Sekadar 'Reminder' ?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Cukupkah mengingati tarikh-tarikh penting seseorang dengan hanya menyimpannya dalam 'reminder' ? Menjawab persoalan tersebut, mungkin cukup atau tidak itu terpulang kepada pendirian masing-masing. 

Bagi Sara, kalau seseorang itu tidak begitu rapat, tiada masalah. Tapi kalau rapat, agak 'touching' juga lah jika sekadar ingat melalui 'reminder'. Jika tersalah tarikh masih lagi dapat dimaafkan. Ya. Mungkin tersalah dapat maklumat. Tapi kalau sekadar 'reminder' ini memang menyedihkan. Setuju tak ?

Pada pengamatan Sara, kalau sekadar 'reminder' yang ingatkan ini, selalunya mereka yang tidak akrab dengan Sara, jadi tak mengapalah. Ya. Kita tidak boleh terlalu mengharap orang yang kita kenal boleh ingat satu persatu tentang kita. Lain orang , lain kelebihannya. Ada orang boleh ingat nombor tapi susah pula nak ingat nama. Ada orang senang ingat nama tapi susah nak cam muka. Ada yang senang nak ingat jalan tapi susah nak kenal orang. Dalam dunia ini, macam-macam ada. 

Apa-apa pun, kita perlu sentiasa ingatkan diri sendiri supaya bersyukur. Ya. Bersyukurlah kerana ada yang masih sanggup menyimpan tarikh penting kita dalam 'reminder' berbanding tak ingat langsung kan?  Alhamdulillah.

                                      "                                                        "
                                                                                                                                       

p/s : Tarikh lahir amat penting bagi seseorang perempuan. Sebab itu Sara sedaya upaya mengingati tarikh lahir insan-insan yang Sara sayang terutama Umi, adik-beradik Sara dan sahabat-sahabat yang sangat Sara sayangi. Insya-Allah Sara cuba untuk terus ingat tarikh lahir mereka tanpa bantuan alat yang bernama ' R. E. M. I. N. D. E. R '. 


Sara Assyahidah
5 Jamadil Awal 1433 H
27 Mac 2012 (Selasa)
8.27 Malam


Penang [ 2 ]

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Sambungan kepada Penang [ 1 ] . Kenangan di SK Mak Mandin masih hijau. Penangannya cukup hebat. Mendapat mandat untuk menjadi guru ganti bagi tahun 1 Bestari dan 3 Azam antara perkara yang ingin Sara 'highlight' dalam entri kali ini. Tahun 1B memang benar-benar menguji kesabaran Sara yang senipis kulit bawang ini. Ada 5, 6 orang murid yang sangat nakal. Ya Allah, benar-benar teruji dengan mereka. Agak kelam kabut juga lah sara nak menguruskan kelas itu. Tapi alhamdulillah selepas bermacam-macam perkara Sara buat untuk tarik perhatian mereka, akhirnya berhasil dengan main teka-teka gambar. Sara lukis di papan hitam, mereka teka. Alhamdulillah ada juga bakat melukis. Sara lukis bakul, mereka teka kotak. Memang 'berbakat' sangat agaknya sampai murid-murid tak dapat teka apa yang Sara lukis. Hehe.

Kelas 3 Azam pula terbaik. Mula-mula Sara masuk kelas, Sara buat muka serius. Mereka senyap. Gaya Sara waktu itu persis guru disiplin. Sara tanya "Sebelum cikgu masuk, ada siapa-siapa yang keluar dari kelas tak? Yang keluar tadi, tolong bangun! " Mereka semua takut. Geli hati Sara melihat gelagat mereka. Selepas Sara tanya seoarang demi seorang, Sara pesan, "Lain kali, kalau cikgu tak masuk, jangan keluar kelas melainkan 2 perkara, pertama, pergi tandas, kedua, keluar untuk cari cikgu yang mengajar." Mereka mengangguk tanda faham. Tapi selepas Sara kata, "Hari ini kita main 'game', boleh?". Mereka terus bersorak. Pergh boleh tahan juga lah mereka menukar perwatakan dalam sekelip mata. Kami main permainan 'Kami Kata'. Tanpa disedari 1 jam sudah berlalu. Masa dah tamat. 

"Ustazah, nanti esok, ustazah masuk la kelas kami na". Ustazah? Terkedu. Sara hanya mampu tersenyum. 

Esoknya, pagi-pagi lagi mereka mengekori Sara dari belakang sebaik sahaja Sara keluar dari kereta menuju ke bilik guru. 

"Assalamualaikum ustazah."

"Waalaikumussalam warahmatullah. Ada apa ni senyum-senyum ni? Hmm?"

"Ustazah, kalau ada cikgu tak mai hari ni, ustazah ganti no. Ustazah jangan lupo masuk kelas kami. Kami tunggu ustazah." 

"Insya-Allah." Sara senyum sahaja. 

Tiba-tiba Sara tak masuk pun kelas meraka hari itu. Penolong Kanan Pentadbiran tidak memberi arahan untuk ganti mana-mana kelas. Jadi, Sara sebaiknya mengikut arahan. Pada waktu tengah hari terserempak dengan Ija dan Siti (murid 3A). 

"Ustazah....Ustazah tipu kami. Ustazah habaq nak mai kelas kami. Ustazah tak mai pun. Ustazah..." Ija bersuara dengan nada kecewa.

"Maafkan cikgu. Hari ini, cikgu tak boleh ganti mana-mana kelas. Sebab tu cikgu tak masuk kelas ampo"

"Ustazah, ustazah masukla. Kami suko belajaq dengan ustazah. Ustazah mengajaq bez! "

"Amboi, bila pulak cikgu mengajaq. Kita main je ka? Ampo ni kalau maen, suko no." Sara bernada jenaka.

Tiba-tiba Ija dan Siti tersengih-sengih seperti kerang busuk sambil mengangguk perlahan-lahan. 

"Ustazah, esok, ustazah janji dengan kami no. Ustazah kene masuk kelas kami"

"Ya lah. Esok kalau ada mana-mana cikgu yang tak masuk, panggil cikgu kat bilik guru. Boleh?"

"Ok ustazah!" Mereka terus berlari. 

Esoknya, hari Jumaat (hari terakhir Sara di sana). Hari itu kelas mereka penuh. Semua cikgu masuk. Dek kerana tidak mahu menghancurkan harapan mereka, Sara minta izin dengan guru yang mengajar 3A pada waktu itu untuk membenarkan Sara bersama mereka pada 10 minit terakhir sebelum pulang. {Apa yang Sara nak kita sama-sama ingat, kalau seseorang kanak-kanak itu berharap sesuatu yang munasabah daripada kita, cubalah penuhi permintaan itu kerana harapan kanak-kanak itu merupakan suatu perkara yang besar maknanya bagi mereka.}

"Hari ini hari terakhir cikgu di sini."

"Cikgu, pasai pa cikgu nak pi? Duduklah dengan kami cikgu. Cikgu...."

"Ala. Tu la cikgu pun kalau boleh tak mau pi. Tak ape, nanti kalau ada waktu lapang, kita berhubung ok? "

"Cikgu..Cikgu..kami nak nombor telefon?"

Sara menulis nombor telefon di papan hitam. Tanisya, seorang murid berbangsa India menyerbu Sara. 

"Cikgu, ni hadiah untuk cikgu!"

"Wah, Tanisya. Cantiknya. Terima kasih Tanisya."

"Cantikka, cikgu?"

"Cantik." Sara tersenyum tepat kepadanya.

Lalu kami bergambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Tanisya,  terima kasih untuk hadiah bintang tu.  :-)







Petangnya itu, Sara dihubungi oleh dua orang daripada mereka, Ija dan Tanisya.

Malamnya pula, ketika berada di dalam bas semasa perjalanan pulang ke Kelantan. Nenek Tanisya pula menghubungi Sara. Tergamam seketika. Kenapa ya?

Nenek Tanisya : Ini cikgu Tanisya ka?

Sara : Ya. Ya saya.

Nenek Tanisya : Saya nenek Tanisya. Saya mahu cakap sama cikgu la. Tanisya habaq sama saya, dia sayang sama cikgu. Dia menangis ni, rindu sama cikgu. Dia kata cikgu baik sama dia. Dia nak pi Kelantan jumpo cikgu. Sebab itu Saya nak cakap dengan cikgu. Saya mahu kenal sama cikgu la.

Sara tergamam lagi. Lalu perbualan kami berlanjutan sehingga lebih kurang 10 minit. Selepas itu, Tanisya pula yang mahu bercakap walaupun teresak-esak. Katanya "Cikgu, I LOVE YOU!"

Allah. Cikgu pun sayang Tanisya juga. (T__T)

p/s : Seronok jadi cikgu. Rugilah siapa yang tak jadi cikgu kan ? Hehe. 



Sara Assyahidah
4 Jamadil Awal 1433 H
27 Mac 2012 (Selasa)
6.56 Petang


Penang [ 1 ]

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Hari Jumaat, 23 Mac 2012, hari terakhir Sara di SK Mak Mandin, Mak Mandin, 13400 Butterworth, Pulau Pinang. Maka ini bermakna hari terakhir juga Sara di Penang. Allahuakbar, mengutip makna hidup di sekolah kecil ini antara kenangan yang terindah bagi Sara. Namun bukan sebarang kecil, kecilnya itu ada keberkahan sehingga terasa ke jantung yang berdegup ini. Ya. Segalanya Sara rasa begitu sempurna. Landskapnya cukup indah. Sekolahnya cukup bersih. Sesuatu kelainan bagi Sara atas peluang yang Allah aturkan ini, Sara belajar erti cinta kepada kanak-kanak istimewa. Di mata mereka, Sara lihat ada suara yang merayu kepada kami, 

"Tolong kami cikgu. Kami tahu kami tidaklah sesempurna anak-anak yang lain, namun cikgu tolong bantu kami sama seperti cikgu tolong mereka. Tolong cikgu, bantulah kami. "

Zuhairi dan Amir tengah 'warm up' sebelum kami PJ
Partiban dan Eric . Partiban mengalami masalah autisme yang serius dan Eric pula mengalami masalah pembelajaran. Bagaimanapun keadaan kamu, cikgu sayang kamu.  
Beratur sebelum makan

 Baca doa sebelum makan. Hehe Eric pun baca doa juga. Mohon Allah bagi hidayah kepada Eric . Amin.

Menemani mereka makan. Sedapnya tapi tak pelawa cikgu pun. :(

Chung Hua cuci gelas selepas makan dan minum. Very good girl ! Chung Hua menangis saat kami berpisah. Dia meghulur-hulurkan tangannya supaya Sara tidak meninggalkan bilik Pendidikan Khas itu. Terlalu ikhlas kasih sayang mereka.

Ai Xin juga mengalami masalah autisme (iaitu berada dalam dunianya sendiri) tapi tidak serius. Dia memandang Sara saat terakhir kali kami jumpa dengan pandangan yang sangat sebak untuk Sara ingat. Dia memandang Sara hingga Sara hilang dari pandangannya. Dia melambai-lambai tangannya. Allah, mata Sara sudah mula berkaca. 


p/s : Mereka juga seperti kita. Tiada lebihnya kita dari mereka. Dekatilah mereka dengan kasih sayang, insya-Allah pasti kalian juga merasai kasih sayang mereka. Sara rindu untuk bersama mereka lagi.



Sara Assyahidah
1 Jamadil Awwal 1433 H
24 Mac 2012 (Sabtu)
6.27 Pagi


Sanah Helwah Umi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Pada tanggal 5 Mac 1966 seorang anak perempuan yang bernama Che Zalehawati binti Abdul Rahman telah selamat dilahirkan dari rahim seorang ibu yang amat penyayang. Anak perempuan itu sangat comel dan setelah dia dewasa, dia sangat cantik. Hari ini, tarikh 5 Mac muncul lagi. Hari ini, hari ulang tahun kelahiran dia. Sara sayang 'dia' sangat-sangat. Kalau Sara ada masalah, Sara banyak berkongsi dengan 'dia'. Sara minta pendapatnya. Dia sangat 'sporting' dan amat disayangi anak-anak. Apabila Sara di rumah, Sara luangkan hampir sepenuh masa bersamanya. Kalau dia tidak ada di rumah, pasti Sara rasa sunyi dan janggal sekali. Sara betul-betul merinduinya. Rindu untuk mengurut lenguhnya. Rindu untuk memasak untuknya. Rindu segala-galanya apa adanya dia. Dialah sahabat baik dan pengkritik terhebat Sara setakat ini. Hehe. Umi, sanah helwah. Angah sayang umi kerana Allah. Moga Allah meredhai umi di dunia dan di akhirat. 




 p/s: Doakan ibu sara bahagia di dunia dan di akhirat. Aamiin. Dan sudikanlah rakan-rakan pembaca menyedekahkan al-fatihah kepada nenek Sara iaitu ibu kepada ibu Sara yang telah pulang ke rahmatullah. Sara amat merindui arwah. (T________T). Al-Fatihah...


Sara Assyahidah
13 Rabi'ul Thani/ Rabi'ul Akhir 1433 H
5 Mac 2012 (Isnin)
10.40 Malam