Sampaikan Sayang Ini Kepadanya

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Harap pembaca semua sihat iman dan sihat fizikal. Insya-Allah. Tentu ada yang tertanya-tanya kenapa tajuk catatan / 'post' saya semenjak dua menjak ni 'jiwang' semacam. Sebab saya dilamun cinta! Apa? Ya! Saya dilamun cinta bersama Dia (Yang Maha Pelindung). 

Sebelum itu, dalam seminggu ini, rasa banyak sangat yang telah berlaku. Namun, sabarlah wahai hati. Semoga Allah memberimu syurga cinta yang suci. Insya-Allah.

Ditambah pula dengan laptop yang tidak sampai dua tahun sudah mula nak 'manja-manja' sampai tidak mahu hidup. Macam-macam. Namun hidup mestilah diteruskan walaupun laptop nampaknya sudah mahu menghembus nafasnya yang terakhir. *barangkali* =(

Terima kasih buat sahabat baik, Kak Ila kerana dengan rela hatinya meminjamkan laptopnya kepada saya. Dapat juga menulis setelah sekian lama menyepi.

Malam tadi merupakan malam bersejarah bagi saya. Kenapa ya? Kerana tengah malam tadi merupakan hari pertama dalam sejarah hidup saya menghantar mesej yang berbunyi 'I LUV U' kepada seorang yang bernama lelaki. 



Hehe agak melucukan kerana ini antara perkara pelik yang pernah saya buat! Dan nak tahu reaksi dia? Pada pagi tadi, telefon bimbit saya berbunyi, tanda mesej masuk. Saya pun tekan 'keypad'. Nama dia muncul di skrin. Lalu dengan segera saya membaca mesejnya. Ringkas! Tapi buat saya tersenyum untuk sepanjang hari ini. 

'LUV U 2 FOREVER'

Itulah mesej yang dibalasnya!

Lelaki yang saya maksudkan ialah Ba. Ba merupakan panggilan untuk ayah saya. Mungkin kalian pelik kan? Mungkin ada di antara kita rasa perkara ni biasa sahaja. Tetapi kenapa saya rasa teruja sangat? Al-kisahnya begini, saya dengan ayah saya ini walaupun tinggal bersama tapi kami jarang bercakap. Bercakap perkara-perkara penting sahaja. Jujurlah saya cakap, masa dia muda-muda dulu, (sekarang pun hensem cuma berusia sikit..hehe sorry Ba)  dia seorang yang garang. Tapi sekarang ini, mungkin faktor usia, alhamdulillah dia seorang yang banyak sabar berbanding dahulu. Dahulu, biasalah. Darah muda! 

Tapi bukan setakat Ba, ayat 'I LUV U' itu juga saya hantar kepada adik-beradik dan terutama sekali Umi. Rasa bahagia sangat apabila kita dapat menyampaikan rasa sayang ini kepada orang yang kita sayang.  Masa inilah, kita nak praktikkan keromantikan kita kepada keluarga. Tak perlu tergesa-gesa untuk mengamalkan keromantikan kita kepada yang tidak berhak! Yang boleh mengundang kebencian Allah.

Jadi apa kata, kalau kalian ada yang tidak pernah melakukan perkara seumpama ini, lakukannya sekarang! Hanya tekan 'keypad' I (jarak) LUV (jarak) U dan hantarkan kepada ibu bapa dan adik-beradik anda! Sampaikan Sayang kita kepada mereka sementara mereka masih ada! TERUTAMA KEPADA IBUBAPA KITA!! 

p/s : Jika anda masih punya ibu dan ayah, sampaikanlah rasa sayang anda kepada mereka! Ayuh! Jangan berlengah!  Jangan sampai anda menyesal di kemudian hari!

Salam kasih dan sayang buat orang tua kita dan keluarga kita daripada saraassyahidah.blogspot.com. (^_^)

Sara Assyahidah
15 April 2011

DaTe uNtUk bErMaNja-MaNja deNgAnMu!

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Apa kata malam ini, kita 'date'? Date for what?? Nak bermanja-manja.

Malam ini sudah menghampiri pukul 12.00 malam. Waktu pagi akan muncul beberapa detik sahaja lagi. Saat ini ramai yang lena dibuai mimpi-mimpi indah. Masa inilah kalau kita 'date' pun orang tak tahu. Tidur sekejap selepas itu bangun semula. Tapi kita kena tinggallah tilam dan bantal yang empuk tu. Walaupun ada di antara kita yang mungkin takut untuk bangkit. Tapi ingatlah semua yang ada di muka bumi ini adalah milik Allah.

Dalam dunia ini ada 4 jenis makhluk sahaja:
1) manusia
2) malaikat
3) jin 
4) iblis/syaitan

Jadi tak ada makhluk yang ke-5 iaitu HAN_ _  (tak nak lah tulis penuh, mesti dah boleh teka ni)

Jom malam ni! DATE!!

Tapi kena dalam keadaan berwudhuklah. Lepas itu kita solat tahajjud 2 rakaat. Solat sunat taubat 2 rakaat. Solat sunat hajat 2 rakaat. Akhir sekali witir 3 rakaat dengan 2 salam.

Kalau rasa tak larat nak buat semua. Tak mengapa. Kita buat yang atas sekali tu dulu. Solat sunat tahajjud 2 rakaat dengan satu salam.

Masa ini kita tumpukan perhatian kita kepada Dia. Alang-alang dah 'Date'. Apa kata kalau kita puji-puji Dia. Berkata-kata dengan Dia.
Luahkan perasaan sayang sangat-sangat kepada Dia. Kita minta apa-apa yang patut.

Juga yang paling penting. Semasa kita berkata-kata dengan Dia, ungkitlah kesilapan-kesilapan kita yang lalu. Menangislah sepuas-puasnya. Berusahalah untuk mengeluarkan setitis air mata. Jika kita dapat teresak-esak lagi bagus. Anggaplah ini 'Date' kita yang terakhir. Buat sehabis baik! Jangan biar Dia kecewa dengan kita.
Biar Dia peluk kita dengan kasih dan rahmatNya. Insya-Allah.

Pagi esok kita berjemaah pula di surau/masjid. Memang Dia akan sayang kita lebih. Sebab Dia suka kalau orang bermanja-manja dengan Dia di saat ramai yang gugur dalam keadaan pagi yang sejuk dan mendamaikan ini.

Mudah-mudahan, kita tergolong dalam bilangan kecil yang melawan nafsu untuk bertemu dengan Allah bersama pintu taubat yang dibuka seluas-luasnya.

Surah Al-Muzammil ayat 2:

"Bangunlah (untuk solat) pada malam hari kecuali sebahagian kecil"

Berdoalah agar Dia senaraikan kita dalam kalangan orang yang 'berTEMUJANJI' dengan Dia malam ini dan malam-malam seterusnya.

ANDA MEMANG HEBAT!! MABRUK!! BRAVO ALAIKUM!!

p/s : Kuatkan diri dan iman. Lawan syaitan yang sedang mengulik tidur kita! (^_^)

Sara Assyahidah
11 April 2011

~:Khas Buatmu:~

 Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum wbt


Wahai si pengejar ilmu di rantau orang..
Maafkanku..
Kali ini tidak akan kutanya khabarmu..
Kerana kutahu Allah Yang Maha Pelindung..
Melindungimu..

Maaf jika khabarku tidak lagi kaudengar..
Daku kini begitu asyik dalam nikmat Cinta Tuhan..
Cinta-Nya lebih menjadikanku kenal erti cinta..
Alhamdulillah Allah masih sayangkan kita..

Ketahuilah..
Jika benar jodoh kita sudah tertulis..
Ditulis oleh Pencipta Cinta..
Insya-Allah..
Ada! Pasti ada!!

Aku menunggu kehadiran lamaranmu..
Namun lamaran itu..
Entah sempat atau tidak..
Takut nanti..
Allah menjemputku dalam masa terdekat ini..
Harapan itu ternyata sia-sia..

Oleh itu..
Tidak kumahu untuk mengundang murka Allah..
Tidak juga kumahu diluka oleh noda dan dosa..


Masih ingatkah..
Dikau pernah khabarkan kepadaku.. 
Bercinta selepas nikah nikmatnya begitu indah..

Aku menunggu saat itu..
Untuk menjadi pencinta yang setia buat yang sah untukku..
Dan kupasti dikau jua begitu..

Jadi..
Jika Allah kabulkan doa kita..
Hari yang dinanti itu pasti tiba..
Insya-Allah..

Namun..
Jika dikau tidak berkenan dengan cara ini..
atau..
Dikau sudah ada pengganti untuk mengisi kamar hatimu..
Maafkan aku..
Hanya 'Salam Permisi' yang mampu untuk kuucapkan..
Inilah jalan yang telah kupilih..

Tapi..
Andai hatimu bersetuju dengan cara ini..
Satu hari nanti..
Jika kita ditakdirkan untuk bertemu dan bersama dalam redha dan kasih Allah..
Aku akan menjadi yang paling cantik di matamu..
Jua menjadi yang paling indah di hatimu..


Percayalah pada janji Allah..
Kutahu dikau bisa menerima semua ini..
dan..
Jika benar dikau ikhlas menerima kehadiranku..
Jemputlah daku di rumah orang tuaku dengan cara yang sebaik-baiknya..

Akhirul kalam..
Sekali lagi maafkanku..
Aku pergi dulu..



p/s : Janganlah cinta manusia yang haram bersarang dalam hati kita. Cinta sebenar adalah cinta pada yang Halal.(^_^)


Sara Assyahidah
9 April 2011


Bisyr, manusia berkaki ayam

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Moh le eden nak kabo sikit ni..
Mahu saya ceritakan kepada kalian, kisah seorang wali. Seperti mana yang kita tahu, para wali ini, iman dan yakinnya pada Allah ini terlalu tinggi termasuklah pemuda yang bernama Bisyr (Sheikh Bisyr bin Harits RA), manusia berkaki ayam (tidak memakai alas kaki), yang mana dia lahir di Merv dan menetap di Baghdad. Sewaktu muda, dia seorang pemuda yang boros. Suatu hari dalam keadaan mabuk, dia berjalan terhuyung-hayang. Tiba-tiba dia terjumpa secarik kertas bertulis: "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang". Bisyr lalu membeli minyak mawar untuk dipercikkan pada kertas tersebut kemudian menyimpannya dengan cermat di rumahnya.

Pada malam harinya seorang manusia suci(wali) bermimpi. Dalam mimpi itu diperintahkan Allah untuk mengatakan kepada Bisyr: "Engkau telah mengharumkan nama-Ku,maka Aku pun telah mengharumkan dirimu. Engkau telah memuliakan nama-Ku, maka Aku pun telah memuliakan dirimu. Engkau telah mensucikan nama-Ku,maka Aku pun telah mensucikan dirimu. Demi kebesaran-Ku, nescaya Ku harumkan namamu, baik di dunia mahupun di akhirat".

"Bisyr seorang yang boros." Fikir wali itu. "Mungkin mimpiku salah."


Oleh sebab itu, dia segera pergi bersuci, solat kemudian tidur semula. Namun tetap juga dapat mimpi yang sama. Dia mengulang perbuatan itu tiga kali. Ternyata tetap mengalami mimpi yang sama juga. Keesokan harinya pergilah dia mencari Bisyr. Daripada seorang yang ditanyanya , dia mendapat jawapan : Bisyr sedang mengunjungi pesta buah anggur."

Maka pergilah dia ke rumah orang yang sedang berpesta itu. Sesampainya di sana, dia bertanya : "Apakah Bisyr berada di tempat ini?"
"Ada, tetapi dia dalam keadaan mabuk dan lemah tak berdaya."
"Katakanlah kepada Bisyr, bahawa ada pesan yang hendak kusampaikan kepadanya," kata wali itu.
"Pesanan daripada siapa?" Tanya Bisyr.
"Daripada Allah!" jawab wali itu.
"Ya Allah!" seru Bisyr dengan airmata berlinang, "Apakah pesan untuk mencela atau untuk menghukum diriku?" Tetapi tunggulah sebentar, aku pergi meminta izin untuk beredar daripada sahabat-sahabatku dahulu.


"Wahai sahabat-sahabatku, aku dipanggil. Oleh sebab itu aku harus meninggalkan tempat ini. Selamat tinggal! Kalian tidak akan pernah melihat diriku lagi dalam keadaan seperti ini!"

Sejak saat itu tingkah laku Bisyr berubah kepada seorang yang soleh. Sehingga tidak seorang pun yang mendengar namanya. Allah telah menyentuh hatinya. Bisyr telah memilih jalan pengasingan diri. Sedemikian khusyuknya dia menghadap Allah, dia tidak pernah lagi memakai alas kaki mulai saat itu. Inilah sebabnya Bisyr digelar manusia berkaki ayam.

Apabila ditanya " Bisyr, apakah sebabnya engkau tidak pernah memakai alas kaki?"
Jawabnya, "Ketika aku menghadap Allah (beribadat kepada Allah), aku sedang berkaki ayam."

Sejak saat itu aku malu mengenakan alas kaki. Apalagi bukankah Allah Yang Maha Besar telah berfirman : Telah kuciptakan bumi sebagai permadani untukmu. Dan bukankah tidak layak apabila berjalan memakai sepatu di atas permadani raja?"

Ahmad bin Hambal sangat sering mengunjungi Bisyr. Dia begitu mempercayai kata-kata Bisyr sehingga murid-muridnya pernah mencela sikapnya itu iaitu dengan berkata: 

ILust: Istimewa
"Pada saat ini tidak ada orang yang menandingimu di bidang Hadits, hukum, teologi dan setiap cabang ilmu pengetahuan, tetapi setiap saat engkau menemani seorang kaki botol. Adakah perbuatanmu itu betul?"

"Mengenai setiap bidang yang kalian sebutkan tadi, aku memang lebih arif daripada Bisyr," jawab Ahmad bin Hambal. "Tetapi mengenai Allah ia lebih arif daripadaku."
Ahmad bin Hambal sering memohon kepada Bisyr : "Ceritakanlah kepadaku perihal Tuhanku."

Kisah Lucu Diri Bisyr

Orang – orang berkumpul dan mendengar Bisyr berceramah dengan tema 'Rasa Puas'. Salah seorang di antara pendengar mencelah:
Abu Nashr, Engkau tidak mahu menerima pemberian dari orang kerana ingin dimuliakan. Jika Engkau benar-benar melakukan penginsafan diri dan memalingkan wajahmu dari duniamu ini, maka terimalah sumbangan-sumbangan yang diberikan kepadamu. Agar engkau tidak lagi dipandang sebagai orang yang mulia. Kemudian secara sembunyi berikanlah semua itu kepada orang-orang miskin. Setelah itu jangan engkau goyah dalam kepasrahan kepada Allah dan terimalah nafkahmu dari alam ghaib."

Murid-murid Bisyr sangat terkesan mendengar kata-kata ini.

"Camkah oleh kalian!" jawab Bisyr. "orang-orang miskin terbahagi kepada tiga golongan. Golongan pertama adalah orang-orang miskin yang tidak pernah meminta-minta dan apabila kepada mereka diberikan sesuatu, mereka menolaknya. Orang-orang seperti ini adalah para spiritualis. Seandainya orang-orang seperti ini meminta kepada Allah, nescaya dikabulkan segala permintaannya. Golongan kedua adalah orang miskin yang tak pernah meminta-minta, tetapi apabila kepada mereka diberikan sesuatu, mereka masih mahu menerimanya. Mereka itu berada di tengah-tengah.
Mereka adalah manusia-manusia yang teguh di dalam kepasrahan kepada Allah. Mereka inilah yang akan dijamu Allah di dalam syurga. Golongan ketiga adalah orang-orang miskin yang duduk dengan sabar menantikan pemberian sesuai dengan kesanggupan, tetapi mereka menolak godaan-godaan hawa nafsu."

"Aku puas dengan keteranganmu ini. "Orang yang mencelah tadi berkata : "Semoga Allah puas pula denganmu."

Bisyr bercerita : Pasa suatu ketika, di dalam mimpi, aku berjumpa dengan Nabi. Beliau berkata kepadaku : "Bisyr, tahu engkau mengapa Allah telah memilihmu antara manusia-manusia yang sezaman denganmu?" Dan tahukah engkau mengapa Allah memuliakanmu?"

"Aku tidak tahu ya, Rasulullah," jawabku.

"Kerana engkau telah mengikuti Sunnahku, memuliakan orang-orang yang soleh, memberi nasihat-nasihat yang baik kepada saudara-saudaramu, dan mencintai aku dan keluargaku. "Nabi menjelaskan. "Kerana itulah Allah telah mengangkatmu ke dalam golongan orang-orang yang soleh."

Diriwayatkan pula bahawa selama Bisyr masih hidup, tidak ada keldai yang membuang kotorannya di jalan-jalan kota Baghdad kerana menghormati Bisyr yang berjalan berkaki ayam. Pada suatu malam seorang lelaki melihat keledai yang dibawanya membuang kotoran di atas jalan. Maka dia pun berkata:
Wahai... Bisyr telah tiada...!"
Mendengar kata-kata itu, orang pun pergi menyelidik. Ternyata kata-katanya itu benar. Lalu kepadanya ditanyakan bagaimana dia dapat tahu bahawa Bisyr telah wafat.

"Kerana selama Bisyr masih hidup, tidak pernah ada kotoran keldai terlihat di jalan-jalan kota Baghdad. Tadi aku melihat bahawa kenyataan telah berubah. Maka tahulah aku bahwa Bisyr telah meninggal dunia."

Fitnah Itu Menyedarkanku

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Wah jumpa lagi kita ya. *Kok gi mana ya kondisi kalian?* Hehe pagi-pagi lagi sudah melalut cakap indon.  Ya la sekali sekala kalau hidup ni terlalu serius nanti orang pun takut untuk mendekati kita tapi kalau happy go lucky sangat pun tak boleh juga. Bersederhanalah kita. Kalau kelantan cakap 'bo bo sedea molek'.

sudah hampir setahun peristiwa itu berlalu
peristiwa???
begini ceritanya
peristiwa ini terjadi sekitar bulan Mei tahun lepas
apabila kata-kata fitnah menerjah ke telinga saya
mendapat mesej daripada seorang rakan
mengatakan ada pihak yang memandang serong terhadap saya
kerana melihat gambar-gambar di FACEBOOK

rakan saya itu cuba mempertahankan saya 
mengatakan mungkin ada salah faham
namun pihak itu tidak cuba untuk memahami
apabila sampai di telinga ini
alangkah berkecainya hati
mereka yang bergelar lelaki sanggup melapah jiwa kerdil ini
hari-hari yang saya lalui dalam minggu itu terasa sebak sahaja
ada sahaja air mata yang menemani di setiap kali solat

walaupun saya tidak kenal mereka
namun ketahuilah saya rasa terpukul dengan kata-kata mereka
hanya Allah yang mengetahui betapa peritnya detik yang saya lalui ketika itu
ALLAH..................
Tergamak mereka....

apatah lagi
sejenak selepas itu
NENEK kesayangan pula berangkat pulang ke pangkuan Allah
(al-fatihah buat arwah)

Kata-kata itu sentiasa terngiang-ngiang di telinga pada waktu itu
dalam keadaan sebegitu
saya menekan butang 'DELETE' pada album-album gambar yang pernah saya upload
juga butang 'REMOVE' pada setiap gambar yang di'tag'

Setelah itu, saya deactived akaun facebook
dengan harapan tidak lagi dibayangi peristiwa tersebut
mula-mula agak sukar sebab dulunya
saya tahu saya dengan benda alah ni
tak boleh berenggang
hidup pun makin hanyut
solat pun makin lewat
tidur malam pun lambat

NAMUN..
ALHAMDULILLAH..
bersyukur pada-Mu ya Allah
berterima kasih kepada 'mereka'
kerana dengan asbab kata-kata mereka 
banyak merubah insan ini
mentarbiyyah jiwa

setelah hampir 6 bulan lebih mengumpul kekuatan
saya mengaktifkan semula akaun facebook
tapi pada mulanya 
agak ragu-ragu
takut peristiwa itu berulang lagi
jadi saya mem'private'kan facebook
juga menukar nama saya di laman tersebut
facebook saya hanya untuk ahli keluarga 
setelah itu baru sedikit demi sedikit memberi ruang kepada rakan-rakan yang lain
alhamdulillah saya sudah merasa hikmah disebalik semua itu

jika dahulu lelaki sentiasa bersilih ganti di kotak 'chatting' mengisi masaku bersama facebook
namun kini, tidak lagi!
jika dahulu sentiasa menulis status yang bukan-bukan
menarik perhatian ramai untuk mengisi kotak 'comment' dan 'like'
namun kini, tidak lagi!
jika dahulu sentiasa memuat naik gambar untuk memancing mata manusia untuk memandang
namun kini, tidak lagi!
dan banyak lagi tidak dapat kutulis

ini semua kejahilanku yang dulu
telah kulipat dalam kotak sejarah hidupku 
dan kuikat erat-erat
tidak mahu meneruskan atau mengulang kembali sejarah yang telah berlalu
serik! pedih!

memetik kata-kata seorang hamba Allah,
" gambar-gambar yang anda 'private'kan di internet, walaupun private, belum tentu ia selamat daripada pandangan mata-mata jahat...fb sendiri ada moderator-moderator, lalu-lintas internet pun dikawal oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), belum campur hackers dan sekutu-kutu mereka.."

apa yang saya ceritakan di sini bukan saja-saja
mengimbau pengalaman pahit untuk diceritakan pada umum bukan satu perkara yang mudah
kerana semasa saya menulis ini pun, air mata saya bergenang
rasa sebak makin sesak
ambillah ibrah (pengajaran) daripada kisah realiti hidup saya ini
menjadi pedoman hidup kalian pula
terutama buat mereka yang bergelar kaum HAWA

p/s : Tolonglah jangan ulangi kekhilafan yang pernah Sara lakukan ini.


Sara Assyahidah
4 April 2011