Ihfazillah Yahfazka - Episod 10


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 10 : Fasbir Sobran Jameela



Selesai kuliah pada hari Khamis itu, Rumaisha segera berjalan ke surau untuk solat zohor secara berjemaah manakala Fadhlin terus pulang ke kolej kediaman kerana didatangi ‘kawan baik’. Kuliahnya sedikit lambat berakhir hari ini sedangkan waktu zohor pun makin awal. Hal seperti ini tidak menjadi sesuatu yang pelik kerana biasa sangat terjadi lebih-lebih lagi jika ada sesetengah pihak yang memandang enteng tentang solat di awal waktu. Suara muazzin  yang sedang iqamat bergema di ruang angkasa. Rumaisha mempercepatkan langkahnya. Selesai memngambil wudhuk, Rumaisha memakai semula tudungnya dan menutup aurat secara rapi dengan lengkap berstokin sepertimana biasa. Kain telekung surau pula sehelai pun tidak ada. Barangkali ahli lajnah surau sedang membersihkannya. Dia cukup yakin pakaiannya itu telah menutup aurat dan boleh digunakan untuk solat, tidak ketat, tidak jarang dan tidak menampakkan warna kulit. Rumaisha segera memenuhi saf pertama. Jarang sekali solat zohor ada lebih daripada satu saf di bahagian muslimat. Tidak tahu pula jika di sebelah muslimin bagaimana. Masih dia ingat seloroh Pengerusi Biro Kerohanian, saudara Ikhwan sementara Rumaisha pada ketika itu memegang jawatan Timbalan Pengerusi dua tahun yang lepas, “Saya cukup tak faham, laluan ke kolej kediaman lelaki dari bangunan kuliah tu satu hala sahaja dengan surau. Tapi masuk sahaja waktu zohor, ramai mahasiswa seolah-olah tak nampak surau, macam ada hijab pula di kawasan surau ini.” Bagaimana nak jaga keluarga nanti kalau solat jemaah pun tak jaga? Setelah mengangkat takbiratul ihram, Rumaisha masih sempat rukuk bersama imam dalam rakaat pertama.

Ramai juga dalam kalangan muslimat yang menimbulkan isu kenapa tidak solat sahaja di bilik? Kita kan perempuan sebaik-baiknya solat di bilik atau di rumah bukan di surau atau masjid? Persoalan- persoalan ini seringkali juga bermain di fikiran Rumaisha suatu ketika dahulu. Apakah tidak patut dia sentiasa berjemaah di surau seperti para muslimin? Jadi, persoalan ini telah dilontarkannya kepada seorang pensyarah Jabatan Agama Islam (JAPIM) yang telah mendapat master dalam bidang Faraid, Ustaz Zulkifli, 

“Apakah tidak boleh seorang muslimat sentiasa ke surau atau masjid kerana katanya bimbang membawa kepada fitnah? Bukankah wanita itu fitnah?”

Jawapannya ialah mengapa tidak boleh? Surau, masjid, kan rumah Allah? Hukum perempuan ke masjid ialah harus. Jika di institut ini, di mana lagi para penuntut ingin menuntut ilmu agama jika bukan di surau kampus atau masjid berdekatan? Kalau penuntut bidang Pendidikan Agama Islam, ya memang tidak dinafikan kuliah mereka penuh dengan pengetahuan tentang pemahaman yang lebih jelas tentang agama Islam. Tapi kalau penuntut-penutut bidang lain, memang langsung tidak ada kuliah agama di dalam jadual masing-masing melainkan hanya dua semester sahaja yang terisi daripada sebelas semester yang ada. Sedangkan memahami dan mendalami tentang Islam itu adalah wajib. Jadi jika sekadar ingin mencari alasan untuk tidak ke surau, terserah tetapi mengapa mahu mengatakan orang perempuan yang pergi ke surau atau masjid itu ini begitu begini. Di kampus ini, ustaz pasti keadaannya sangat selamat dari fitnah asalkan aurat dijaga sepanjang ke surau dan menjaga adab-adab sepanjang berada di Rumah Allah. Nabi pernah berpesan yang direkodkan oleh Abu Daud “Jangan menghalang wanita kamu ke masjid, namun rumah mereka lebih baik untuk mereka.”  Sebaik-baiknya solat di bilik tetapi jika berada di bilik, kita membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti terus obses dengan laman sosial sehingga berlama-lama menghadapnya dan menyebarkan hadis-hadis yang entah sahih atau tidak kerana ceteknya ilmu agama, lebih baik menuntut dengan murabbi yang diperakui pentauliahannya. Ternyata penjelasan ustaz ada benarnya. Dulu, sebelum Rumaisha tidak terlalu rapat dengan surau, hatinya terasa kosong, rasa sangat jauh dengan Allah namun apabila sering bertemujanji dengan Allah di rumah-Nya, wah satu perasaan yang sangat sukar digambar membuncah di hati. Perasaan yang sangat indah!

Selesai bersalaman dengan para jemaah muslimat yang majornya terdiri daripada pensyarah, Rumaisha menunaikan solat sunat ba’diyyah. Selepas itu, Rumaisha menyandang tas tangan di bahunya dan mengkelek laptop Asus dan sebuah fail coklat miliknya untuk pulang ke kolej kediaman. Sebaik sahaja Rumaisha membuka pintu bilik, dia melihat rakan sebiliknya, Fadhlin sedang mengurut-ngurut perutnya. Muka Fadhlin pucat. Dia sedang mengerang kesakitan.

“Lin, kau kenapa ni? Period pain ke?” tanya Rumaisha. Fadhlin sekadar mengangguk.

Rumaisha faham benar bagaimana sakitnya senggugut ini. Senggugut juga dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai ‘premenstrual dysphoric disoder’ atau ‘dysmenorrhea’. Dia juga pernah hampir pengsan menahan kesakitan itu. Selalu juga muntah-muntah hingga terpaksa tidur di tempat mengambil wudhuk di kawasan bilik air berhampiran biliknya itu. Jika masih sakit, maka tidak ada cara lain melainkan memakan pil pain killer. Itu pun kalau dah terpaksa dan terlalu sakit. Makan pain killer terlalu kerap juga boleh memudaratkan kesihatan. Tak fasal-fasal hilang satu penyakit, timbul pula penyakit lain. Tapi kesakitan itu sebenarnya menunjukkan seseorang wanita itu adalah subur. Penyakit ini kebiasaanya akan terus hilang dalam diri seseorang wanita setelah dia melahirkan anak.

“Aku panaskan tungku ya. Sebelum tu, sapukan minyak panas di bahagian perut kau.” Arah Rumaisha selaku orang yang berpengalaman sambil memberikan botol minyak ‘Mastika’ kepada Fahlin. Rumaisha segera mengambil tungku elektriknya yang berbentuk seperti bantal bayi itu lalu disambungkan ke plak suis dengan wayar penyambung. Setelah tungku elektrik mengeluarkan lampu hijau yang menandakan tungku sudah panas sempurna, dia menekan butang ‘off’ pada suis dan menanggalkan tungku dengan wayar penyambung. Rumaisha mengambil tungku yang telah dipanaskan itu lalu dituamkan di bahagian perut Fadhlin. Selepas satu minit menuam, dia akan menyapu minyak ‘Mastika’ pula dan melilit perut kawannya itu dengan kain sarung yang dilipat selebar tapak tangannya dengan cara memanjang. Sesudah itu, Rumaisha menuam semula tungku panas-panas suam itu di bahagian perut. Kaedah ini perlu juga diketahui oleh para suami apabila isteri ditimpa penyakit perempuan seperti ini supaya pengecutan otot-otot rahim yang luar biasa itu boleh dikurangkan dan dengan izin Allah membuatkan pesakit lebih tenang. Ubat-ubatan yang mengandungi hormon juga boleh membantu selain dirawat dengan ‘ibuprofen’ yang membantu menghalang penghasilan ‘prostaglandin’. Hal ini demikian kerana penghasilan hormon ‘prostaglandin’ oleh badan dalam uterus inilah yang menyebabkan pesakit akan mengalami sakit yang teruk di bahagian pinggang dan ari-ari. 

Kain tudung pun belum sempat ditanggal kerana terlalu risau sakit Fadhlin itu melarat. Melihat keadaan Fadhlin yang terlena, dia bersyukur. Tadi Lin berpeluh-peluh menahan sakit, wajahnya juga pucat. Sekarang alhamdulillah keadaannya sudah stabil. Memandangkan kuliah hari ini selesai pada pukul 1.30 petang tidak seperti hari-hari lain yang berlanjutan hingga ke 4.30 petang, Rumaisha tidak akan melepaskan peluang sebegini untuk berehat seketika. Rumaisha menanggalkan tudung dan anak tudungnya. Selesai mengurus diri dan membasuh serta menjemur pakaian yang dipakai ke kuliah tadi di ampaian, dia merebahkan seluruh badannya di atas tilam. Terasa lenguh-lenguh di bahagian belakangnya tadi juga beransur hilang. Allah, selesanya! 

“Sha, aku terlena ke tadi?” tanya Fadhlin tiba-tiba. Dia masih terbaring di atas katil dan wajahnya pula dihadapkan ke arah Rumaisha yang juga sedang berbaring di atas katil bersebelahan dengan jarak 2 meter.

“Aah, Lin. Masa aku tengah mengurut, tengok-tengok kau dah lentok. Lena sampai nak terkeluar air liur basi!” jawab Rumaisha.

“Eh, betul ke Sha? Ya Allah, macam mana aku nak nikah dengan Syuraik nanti kalu air liur basi meleleh mase tidur. Ya Allah malunya aku! Oh tidak! Kau ni pun satu, Sha! Kau urut tadi buat aku rasa selesa sangat. Tu yang tiba-tiba terlentok. Hehe Tapi syukur alhamdulillah hilanglah sikit sakit perut aku ni,” kata Fadhlin dengan mata separa terbuka.

“Aku tak kata pun keluar. Aku kata macam nak terkeluar. Ish, kau ni Lin. Cotton buds dah berapa lama habis?” usik Rumaisha.

“Amboi kau! Cotton buds kau kata. Main ‘halus’ kau ya. Nasib baik aku tengah sakit, kalau tak..” Seloroh Lin.

“Kalau tak, ape? Hah?” Rumaisha mengusik lagi.

“Aku kawinkan kau dengan Uwais, baru tahu! Biar padan muka kau!”balas Fadhlin.

“Pandailah kau. Macam kau pulak mak aku ya. Sempat lagi nak kenakan aku walaupun sakit-sakit macam ini. Tak sedar diri langsung.” Rumaisha membaling bantal kecil ke arah Fadhlin sambil menjeling manja.

“Aku sakit di perut bukan di mulut. Jadi tugas aku untuk kenakan kau masih berjalan seperti biasa. Eh, Sha, apa kata aku minta tolong Syuraik ingatkan Uwais tentang hal tu? Manalah tahu, dia masih menyimpan perasaan pada kau kalau ingatan dia pulih nanti. Lagipun, aku rasa tak ada masalah. Syuraik masih rapat dengan Uwais macam dulu walaupun diorang dah habis belajar kat sini. Kau rasa, okey tak?” tanya Fadhlin serius.

“Hello! Amboi, amboi, amboi. Banyak cantik muka kau! Kau bocorkan rahsia ni, aku ganyang-ganyang mulut kau dengan cili tau.” Kata Rumaisha dengan nada bersahaja.

Best jugak tu. Hehe idea yang bagus! Em, atau kau masih tunggu Si Hafiy, Sha?” tanya Fadhlin menuntut kepastian.

Rumaisha mengeleng dan berkata “Tidak, Lin. Aku tidak sesekali menunggu dia. Aku dah maafkan dia dan aku tidak menyimpan dendam padanya. Malah aku tidak pernah rasa menyesal mengenali dia, Lin. Dia banyak mengajar aku tentang kehidupan. Banyak sekali kenangan yang telah terpahat. Ye lah, kami berkawan bukannya sebulan dua, Lin. Dah bertahun-tahun lamanya. Sepanjang aku kenal dia, banyak selok-belok negara Mesir yang aku tahu. Dari segi bahasa arab pasarnya, suasananya, orangnya dan budayanya semuanya sudah terangkum indah dalam ingatanku seolah-olah aku pernah menjejaki negeri Nabi Musa itu. Namun, inilah hakikat yang kami patut terima. Tidak semestinya yang lama itu akan bertahan dan tidak semestinya yang baru itu akan kekal.” Jawab Rumaisha. Kali ini Fadhlin khusyuk sekali mendengarnya.

“Kau memang nekad ke, Sha? Dah banyak lamaran kau tolak sebab menunggu dia selama ni kan?” Tanya Fadhlin lagi.

“Aku nekad, Lin. Sewaktu aku dapat menghidu persahabatan baiknya dengan gadis itu, aku langsung menunaikan solat sunat istikharah. Kau tahu kan, Lin. Perasaan aku waktu itu terasa hancur sekali. Ye, memang kami tidak pernah meluahkan perasaan satu sama lain dan jarang sekali mengutus berita. Namun kami masing-masing memahami. Aku tidak nafikan, sedikit sebanyak aku juga berharap. Beberapa kali aku solat sunat istikharah memohon agar Allah membantuku untuk membuat keputusan. Namun, Allah belum menemukan aku kepada jawapan yang jelas. Pada suatu malam, aku tidak mampu untuk tidur, Lin. Kupejam-pejam mata, namun mataku masih degil untuk terus berjaga. Aku kira itu isyarat Allah kepadaku tanda doa waktu itu sangat dikabulkan. Aku mengambil wudhuk dan terus menunaikan solat sunat istikharah. Selesai sahaja solat, aku tetap tidak boleh melelapkan mata. Kebetulan minggu itu minggu imtihan, aku membuat sedikit ulangkaji dan pada saat itu jam sudah pun menunjukkan pukul 3 pagi. Aku terdetik untuk mencari maklumat melalui internet. Alang-alang sudah melayari internet, aku log in sebuah laman sosial ini. Allah, aku terkejut, Lin! Aku nampak mereka sangat akrab. Pada waktu itu juga, kepercayaanku kepadanya juga turut runtuh dan lenyap sama sekali! Kini, aku benar-benar yakin itu jawapan Allah untukku. Alhamdulillah, Lin. Sepanjang semua itu berlaku, tidak setitik air mataku menitis keluar. Pada saat itu juga, aku redha dan yakin pasti ada yang terbaik untukku dan untuknya. Soal lamaran-lamaran tu, bukanlah aku menolak sebab dia tapi sebab aku belum bersedia, Lin.” Rumaisha menceritakan dengan panjang lebar.

“Pernah tak kau terfikir kalaulah dia ada kat depan mata kau, apa yang kau akan buat? Kau nak lenyek-lenyek dia jadi sambal ke atau kau nak kisar dia dalam blender?” tanya Fadhlin sambil membuat aksi melenyek-lenyek bantal kecil yang dibaling Rumaisha tadi.

“Haha kau ni, Lin. Merepek je. Hmm.. kalau dia ada kat depan aku, aku nak ucap terima kasih banyak-banyak kat dia, Lin. Aku jadi dewasa dengan perkenalan ni. Aku terhutang budi dengan dia. Dia salah seorang guru pengalaman aku, Lin.” jawab Rumaisha sambil tersenyum.

“Guru pengalaman? Kau masih boleh berlembut dengan dia walaupun dia dah aniaya perasaan kau macam ni? Hmm, aku tahu susah nak buat macam tu kan, Sha? Tapi baguslah kalau kau bertindak macam ni. Tindakan yang matang, Sha! Aku pun tak faham kenapa orang sekarang ni, mula-mula sayang-menyayang, lama-lama dah melayang-layang semua kasih sayang tu dan masing-masing benci-membenci. Benarlah kata-kata Imam Syafie, ‘Manusia yang paling bersifat kekurangan adalah manusia yang selesa dengan dengki dan dendam yang ada pada dirinya.’" sokong Fadhlin tanda dia bersependapat dengan Rumaisha.

“Allah, aku suka kata-kata Imam Syafie tu, Lin. Terima kasih. Hmm aku yang aniaya perasaan aku sendiri, Lin. Siapa suruh aku berharap kan? Allah dah pesan awal-awal, ‘(Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka’ . Semua ini aturan Allah. Allah telah menghadirkan aku seorang guru pengalaman yang cukup hebat. Kalau aku nak benci dia pun atas dasar apa? Aku ni pun banyak perkara yang aku buat, orang tak suka, Lin. Aku sangat terkesan dengan kata-kata ni, pandanglah kebaikan yang ada pada orang lain, dan pandanglah kejahatan yang ada pada diri sendiri nescaya kamu akan menghargai orang di sekelilingmu. ” jelas Rumaisha merungkai segala persoalan.

“Tak apalah, Sha. Kalau dia tidak sanggup menunggu, maka lebih baik kau lepaskan sahaja dia dengan sesiapa pun, asalkan dia menemui kebahagiaannya. Tapi yang ruginya, dia, Sha! Kau sahabat aku, Sha! Aku tahu kau lebih layak dengan orang yang jauh lebih baik dari dia. Jika sebelum kawin dia sanggup buat kau macam ni, apatah lagi kalau dah kawin nanti.” ujar Fadhlin.

“Dia dah mohon maaf dan mengaku yang dia khilaf. Aku dah maafkan dia. Aku rasa tidak ada gunanya untuk dia menunggu lebih lama. Lebih baik aku yang menarik diri. Dengan siapa pun dia nanti, kita sama-sama doakan kebahagiaan dia, Lin. Sekurang-kurangnya, ucapan ‘Aku sangat mencintaimu’ masih kuikat kemas dan tidak pernah kuluahkan kepada mana-mana lelaki ajnabi. Insya-Allah ini ucapan istimewa hanya untuk suamiku. Insya-Allah, Lin!” kata Aisha dengan penuh bersemangat.

“Tindakan kau melepaskan dia amat tepat sekali, Sha! Aku sokong! Hehe aku suka tengok kesabaran kau ni. Kau dah banyak berubah dari dulu kan? Hmm sabar ni satu perkataan yang cukup mudah meniti di bibir manusia namun sukar sekali kan untuk melaksanakannya. Aku seringkali tewas, Sha.” Fadhlin bernada sedikit rendah diri.

“Aku pun sama, Lin. Kalah dengan perasaan sendiri. Sabar ini susah, Lin! Susah sangat. Apabila ditanya kepada Al-Junaid tentang sabar, maka dia berkata : “Sabar itu adalah meneguk kepahitan tanpa berkerut dahi.” Sabar ini sebenarnya berasal dari perkataan sabir iaitu nama buah yang rasanya sangat pahit. Meneguk kepahitan tanpa berkerut dahi? Hmm susah kan, Lin?” Kata Aisha sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya.

“Betul tu, Sha! Kita selalu nasihatkan orang : sabar, sabar. Tapi sepatutnya kita perlu memberitahu orang yang ditimpa musibah itu cara bagaimana untuk bersabar, bukan dengan sekadar menasihatinya supaya bersabar sahaja.” Fadhlin menyuarakan pendapat. Nampaknya perbualan mereka sudah berubah rentak.



“Ya, Lin. Nabi Muhammad mengajarkan kita tentang cara untuk bersabar iaitu pertama, ikrar dan kedua, berdoa. Ikrar iaitu ingat janji bahawasanya kita ini telah mengaku sebagai hamba dan seorang hamba selayaknya sentiasa diuji. Kedua, berdoa supaya musibah yang menimpa kita itu memberi kebaikan kepada diri kita dan semoga dikurniakan Allah ganti yang lebih baik dari sebelumnya. Sebaik sahaja mendapat musibah, nabi mengajar kita untuk terus bersabar waktu itu juga. Bukan dengan mengeluh dan merintih-rintih terlebih dahulu, baru nak bersabar. Itu bukan sabar lagi namanya. Ruwaim juga pernah berkata “Sabar itu adalah meninggalkan mengadu segala ujian kepada makhluk. Allah, aku dah termengadu pada kau, Lin. Astaghfirullah..”  Jelas Aisha dengan nada sedikit kesal.

“Tak apalah, Sha. Kita muhasabah diri kita balik. Hmm, sabar itu indahkan? Fasbir sobran jameela. Maka bersabarlah engkau (Muhammad) dengan kesabaran yang baik. Alhamdulillah, terima kasih, ‘Doktor’ Rumaisha. Perkongsian petang yang menarik untuk aku selaku pesakit kau petang ni. Terima kasih juga rawat aku tadi. Hehe macam berusrah pulak aku rasa. Walaupun kau berlagak kuat depan aku, tapi aku tahu kau masih terluka, Sha. Insya-Allah semoga Allah mengurniakan ganjaran yang besar buat kau, Sha. Jangan lupa, aku sentiasa dibelakang kau. Ana uhibbuki fillah jiddan,  Rumaisha binti Harits!” kata Fadhlin dengan tersengih-sengih.

“Ya, sangat indah, Lin. Sama-sama. Ilmu kau pun apa kurangnya. Terima kasih sudi nasihatkan aku. Dan sanggup di samping aku saat susah dan senang. Ameen ya Rabb! Haha kalau Syuraik tahu, dia pasti cemburu dengan aku ni! Wa ana kaman ya Nur Fadhlin binti Mohd Khusairi. ” usik Rumaisha sebelum mereka tergelak kecil. 

Bunyi telefon Rumaisha tiba-tiba mencelah. Ada kiriman mesej dari seseorang. Rumaisha membaca teks mesej itu satu persatu. 

“Ya, Allah. Layakkah aku?!”



-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s :  Jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
13 Safar 1434 H
27 Disember 2012 (Khamis)
11.59 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan