Ihfazillah Yahfazka - Episod 7


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 7 : Panggilan dari Mesir


Kuliah pada hari ini usai pada pukul 12.30 tengah hari, sejam awal dari hari-hari biasa. Matahari terik di atas kepala. Kerongkong terasa kering sekali. Alhamdulillah Kafe Kak Chik masih dibuka. Pantas kaki menyusun langkah menuju ke kafe itu. 

"Kak, air sirap, dua. Bungkus ya."

Selepas memesan air sempat Rumaisha mengintai kelibat Kak Chik di bahagian dapur, tapi tidak ada. Pemilik Kafe itu sangat mesra orangnya, ramah dan mudah didampingi para penuntut di kampus.

"Kak Chik, kat mane kak?" Rumaisha bertanya kepada pekerja Kak Chik yang sedang menuangkan ais ke dalam plastik. 

"Dia keluar,dik. Mungkin sekejap lagi, dia balik lah tu." jawab wanita itu sambil mengikat bungkusan air yang dipesan tadi kemudian meletakkannya di atas sebuah dulang. Rumaisha membuat pembayaran selepas mengambil bungkusan air itu.

"Terima kasih. Beli ya, kak." Rumaisha membuat akad jual beli seperti yang disarankan Islam semasa membeli atau menjual sesuatu barang.

"Jual, dik" lafaz ijab dari Rumaisha disambut dengan lafaz kabul. Fadhlin yang dari tadi menemani Rumaisha hanya duduk sahaja di bangku. Ramai juga yang menggelar Fadhlin sebagai puteri lilin. Jika panas, maka dia tidak akan banyak bercakap. 

"Aisha, kenapa kau selalu sebut beli ya, kak? Itu bukanke zaman dulu-dulu je orang buat macam tu?" Fadhlin bertanya sambil jari-jemarinya yang runcing membuka ikatan pada plastik bungkusan air sirap.

"Aku tak adalah pandai sangat dalam bab-bab ni. Tapi aku berkongsi la setakat yang aku mampu. Baiklah, kebanyakan orang Islam mengucapkan terima kasih semasa proses ini dilakukan tapi tertinggal satu lagi perkara penting dalam akad jual beli iaitu lafaz ijab dan qabul. Berterima kasih itu sunnah nabi kerana nabi pernah berpesan, 'Jika kamu tidak berterima kasih kepada manusia maka kamu tidak berterima kasih kepada Allah.' Tapi akad jual beli juga terkandung dalam sistem muamalah Islam. Sebarang bentuk jual beli harus ada akad. Selepas melakukan akad, barulah sah jual beli kita tadi. Ulama fiqh sepakat bahawa unsur utama dalam jual beli adalah kerelaan antara penjual dan pembeli. Ini kerana kerelaan itu berada dalam hati, maka harus diwujudkan melalui ucapan ijab dari pihak penjual dan kabul dari pihak pembeli. " terang Rumaisha panjang lebar. Dengan lafaz 'Bismillahirahmanirrahim' dan doa 'Bismillahillazi la Yadhurru ma'asmihi sayai-un Fil ardhi wa lafisama' wahuwassamiul a'lim', Rumaisha menghirup air sirap dengan menggunakan straw. Alhamdulillah. Kerongkongnya terasa sejuk dan mendamaikan.



"Oh macam tu. Ingatkan nikah je ada akad, rupa-rupanya jual beli pun ada? Hmm.. tapi tadi kan kau cakap lafaz ijab dari pihak penjual, tapi selalunya kau yang lafaz dulu kan?" teruja Fadhlin dengan ilmu yang baru dimakluminya tadi.

"Hal-hal macam ni selalunya orang berniaga pun ramai tak tahu. Jadi kita sebagai pembeli yang tahu, kita yang sepatutnya mengingatkan mereka dengan cara kita dahulukan lafaznya. Insya-Allah, dari situ pembelajaran tidak langsung berlaku. Manalah tahu, dengan cara itu, peniaga boleh biasakan diri." Fadhlin  mengangguk dengan penjelasan Rumaisha.

"Wah, dari mana kau belajar semua ini, Aisha?" Fadhlin terus bertanya.

"Masa di sekolah menengah, Lin. Dulu aku minat sangat dengan subjek Syariah Islamiyyah." Rumaisha    menghirup lagi air sirap itu.

"Kenapa kau tak sambung belajar dalam bidang tu je Sha?" Fadhlin terus mengasak Rumaisha dengan soalan.

"I will. Tapi bukan sekarang. Insya-Allah satu hari nanti, Lin. Kau doakan aku ya" jawab Rumaisha. Tenang. Fadhlin mengangguk. Selesai minum, mereka berjalan menuju ke surau kampus.

'Assalamu alayka ya
Ya Rasulallah
Assalamu alayka ya habibi
Ya Nabiyyallah'

Suara Maher Zain menerusi lagu Assalamu alayka berkemundang melalui telefon bimbit yang tersimpan dalam tas tangan berwarna coklat milik Rumaisha. Bunyi itu menandakan ada panggilan masuk. Rumaisha mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor yang panjang bermula dengan angka 2 terpampang di skrin telefonnya. Walaupun nama tidak muncul di situ, tapi dia kenal benar dengan nombor itu. Sangat dikenalinya suatu ketika dahulu.

"Siapa, Sha?" Tanya Fadhlin sambil berkerut dahi apabila air muka Rumaisha berubah setelah melihat skrin tersebut.

"Dia, Lin." jawab Rumaisha.

"Siapa? Ustaz Uwais ke?" Fadlin meneka. Rumaisha mengelengkan kepalanya. Ternyata tekaannya meleset. Masakan Ustaz Uwais, tentu sekali Ustaz Uwais ke masjid untuk solat Jumaat. Lagipun, dia seboleh-bolehnya tidak akan menelefon akhawat jika tidak ada urusan. Tambahan pula, sekarang ini, Uwais langsung sudah tidak ingat kejadian 3 tahun lepas.

"Budak Mesir tu ke?" Fadhlin meneka lagi. Kali ini, Rumaisha mengangguk.


********

Hasifah menampal sekeping nota di papan meja belajarnya itu. Setelah ditampal, Hasifah membacanya sekali lagi walaupun sudah beberapa kali dibacanya:

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah saw bersabda : Sungguh menakjubkan keadaan seorang yang beriman, sesungguhnya seluruh keadaannya baik. Itu tidak dimiliki oleh sesiapapun kecuali oleh seorang yang beriman. Jika dia diberi kesenangan, dia bersyukur maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka itu juga baik baginya. (Riwayat Muslim)


Tulisan jawi dan rumi yang cukup indah. Seindah pemilik tulisan itu. Hasifah tersenyum. 

"Kak Aisha, terima kasih atas ingatan ini. Ifah cinta akak kerana Allah." Hatinya melakarkan rasa syukur dan cinta kepada seorang insan yang bernama Rumaisha. 

Sejak kejadian tempoh hari, dia makin dekat dengan Allah. Sentiasa ke surau kampus. Mas juga tidak jemu-jemu memberinya semangat dan tunjuk ajar. 

'Ya Allah, aku benar-benar merasakan ketenangan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. ' 

-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Untuk mengetahui lebih lanjut tentang muamalah dalam Islam. Banyak kitab yang menjelaskan hal ini. Kalau sahabat-sahabat masih ada buku teks Syariah Islamiyyah Tingkatan 4, sahabat-sahabat boleh jenguk di situ atau kalau nak lagi pantas boleh kunjungi laman web ni, JAKIM. Jadi, siapa budak mesir tu? Ingin mengetahuinya, jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
28 Muharam 1434 H
12 Disember 2012 (Rabu)
10.50 malam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan