup indah. Seindah pemilik tulisan itu. Hasifah tersenyum. 

"Kak Aisha, terima kasih atas ingatan ini. Ifah cinta akak kerana Allah." Hatinya melakarkan rasa syukur dan cinta kepada seorang insan yang bernama Rumaisha. 

Sejak kejadian tempoh hari, dia makin dekat dengan Allah. Sentiasa ke surau kampus. Mas juga tidak jemu-jemu memberinya semangat dan tunjuk ajar. 

'Ya Allah, aku benar-benar merasakan ketenangan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. ' 

-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Untuk mengetahui lebih lanjut tentang muamalah dalam Islam. Banyak kitab yang menjelaskan hal ini. Kalau sahabat-sahabat masih ada buku teks Syariah Islamiyyah Tingkatan 4, sahabat-sahabat boleh jenguk di situ atau kalau nak lagi pantas boleh kunjungi laman web ni, JAKIM. Jadi, siapa budak mesir tu? Ingin mengetahuinya, jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
28 Muharam 1434 H
12 Disember 2012 (Rabu)
10.50 malam

Ihfazillah Yahfazka - Episod 6


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 6 : Usrah, Pengikat Ukhwah


Masturina menghampiri katil di wad kecemasan itu, kak Aisha tidak ada sementara Hasifah masih lagi berbaring lemah. Sekeping nota bertulis kelihatan di bawah gelas yang bertelangkup, dibacanya.

'Assalamualaikum. Mas, akak pergi musalla sekejap. Kalau ada apa-apa cari akak kat sana ya. Syukran my dear.. :D'

Masturina melipat semula nota itu. Dia sangat kagum dengan kakak naqibahnya itu. Seorang yang sangat banyak bersabar melayan karenah mad'unya. Hari ini juga, Kak Aisha sanggup tidak menghadiri kuliah kerana mahu menjaga Ifah. Sepatutnya, dialah yang perlu menjaga Ifah kerana Ifah teman sebiliknya. Tapi Kak Aisha tetap bertegas kerana Kak Aisha tahu hari ini, Mas terlibat dengan pembentangan. Jika tidak hadir, pasti markahnya akan dipotong.



'Mas...' Ifah memanggil Masturina dengan nada yang lesu.

"Ifah, alhamdulillah awak dah sedar." Masturina mengenggam erat tangan sahabat sekelasnya itu.

"Saya kat hospital ke ni?"Tanya Ifah.

"Ya. Tadi awak pengsan. Kak Aisha tolong hantarkan." jawab Mas.

"Kak Aisha? Mana dia? Dah balik ke?"

"Dia kat musalla sekarang. Saya pasti tentu dia solat sunat memohon kesejahteraan awak, fah." jelas Mas selaku mad'u yang paling rapat dengan Rumaisha. 

Dia faham benar dengan Kak Aisha. Jika ada masalah, Kak Aisha pasti akan segera melakukan solat sunat. Mas juga pernah bertanyakan kepada sahabat karib kakak naqibahnya, Kak Fadhlin, "Apa yang Kak Rumaisha buat sehingga kata-katanya apabila Mas dengar, Mas jadi seronok nak dengar lagi. Hati Mas jadi cenderung untuk terus mendengar nasihat-nasihatnya tidak kira sewaktu berusrah dan di luar waktu usrah." 

Kak Fadlin menjawab dengan mengatakan, Kak Aisha tidak pernah meninggalkan ibadah malam dan solat Fardhu berjemaah jika tidak ada keuzuran. Jika dia tak boleh solat pun, dia tetap bangun seawal 4.30 pagi untuk berzikir dan bermunajat serta membaca ayat-ayat Al-quran yang telah dihafalnya.

Bermula dari saat itu, Mas jadi ketagih untuk mendengar serba-serbi tentang Kak Aisha. Dia merupakan peminat rahsia Rumaisha.

Tiba-tiba Masturina terperasan bahu sahabatnya terhinggut-hinggut. Dia pantas menarik badan Ifah yang berkalih setelah nama Kak Aisha disebut tadi agar berpaling menghadapnya.

"Fah, kenapa ni?" Masturina terkejut memandang mukanya yang merona merah dengan mata bengkak digenangi air. Berjujuhan mengalir di pipinya. Serba salah pula Masturina dibuatnya. Adakah perkataan-perkataanya tadi telah membuatkan Ifah bermandi luka.

"Ifah, sa..saya minta maaf. Saya tak ada niat nak buat awak menangis. Sa...saya bersalah, fah. Maafkan saya. Saya tak sengaja." Dada Mas mula dihurung sebak.

"Tak, Mas. Bukan salah awak, Mas. Salah saya. Saya malu dengan awak..dengan Kak Aisha. Dari dulu lagi awak dengan Kak Aisha ingin menolong saya. Menarik saya dari terjatuh, tapi saya degil, Mas. Degil." manik-manik jernih berjuraian dari tubir mata. Dia benar-benar menyesal.

"Ifah.. dah la tu. Tak usahlah awak ingat perkara yang lepas." Mas cuba memujuk sebelum air matanya juga mengalir keluar.

"Mas.. maafkan saya, Mas. Maafkan saya.." Kali ini Hasifah sudah teresak-esak.

Mas memeluk Ifat erat supaya sahabatnya itu lebih tenang. 

"Mas, mana Kak Aisha? Saya teringin benar nak jumpa dia, Mas."

Tiba-tiba Kak Rumaisha muncul. Rupa-rupanya Kak Rumaisha sudah ada di situ saat mereka berpelukan.

"Akak kat sini, fah." suara lembut Kak Aisha menambahkan lagi esakkan kedua-duanya.

"Akak..." Ifah memanggil sambil merenung sayu seorang wanita yang telah lama bersabar dengan segala perlakuan buruknya itu dan selalu sahaja mengelak untuk menghadiri usrah.

Kak Aisha terus memeluk Hasifah. Akhirnya pecah juga empangan air mata Rumaisha sehingga berjuraian mengalir di pipinya. 

"Maafkan saya, kak. Saya khilaf! Saya benar-benar khilaf, kak. Betul kata Kak Aisha, cinta haram itu memang menakutkan, kak! Saya menyesal, kak. Saya benar-benar menyesal!" Ifah meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Rumaisha mengangguk dan mengosok-gosok bahu Ifah supaya Ifah lebih tenang.

"Aduh!" Rumaisha memejam matanya. Perit.

"Akak kenapa ni, kak?" Tanya Ifah berwajah serius.

"Akak laparlah." Kak Aisha memegang perutnya sambil membuat muka kasihan. Kedua-dua mad'unya memandang Kak Aisha sebelum tergelak kecil.

"Dah, tak mahu nangis-nangis tau. Kita makan sama-sama, nak? Akak ada belikan makanan tadi." Rumaisha mengelap air mata Ifah dan Mas. Kedua-duanya tersenyum bahagia.

"Kita makan sambil berusrah ya Kak?" pinta Hasifah. Kak Aisha dan Mas saling berpandangan. Pandangan mereka beralih kepada Ifah. Mas tersenyum.

Kali ini giliran Ifah dan Mas pula memandang tepat anak mata Kak Aisha.

"Oo..ok! Lagipun ini kali pertama kita berusrah dalam wad, kan?" kata-kata Kak Aisha sekali lagi membuatkan kedua-dua mad'unya itu tergelak. 

Hati Rumaisha berdesis 'Allah.. syukran kerana telah mengembalikan Ifah. Syukur Ya Allah, syukur atas segalanya.'

"Kak Aisha, macam mana akak boleh sabar dengan perangai saya selama ini, kak?" tiba-tiba Ifah memuntahkan juga persoalan yang berlegar-legar dalam benaknya itu.

Rumaisha hanya menjawabnya dengan senyuman manis. Dia mencapai sebatang pen dan sekeping kertas lalu menulis di atasnya. Kertas itu, Rumaisha lipat dan selitkan di dalam tas tangan Ifah yang sempat dicapai Masturina sebelum mereka bergegas ke hospital pagi tadi.


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Nak tahu apa yang Rumaisha tulis apa dalam kertas itu ? Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
26 Muharam 1434 H
11 Disember 2012 (Selasa)
9.38 pagi



Ihfazillah Yahfazka - Episod 5


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 5 : Nusrah Ilahi


'Astaghfirullahal adzim.. Astaghfirullahal adzim..'

Zikir terapi dendangan Hafiz Hamidun menari-nari di telinganya menerusi 'earphone' sangat menenangkan. Benarlah, dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang. Dua bulan cuti semester telah pun berakhir minggu lepas. Tahun ini tahun keempat Rumaisha bergelar penuntut di kampus yang menempatkan semua bakal guru. Tahun yang menuntut Rumaisha untuk lebih gigih berusaha memandangkan seawal bulan Mac, dia akan mula berpraktikum di sekolah, menjelajah ke dunia perguruan yang sebenar. Masih kurang lebih satu tahun berbaki untuk Rumaisha menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perguruan.

Rumaisha masih ingat sewaktu dia memilih untuk menjadi guru, ada yang memperlekeh-lekehkan bidang ini.

"Anak kamu, si Kakak tu belajar kat mana sekarang, Ha? " Tanya Mak Cik Zawiyah, isteri Pak Long kepada ibunya, Saleha.

"Belajar kat Institut Pendidikan Guru, Kak Zah. Kalau dulu, orang panggil maktab perguruan." jawab ibu sambil membancuh teh untuk dihidang kepada keluarga abang sulungnya itu yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

"Oh, kat maktab ke? Bukankah dulu, keputusan dia cemerlang? Takkan jadi cikgu je, Ha?"

"Tak apalah Kak Zah. Rezeki dia kat situ. Guru pun bukan senang nak dapat sekarang ni. Guru sekarang bukan macam saya dulu-dulu, guru sekarang dah berijazah." Balas ibu.

"Akak ni bukan apa, Ha. Kalau setakat nak jadi cikgu tu, tak padanlah dengan keputusan SPM dia. Orang sekarang ni berebut-rebut nak jadi doktor, engineer, dia pula nak jadi cikgu? Kau ni, Ha. Nasihatlah anak kamu tu, bagi dia fikir jauh sikit."

"Tak apa la Kak Zah. Saya tak kisah. Asalkan rezeki yang dia bawa balik nanti, rezeki halal." ibu menyusun cawan dan piring di atas dulang lalu meletakkan dulang tersebut di atas meja makan. Saleha menuang teh ke dalam cawan.

"Hmm.. tu lah kamu, Ha. Akak dah pesan masa dia kat bangku sekolah dulu, hantar anak kamu tu ke sekolah berasrama penuh, tapi kamu degil. Nak hantar juga kat sekolah agama. Ha, ni lah jadinya. Fikiran tu jadi sempit, tak berkembang."

Rumaisha yang dari tadi curi-curi dengar perbualan Mak Long dengan ibunya itu terus tersentak! 

'Apa lagi yang Mak Long tak puas hati ni' desis hati kecilnya.

Secawan teh di letakkan ibunya betul-betul di hadapan Mak Long yang sedang duduk di kerusi meja makan itu.

" Minum, Kak Zah. Tak apalah. Ada juga bekalan Ha kat sana nanti, Kak Zah. Kita ni kalau mati nanti, kak, tiga benda je kita bawa. Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kita." Balas Saleha.

"Kau tu macam tu lah. Kalau akak nasihat, kau tak nak dengar. Habis tu, si Kakak tu bertudung labuh lagi la kat maktab tu?"

"Aah, Kak Zah. Kenapa akak tanya macam tu?"

"Tak ada lah. Ni bukan akak yang cakap tapi orang yang cakap, selalunya orang yang pakai tudung labuh ni lambat nak dapat jodoh. Akak takut anak kamu tu susah nak dapat jodoh je, Ha."

'Astaghfirullah! Kenapa dengan Mak Long ni? Eei, tak boleh, tak boleh. Aku kena cakap sikit dengan Mak Long ni. Dari tadi umi bersabar dengan Mak Long!' dia berasa sangat geram. Kata-kata itu sama sekali tidak dapat diterimanya.

Rumaisha bingkas berdiri. Semasa mengatur langkah pertama, ibunya bersuara, lalu langkahnya kaku,

"Orang mana yang cakap macam tu, Kak Zah? Jodoh ni kan kerja Allah, kak. Bukan kerja manusia. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah, Kak Zah." Jawapan Saleha sekali lagi dapat mematahkan keangkuhan kakak iparnya itu. 

Rumaisha beristighfar. Sepatutnya, Rumaisha mencontohi sifat tenang ibunya. Bukan dengan melayan nafsu amarah yang menggila didorong syaitan laknatullah. Matanya dipejam sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya dan beristighfar berkali-kali.  

Dia menyarungkan anak tudung pink lembut, lalu melilit hijab berwarna sama, sangat sesuai digadingkan dengan jubah hitam yang dipakainya itu. Sopan. Sangat sopan.



"Wah, wah, wah! Patutlah Ustaz Uwais sanggup menjadi penunggu setia. Menanti seorang bidadari dunia yang boleh membuat bidadari syurga pun cemburu." Suara seorang wanita yang amat dikenali tiba-tiba menyapa gegendang telinganya. 

"Siapa pulak bidadari dunia ni? Kau kah, Lin? Wah, beruntung Syuraik bertunangkan seorang bidadari dunia yang boleh membuat bidadari syurga cemburu! Tengok, tengok! Muka dah merah. Malu la tu." Rumaisha berjaya membalas usikan Fadhlin. Rumaisha ketawa kecil. Fadhlin tersengih sebelum menukar semula topik perbualan,

"Aisha, aku dengar Uwais hilang ingatan, betulkah?"

Rumaisha sekadar mengangguk. Fadhlin menyambung,

"Jadi, hajat dia untuk melamar kau tak jadi lah?"

"Melamar aku? Kau ni Lin merepek je. Salma bagitahu aku, abang  dia actually dah ok. Cuma ingatan dia memang takkan pulih. Tapi tak apalah. 3 Tahun sahaja yang hilang tu kira alhamdulillah kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang hilang ingatan fully. "

Mendengar penjelasan Rumaisha, Fadhlin turut bersimpati.

"Tak sangka kan kemalangan tu boleh buat macam tu sekali. Habis, kalau 3 tahun, maknanya dia langsung tak kenal kau lah? So, macam mana kau dengan dia, Aisha?" Fadhlin mula bertukar serius.

"Kenapa dengan kau ni, Lin? Sepatutnya kita bersyukur. Aku rasa ini mungkin nusrah dari Allah untuk Uwais supaya dia tak terus menerus tunggu aku. Aku benar-benar tak layak untuk dia, Lin. Kalau cara macam ini boleh buat dia tak ingat benda-benda yang bersangkut paut dengan hal tu, baguslah." Rumaisha     melemparkan senyuman tawar kepada Fadhlin yang masih tidak berpuas hati dengan jawapannya.

"Aisha, kau masih tunggu lelaki tu lagi ke? Oh, lelaki macam tu layaklah untuk kau. Macam tu?" Rumaisha  berjalan keluar dari bilik dan menyarung kasut hitam bertumit getah setebal cuma dua inchi. Dia berpura-pura  tidak mendengar bebelan rakan karibnya, Fadhlin.

"Aku nak kunci bilik ni. Kau nak keluar tak? Kalau nak berkurung dalam bilik ni, aku tak ada masalah" usik Rumaisha sambil memusing kunci biliknya itu. 

"Ish, kau ni Sha. Kalau aku cakap, saje je buat-buat tak dengar kan?" Fadhlin masih menuntut untuk Rumaisha menjawab persoalannya tadi.

"Kak Aisha! Kak Aisha!" ada suara yang termengah-mengah dari arah belakang semasa mereka berdua menyusun langkah untuk keluar dari kawasan kolej kediaman. 

"Mas, kenapa berlari-lari ni Mas?" tanya Rumaisha kepada adik juniornya, Masturina.

"Ifah! Ifah, Kak Aisha!"

"Kenapa dengan Ifah, Mas?"

"Dia pengsan! Dia makan ubat tidur banyak sangat!"

"Pengsan!!" Rumaisha kaget! 

"Lin, kau tolong bagitahu lecturer, aku lambat sikit! Aku nak pergi tengokkan Ifah jap!"

Fadhlin mengangguk, menurut perintah. Rumaisha membontoti Masturina dengan berlari anak. 


-bersambung-

Nusrah = Pertolongan
_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
25 Muharam 1434 H
9 Disember 2012 (Ahad)
10.52 malam

Ihfazillah Yahfazka - Episod 4


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 4 : Amnesia Songsang


Dia mundar mandir di ruang legar bersebelahan bilik 11 wad Cempaka itu. Tidak putus-putus dia berzikir dan berdoa agar Allah Al-Mu'id memberi kesembuhan kepada Uwais.

"Cik, maaf menganggu. Doktor minta cik masuk sekejap" Suara jururawat yang mengenakan uniform pink dan bertudung tiba-tiba memecah kesunyian di ruangan itu. Dia mengangguk tanda bersetuju. 

Sebaik sahaja memasuki bilik 11 itu, senyuman lebar menguntum dibibirnya dengan serta merta. 

'Uwais dah sedar!' Hatinya berasa begitu gembira. 'Alhamdulillah'. Dia mendekati katil di mana tempat terbaringnya seorang lelaki yang sangat ditakutinya suatu ketika dahulu, bersama lelaki itu ada seorang doktor dan jururawat. 

"Cik? " Doktor yang memakai tag nama 'RIDHWAN' pada kot labuh putihnya itu mula mengatur ayat yang sedikit tergantung.

"Rumaisha. Saya Rumaisha. Sekampus dengan Uwais" Rumaisha menyambung.

"Cik Rumaisha, boleh Cik Rumaisha berdiri di sebelah pesakit." Rumaisha mengangguk dan menurut perintah.

"Encik Uwais, encik kenal siapa ni?" Doktor melontarkan soalan kepada Uwais. Rumaisha kebingungan. Pelik. Masakan Uwais tidak kenal. Mustahil!

Wajah Rumaisha bermata bulat dengan air muka yang menenangkan itu diamatinya perlahan-lahan. Uwais mengeleng. 

"Betul encik tak ingat kawan encik ni?"

Uwais masih mengeleng. Uwais memejamkan matanya dan mengerutkan keningnya sehingga bertembung. Gelengen Uwais itu benar-benar memeranjatkan Rumaisha. Dia tidak percaya lelaki itu tidak mengenalinya. Hal ini benar-benar mustahil!

" Encik Uwais, tak apalah kalau encik tidak kenal. Encik rehat dulu ya. Saya cuma bertanya." Doktor cuba menenangkan Uwais yang kelihatan sedang memicit-micit dahinya yang sedang berbalut. Kepalanya terasa sakit sekali.

Pintu bilik dibuka. Seorang lelaki yang berusia sekitar 55 tahun berdiri di situ. Semua mata yang berada di dalam bilik itu memandangnya. Uwais juga berpaling. 

"Abi!" Suara lemah itu membuatkan Rumaisha dan doktor berpandangan satu sama lain. 

"Uwais!" Si ayah berlari-lari anak. Senyuman lebar menghiasi wajahnya. Ya! Dia benar-benar gembira apabila anaknya yang membisu, kaku tanpa suara selama seminggu baru sahaja memanggil Abi! 

"Doktor, anak saya, doktor! Anak saya dah sedar, doktor! Dia dah sembuh, doktor! Allah.. Alhamdulillah."
Si ayah memeluk erat anak lelakinya itu. Tidak menyangka hari yang dinantikannya itu telah muncul. Bagaikan bermimpi.

Doktor hanya membalasnya dengan senyuman hambar. Di dalam fikiran Doktor Ridhwan, masih ada sesuatu yang tidak kena. Sedikit kehairanan dengan apa yang sedang pesakitnya itu sedang alami.

"Encik Naufal dan Cik Rumaisha, saya cadangkan kita berikan ruang untuk pesakit berehat." Arahan doktor iti disambut baik oleh kedua-duanya setelah melihat Uwais kepenatan. Matanya juga sudah mula kuyu. Benarlah kata doktor, Uwais perlu berehat. 

Sebaik sahaja pintu bilik ditutup rapat, doktor cuba menjelaskan tentang perkara yang berlaku sebentar tadi.

"Alhamdulillah, Encik Uwais sudah mula sedar. Tetapi..." belum sempat Doktor Ridhwan memberi penjelasan, Encik Naufal mula bersuara kebimbangan,

"Tapi apa doktor?"

"Saya belum pasti tetapi mengikut pengalaman saya, Encik Uwais sedang mengalami amnesia songsang."
Doktor Ridhwan cuba menjelaskan situasi sebenar.

"Amnesia songsang?" Kali ini Rumaisha pula yang bersuara seolah-olah menuntut penjelasan yang lebih dalam.

"Ya, amnesia songsang. Amnesia adalah defisit dalam ingatan disebabkan oleh kerosakan otak, penyakit, atau trauma psikologi. Pada asasnya, amnesia adalah kehilangan ingatan. Memori boleh menjadi sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya hilang disebabkan kepada sejauh mana kerosakan yang menjadi penyebabnya. Terdapat dua jenis utama amnesia, amnesia songsang dan amnesia anterograde. Amnesia songsang apabila sebelum dibentuk kenangan hilang. Dalam beberapa kes, kehilangan ingatan menjangkau dekad yang lepas. Dalam kes-kes lain orang yang kehilangan hanya beberapa bulan ingatan. Amnesia Anterograde adalah ketidakupayaan untuk membentuk kenangan baru jangka panjang. Kedua-dua jenis tidak saling eksklusif. Kedua-dua boleh berlaku dalam pesakit pada satu-satu masa. Kajian kes, seperti RB pesakit, menunjukkan bahawa kedua-dua jenis amnesia boleh berlaku serentak. Kajian kes ini juga menunjukkan bahawa amnesia biasanya dikaitkan dengan kerosakan kepada lobus temporal tengah. Di samping itu, kawasan-kawasan tertentu hippocampus (Rantau CA1) terlibat dengan ingatan. Penyelidikan juga telah menunjukkan bahawa apabila kawasan-diencephalon rosak, amnesia boleh berlaku."



"Uwais masih kenal dengan Pak Cik Naufal tapi dia langsung tak ingat tentang saya. Maksudnya, Uwais mungkin hilang ingatan selama beberapa tahun sebelumnya kan? Sebab kami kenal pun 3 tahun yang lepas."

"Ya tepat sekali! Semasa saya tanya tentang dirinya sebelum saya meminta Cik Rumaisha masuk tadi, Encik Uwais masih ingat namanya namun apabila saya tanya umurnya, dia menjawab 20 tahun." Masing-masing berwajah serius. Encik Naufal dari tadi menghadam penjelasan dari doktor dan seorang gadis berwajah polos itu.

"Maksud doktor, anak saya hilang ingatan? Kenapa doktor? Kenapa boleh jadi macam ini, doktor?" Sekali lagi suara kebimbangan itu menarik perhatian Rumaisha dan Doktor Ridhwan. Rumaisha juga sedang menunggu jawapan.

"Antara punca yang menyebabkan dia hilang ingatan biasanya kerana hentakan di kepala. Encik Naufal jangan bimbang. Semasa pembedahan hari itu, pihak kami sudah membuat ujian MRI. Jadi, saya jamin, Encik Uwais tidak apa-apa. Perkara ini tidak pelik sebenarnya. Syukurlah Encik Uwais hanya hilang memori selama kurang lebih 3 tahun sahaja. Itu juga suatu perkara yang tidak pernah berlaku sepanjang karier saya sebagai seorang doktor sebab kebiasaannya pesakit akan hilang ingatan melibatkan dekad sama ada satu dekad, dua atau lebih daripada tu. Jika Encik Naufal dan Cik Rumaisha pernah dengar tentang Kay Delaney iaitu seorang wanita yang telah hilang memori lebih 2 dekad bersamaan 20 tahun. Dalam kes Kay ini, tempoh hilang ingatan Kay berganda-ganda lebih lama dari Encik Uwais. Tetapi inilah kekuasaan Allah. Barangkali, Uwais ini penghafal Al-Quran? Saya cuma meneka." Persoalan itu dilontarkan kepada Encik Naufal yang sedari tadi  khusyuk mendengar.

"Ya, dia salah seorang pengamal perubatan Islam." Jawab Encik Naufal.

"Subhanallah saya sudah mengagak." Doktor tersenyum sebelum meminta diri untuk memeriksa pesakit lain.

"Maaf pak cik, saya menyibuk sahaja kat sini." Rumaisha cuba memberanikan diri untuk berkomunikasi dengan ayah Uwais.

"Eh, tak adalah. Kenapa kamu cakap macam tu? Tak baik. Alhamdulillah ada kamu tadi. Kawan Uwais ke?"

Rumaisha mengangguk, " Saya satu kampus dengan Uwais, pak cik. Saya sebenarnya datang nak melawat dia. Tapi masuk je kat bilik Uwais tadi, saya dapati tidak ada siapa-siapa melainkan Uwais yang sedang mengerang kesakitan. Saya panik dan terus memanggil doktor. Dan terjadilah apa yang telah diceritakan doktor sebentar tadi."

"Ow ye ke? Sha.. erm nama ape tadi, pak cik terlupa pula" Encik Naufal tersengih.

"Rumaisha, pak cik. Rumaisha binti Hariths"

"Aa.. ya, Rumaisha. Baru pak cik ingat. Terima kasih tolong tengok-tengokan Uwais tadi. Pak Cik pun hairan ke mana isteri pak cik ni? Pak cik cuba telefon dia, dia tak angkat. Minta maaf terpaksa susahkan kamu pulak," Encik Naufal mula diselubungi rasa bersalah dan rasa bimbang terhadap isterinya yang dari tadi belum kelihatan.

"Tak apa pak cik. Tak susah pun. Erm, kalau tak ada apa-apa saya minta diri dulu ya pak cik. Insya-Allah saya akan datang lagi. Assalamualaikum warahmatullah."

"Ow, ye ye. Insya-Allah. Kamu datanglah ya. Waalaikumussalam waramatullah." Encik Naufal tersenyum. Suka dia melihat seorang anak gadis kaya dengan santun dan sangat menghormati orang tua. Dalam hatinya masih ada gusar tentang  ke mana menghilang isterinya itu. Salma, anak perempuannya juga tidak muncul. Katanya lepas pulang dari kelas tuisyen, mahu bergegas ke sini.


---------------------*-----------------------

"Dik, mak cik Sumayyah macam mana?" Tanya seorang gadis kecil molek kepada seorang remaja perempuan yang sedang duduk menemani ibunya yang sedang terbaring di katil wad kecemasan itu.

"Kak Rumaisha! Entahlah kak, tadi Umi ada sedar lepas tu pengsan balik. Doktor kata mungkin sebab dia kurang rehat dan kurang makan. Ya lah, Umi degil. Walaupun tak sihat, Umi tak bagi Salma tolong jaga abang. Katanya, dia nak ada di sisi abang. Kalau abang sedar dari koma, dia nak berada di samping abang masa tu. Umi banyak fikir sangat ni kot. Hmm.. umi, umi." jawab Salma panjang lebar sambil mengusap kepala ibunya itu.

"Tak pe la, Sal. Itulah kasih seorang ibu. Ibu ni ada perasaan kasih sayang yang hebat tau. Seorang ayah yang gagah pun tidak mampu menandingi kasih sayang seorang ibu yang lembut." Mereka berdua saling tersenyum.

"Erm.. kak Rumaisha.."

"Panggil akak, Aisha pun tak pe, Sal." Rumaisha memotong.

"Aa, Kak Aisha, macam mana dengan kawan kak Aisha? Dia pun macam abang jugak ke? Koma?"

"Aah, tapi tadi alhamdulillah dia dah sedar." Rumaisha membalas dengan senyuman tawar apabila dia teringat kembali tentang Uwais yang langsung tidak mengenalinya.

"La.. ye ke? Kan bagus kalau abang Sal pun sedar juga." Nada Salma sayu.

"Tak pe, Sal. Insya-Allah, jangan putus berharap pada Allah ya," Rumaisha berkata sambil menepuk bahu Salma. Dia cuba memujuk. Salma memandang tepat anak mata Rumaisha dengan pandangan hiba. 

"Sal.." Kedengaran suara lemah.

"Umi! Alhamdulillah umi dah sedar!"

"Abang, Sal? Abang macam mana? Siapa yang tolong jaga Abang Uwais kamu tu?" suara lemah Puan Sumayyah itu benar-benar memeranjatkan Rumaisha. Matanya membutang.

'Uwais?!'


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Ingin mengetahui lebih lanjut tentang amnesia songsang boleh rujuk di laman sesawang ini, http://nurazreen97.blogspot.com/2012/11/amnesia-d.html dan http://ms.mdhealthresource.com/disability-guidelines/amnesia

p/s : Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
24 Muharam 1434 H
7 Disember 2012 (Jumaat)
11.58 malam


Ihfazillah Yahfazka - Episod 3


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 3 : Kun Fayakun

"Doktor, macam mana keadaan anak saya?" Terukir senyuman di wajah seorang ibu di hadapan pintu wad.

"Insya-Allah keadaan dia semakin baik tetapi saudara Uwais masih dalam pemerhatian kami. Dalam keadaan sebegini, berbagai kemungkinan akan berlaku. Kita cuba doakan yang terbaik ya Puan." Doktor cuba memberi respon positif terhadap soalan Puan Sumayyah.

"Tak mengapa, doktor. Saya faham." Doktor mengangguk dan terus mengatur langkah ke bilik wad yang lain. Puan Sumayyah mengesat air matanya. Tugas seorang doktor ialah merawat dan mencuba sedaya upaya untuk hidup seorang pesakit. Hidup dan mati seseorang adalah di tangan Allah.

Iza arada syai-an anyakulalahu kun fayakun, apabila Dia (Allah) menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" maka jadilah (sesuatu itu).

'Ya Allah, selamatkanlah anak sulungku ini. Sembuhkanlah dia.' Doa seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya berbaring tanpa suara dan tanpa mata terbuka. Dalam sanubarinya, dia memohon agar sinar kebahagiaan akan muncul tidak lama lagi.

Puan Sumayyah menjengah dari kaca jendela kecil yang terdapat pada pintu bilik wad, dia melihat keadaan Uwais begitu juga. Tidak ada bezanya. Sudah seminggu anaknya begitu. Hati ibu mana yang senang melihat anaknya menderita. Sekali lagi mata Puan Sumayyah yang makin melebam saban hari mengeluarkan manik-manis jernih, titisan demi titisan murah sahaja mengalir. menginsafi bahawasanya kita ini hanya seorang pengemis yang sentiasa mengemis dari Allahu Azza Wajalla.

Dia menyusun langkah longlai. Tidak tahu harus gembira atau bersedih. Perasaannya bercampur baur. Puan Sumayyah menekan butang turun di ruangan menunggu lif. Beberapa orang yang ada di sekitar ruang menunggu itu tidak diendahnya. 'Ting!' Pintu lif terbuka. Seorang wanita 20-an, berseledang kelabu dengan lilitan persis hijab Heliza Helmi keluar dari perut lif. Semua yang menunggu di ruangan tadi segera masuk ke dalam lif sementara Puan Sumayyah masih lagi berdiri di situ. Tidak berganjak.




'Mak cik nak turun tak ni?' tanya seorang pemuda. 'Mak cik? Mak cik?' Pemuda itu mengeleng. Puan Sumayyah tidak memberi respon. Pintu lif tertutup kembali. Tiba-tiba dia rebah. Wanita yang berselendang kelabu yang masih mencari arah untuk ke bilik wad, berpaling. Terkejut!

"Ya Allah!" Dia melihat seorang wanita lingkungan umur mencecah 50-an pengsan di depan pintu lif. Pantas dia berlari ke arah wanita itu.

"Mak cik! mak cik!" beberapa kali dia menepuk-nepuk pipi Puan Sumayyah. Dia sedikit panik. Tiba-tiba ada seorang wanita muncul dari perut lif memandang mereka berdua dan menjerit 'Umi?!'


------------*--------------


Jari Uwais bergerak-gerak. Matanya dibuka perlahan-lahan. Kepalanya terasa berdenyut. Pintu bilik dikuak oleh seorang wanita berhijab kelabu. Wanita tersebut mendekati katilnya. Mata wanita itu membutang apabila meihat Uwais telah membuka mata dan memejamnya semula dengan dahi yang berkerut. Wanita itu terus berlari untuk mendapatkan bantuan,

"Doktor! Doktor!"


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

p/s : Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
22 Muharam 1434 H
6 Disember 2012 (Khamis)
9.15 pagi