Ihfazillah Yahfazka - Episod 11


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 11: Bidadarikah Itu?





“Akak tak layak mewakili muslimat untuk forum itu nanti. Ya Allah, ini amanat yang amat berat untuk akak, Mas. Akak sangat takut apa yang akak pesan nanti, akak sendiri tak buat dan itu sangat dibenci Allah. ” Kata Aisha menolak pelawaan Masturina itu. 

“ Tapi Kak Aisha, semua ahli Majlis Tertinggi dah setuju apabila nama akak dicadangkan.” pujuk Mas selaku Timbalan Pengerusi Exco Kerohanian pada kali ini.

“Itu kan cadangan, masih boleh dirunding. Pasti ada nama-nama lain yang lagi mantap, lagi hebat dari akak.” Rumaisha masih lagi menolak.

“Kak... Kak Aisha tentu mencintai nabi kan?” tanya Masturina.

“Allahumma solli a’la saiyidina Muhammad. Ya Allah, Mas. Akak sangat mencintai Nabi kita, Mas. Kenapa Mas tanya begitu?” tanya Aisha sambil hatinya merasakan rindu yang tidak tertahan kepada kekasih hati yang sempurna akhlaknya itu.

“Jika benar, maka tidakkah akak  mahu mengikuti salah satu sunnah baginda. Baginda Nabi jika diminta untuk membantu, maka baginda segera menghulurkan bantuan dan tidak sesekali menolak pelawaan orang yang berhajat melainkan dengan menggantikan sesuatu yang lebih baik. Sampaikanlah walau satu ayat, kak, ” pujuk Masturina.

Bukhari merekodkan Sahal Bin Saad As-Sa’adi r.a berkata: “Sesungguhnya seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dengan membawa sehelai selendang yang baru selesai ditenun, lalu ia berkata: Wahai Rasulullah! Selendang ini sengaja saya tenun dengan kedua tangan saya ini untuk saya hadiahkan kepada engkau supaya engkau memakainya. Maka Nabi saw pun mengambilnya dengan keadaan berhajat kepadanya. Setelah itu Nabi saw lalu keluar menemui kami dan memakainya sebagai sehelai kain. Lalu ada seorang di kalangan kami yang berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah indahnya kain ini. Berikan ia kepadaku. Nabi menyahut: Ya. Lalu duduk sebentar bersama kami dalam majlis itu kemudian Baginda masuk (ke dalam rumahnya) dan terus melipat kain itu dan memberikannya kepada sahabat yang meminta tadi. Setelah kejadian itu maka berkata beberapa orang di antara kami kepada yang menerima kain tadi: Sebenarnya tindakan engkau meminta kain itu tidak baik. Bukankah Nabi saw telah memakainya dengan keadaan berhajat kepadanya, lalu engkau memintanya sedangkan engkau sendiri tahu bahawa Nabi saw tidak pernah menolak permintaan orang. Maka berkata orang tadi: Demi Allah aku tidak memintanya kerana aku mahu memakainya, tetapi aku mahu menjadikannya sebagai kain kafan bila aku mati nanti. Maka berkata Sahal (perawi hadis ini): Maka akhirnya kain itu memang menjadi kain kafannya”  

Ibnu Hibban meriwayatkan sabda Nabi saw : “Tidak ada daripada nafas anak Adam melainkan ke atasnya sedekah setiap hari bermula terbitnya matahari. Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, dari mana kami dapat bersedekah? Jawab baginda: Sesungguhnya pintu-pintu kebaikan terlalu banyak: Tasbih, tahmid, takbir, tahlil, menyuruh yang makruf, mencegah kemungkaran, membuang gangguan di jalan, memberi tunjuk ajar kepada orang yang pekak dan buta, memandu orang yang minta panduan untuk menyelesaikan hajatnya, dan engkau berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu orang yang sangat berhajat, engkau memimpin dengan kedua tangan engkau orang yang lemah, semua ini adalah sedekah dari engkau dan untuk diri engkau.”

“Astaghfirullahaladzim. Akak tahu akak salah kerana menolak pelawaan ini, Mas. Bukan akak tak ingin membantu, Mas. Tapi.. ya Allah.. Akak tak layak, Mas. Benar-benar tak layak. Akak bukanlah dari jurusan agama, bukanlah bakal ustazah, apakah semua itu nanti akan menjadi buah mulut orang, Mas? ” kata Aisha dengan nada rendah hati. Dunia sekarang jika ingin bercakap tentang agama wajib ada pentauliahan.

“Walaupun tidak secara formal, tapi akak kan banyak menghadiri kelas-kelas agama lebih-lebih lagi di Pondok? Berguru dengan Tok-Tok Guru yang hebat-hebat belaka. Akak juga pernah memegang jawatan yang saya pegang sekarang ni suatu ketika dahulu. Mahasiswa dan mahasiswi di sini sudah pun mengenali kredibiliti akak selaku mantan Timbalan Pengerusi. Mereka juga turut menghormati akak. Kak, kami semua merindui taujihat dari seorang senior seperti akak. Sekarang, bukan kami yang memilih akak, tetapi Allah. Allah yang mengilhamkan nama akak semasa kami di pihak Majlis Tertinggi berbincang tempoh hari,” jelas Mas.

“Allahurabbi. Akak anggap ini amanah Allah buat akak. Akak memang tak mampu, tapi akak akan cuba buat yang terbaik. Akak terima dengan hati yang berat, Mas. Ya Allah, innalillahi wainna ilaihi raji’un.” akhirnya Aisha terpaksa menerima.

‘Ya Allah, apakah ini berita baik ataupun berita buruk untukku. Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang lurus, jalan orang yang Kau limpahkan rahmat dan nikmat ke atas mereka’

Usai sahaja pertemuan Rumaisha dan Masturina di Surau Kampus, Rumaisha seperti biasa mengkelek beg sandang dan laptop Asusnya hingga ke depan pintu Perpustakaan. Beg sandangnya diletakkan di dalam rak yang boleh dikunci kemudian dia masuk ke perpustakaan dengan laptopnya itu. Tajuk forum nampak sahaja ringkas tapi sukar sekali untuk mengupasnya. 

‘Di mana lagi ‘Hassan Al-Banna’?’

Allah. Ini bukan calang-calang tajuk. Hmm.. insya-Allah! Tentu ada mesej dari Allah di sebalik semua ini. Hassan Al-Banna seorang yang sangat hebat. Setiap 100 tahun akan ada orang yang hebat muncul membawa Islam dan untuk abad ini, ramai yang mengatakan Hassan Al-Banna lah yang selayaknya. 

Sewaktu ketika dahulu, pernah Hafiy berkongsi tentang lelaki hebat ini. Sewaktu dia sedang melalui maqam Hassan Al-Banna dengan van bersama teman-temannya di Mesir, van itu dilarang sama sekali untuk berhenti di situ. Polis juga mengawalnya dengan rapi. Bukan sahaja orang awam bahkan kaum keluarga beliau sendiri tidak dibenarkan melawat maqam tersebut. Di sana, memanggil dengan panggilan As-syahid Imam Hassan Al-Banna pun tidak dibenarkan melainkan hanya dengan nama Pak Hassan. Begitulah secebis cerita duka ketika era pemerintahan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir sebelum Presiden Mohamed Morsy mengambil alih. Alhamdulillah, setelah wakil Ikhwanul Muslimin ini mengganti tampuk pemerintahan Kuku Besi Mubarak, Mesir yang dahulunya gersang, kini kembali subur menghijau.

 Maqam yang tidak diselengara dengan baik ketika Zaman Pemerintahan Kuku Besi Hosni Mubarak
#Semoga Allah meredhai kalian kerana saya telah mengambil gambar ini sebagai rujukan di blog saya#

Alhamdulillah setelah Ikhwanul Muslimin mengambil tampuk  pemerintahan Mesir, Maqam ini dibaik pulih.
# Abaikan orang yang ada dalam gambar tu. Ini gambar yang diambil dari Google #
# Semoga Allah meredhai kalian kerana saya telah mengambil gambar ini sebagai rujukan di blog saya #

‘Hafiy.. bagaimana keadaanmu sekarang? Ya Allah, kau bantulah dan permudahkanlah segala urusannya. Sesungguhnya dia telah memberikanku ilmu yang cukup banyak tentang Mesir, dan kini dengan izin-Mu, ilmu itu membantuku untuk forum yang akan berlangsung tiga hari lagi. Ya Allah terima kasih kerana pernah menghadirkan dia dalam hidupku. Hafiy, terima kasih untuk segalanya,’ Rumaisha tiba-tiba teringat akan memori dulu lalu berdoa untuk kesejahteraan sahabatnya itu. 

Selepas panggilan telefon dua bulan lepas, Hafiy langsung tidak mengirim apa-apa berita. Rumaisha pula sudah tekad tidak akan menghubungi Hafiy lagi. Insya-Allah inilah jalan yang sebaik-baiknya. Hanya satu sahaja pintanya iaitu biarlah redha Allah sentiasa mengiringi sahabatnya itu. 



***********************



Para hadirin ramai yang sudah memenuhi kerusi dewan. Promosi forum ini cukup hebat. Bukan sahaja pelajar dalam yang dijemput, bahkan penduduk sekitar kampus dan seluruh penuntut-penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta juga turut sama hadir termasuk para alumni kampus. 

Rumaisha cuba untuk menenangkan dirinya dengan mengalun-alunkan kalimah zikir. Tiada seorang pun yang mampu melegakan debaran dalam hatinya melainkan Kekasihnya yang Maha Agung.

Ketika menunggu di pintu masuk bersama dengan ahli panel yang lain, tiba-tiba Rumaisha disapa dari belakang.

“Rumaisha?”

“Kak Syirah!” 

Kak Ain Insyirah ? Tak sangka pula kakak naqibahnya dari Kuala Lumpur pun datang. Khabarnya, ramai juga Alumni yang sudi datang. Allah, sudah lama dia tidak bertemu mata dengan kakak naqibahnya itu setelah Kak Syirah selesai menghabiskan pengajiannya di sini.  Ada seorang lelaki di sisi Kak Syirah. Wah, makin berseri wajah pengantin baru ni!

Mereka berdakapan dan mengucup pipi masing-masing. 

“Aisha boleh! Insya-Allah!” kata semangat dari Kak Syirah sambil senyuman terukir dibibirnya.

“Biiznillah, kak! Kak, dua orang sahaja kah?” sempat lagi Rumaisha mengusik Kak Syirah.

“Bertiga, yang!” jawab Kak Syirah. Aisha sedikit terkedu. Kak Syirah mengusap lembut perutnya.

“Betulke, kak! Allah.. mabruk alaikuma!” ucap Aisha sambil mengenggam erat tangan Kak Syirah. Kak Syirah mengangguk.

“Aisha, akak rindu sangat-sangat kat Aisha. Tak apa, nanti kita cerita banyak-banyak lepas ni tau. Akak tak sabar nak tengok adik usrah akak berforum nanti.” Ujar Kak Syirah.

“Allah.. doakan Aisha, kak!” Mereka berpelukan buat kedua kalinya sebelum Kak Syirah dan suaminya masuk ke dalam dewan untuk mengambil tempat.

Setelah def-def jemputan, moderator dan ahli panel masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat masing-masing. Tuan moderator memulakan forum ‘Di mana lagi Hassan Al-Banna’.  

Syuraik dan Uwais tiba agak lewat. Alhamdulillah, mereka masih sempat mengikuti pusingan kedua. Selesai sahaja forum, Uwais bertanya kepada Syuraik,

“Syur, panel perempuan tu pelajar kampus ini ke atau jemputan dari luar?”

“Ya, dia junior dua tahun bawah kita. Amboi, panel lelaki tak mahu tanya ke, Wais?” usik Syuraik.

“Panel lelaki tu mad’u ana, mestilah ana kenal tetapi yang perempuan itu ana tak pernah tahu pula kewujudannya. Allah memberi kehebatan kepada kata-katanya. Ana kagum! Kata-katanya begitu halus dan sampai kepada maksud yang sebenar. Puitis dan membumi! Tak sangka dia junior kita.” balas Uwais. Kagum!

“Enta betul-betul tak ingat ke Wais, siapa dia?” tanya Syuraik menuntut kepastian.

“Tak. Kenapa dengan dia, Syur? Ana pernah kenal dengan dia ke sebelum ni?” pertanyaan Syuraik dibalas dengan pertanyaan. Begitu berminat untuk mengetahui tentang panelis itu dengan lebih mendalam.

“Oh, tak ada apa-apalah. Seperti yang ana bagitahu tadi, dia junior kita. Mantan Timbalan Pengerusi Exco Kerohanian dua tahun lepas.  Dia sahabat baik Fadhlin. Fadhlin pernah bagitahu ana, Aisha tak pernah tinggal solat malam, Wais.” Jelas Syuraik. Syuraik seboleh-bolehnya ingin menyembunyikan peristiwa risikan Uwais untuk gadis itu suatu ketika dahulu.

“Aisha? Namanya juga cukup lembut. Jarang sekali ana jumpa perempuan seperti dia. Walaupun umurnya lebih muda, tapi ternyata ilmunya sangat bagus,” kata Uwais sambil tersenyum.

“Em, enta jangan main-main. Nampak lembut tetapi tegas! Menurut apa yang ana tahu, ramai dah nak masuk meminang tapi lepas usha je, terus give up! Ada juga yang terus dan terus mencuba, tapi hati gadis itu seperti dikunci erat. Wanita solehah, Wais. Tentu Allah nak bagi yang terbaik buat dia.” Terang Syuraik.
      
“Ya, Syur. Mendengar tentang dia melalui enta tadi pun, ana rasa bidadara bertuah sahaja yang boleh mendapatkannya.” Sokong Uwais.

“Enta pun apa kurangnya, Wais!” kata-kata Syuraik itu membuat Uwais tersenyum lalu mengeleng-ngelengkan kepalanya. Entah mengapa dia rasa hatinya berbunga-bunga dan tiba-tiba sahaja berdebar. 

“Amin..” bibirnya pula tiba-tiba mengungkapkan perkataan itu secara tak dirancang! Dia sekadar mengaminkan sahaja perkara yang baik. Tetapi jauh di sudut hati, rasa tidak layak itu menebal.

‘Layakkah aku, insan faqir ini digandingkan dengan seorang bidadari dunia yang bagiku mungkin turun dari syurga. Ya Allah, kenapa dengan hati ini? Sejak dari tadi, ada perasaan aneh tiba-tiba singgah. Kenapa dengan aku ni? Astaghfirullah..’ 


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Ikutilah episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
4 Rabiul Akhir 1434 H
22 Disember 2012 (Jumaat)
5.54 petang

Niqab Itu Bukan Sekadar Kain Penutup Wajah


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥




Wajib Atau Sunat?

Setahu saya, majoriti ulama' berpegang bahawa pemakaian niqab adalah tak wajib namun ada juga minoriti ulama' yang berpegang bahawa pemakaian niqab adalah wajib. Saya mengambil pendapat bahawa pemakaian niqab adalah tak wajib. Niqab adalah pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW. Dan ramai juga sahabiah pada zaman Rasulullah SAW yang memakai niqab. Dan ada juga sahabiah yang tidak memakai niqab. 


Niqab dan Cabaran.

Memakai niqab memang banyak cabarannya. Pertama sekali, orang akan mengata itu dan ini, kononnya kita taksub dengan agama. Dan ada yang pandang kita kononnya kita ini malaikat yang tidak pernah melakukan silap dan dosa. Tapi sekali kita buat silap, maka kita akan dikutuk dan dihina. Saya pernah melalui semua itu dan saya yakin bahawa pemakai niqab yang lain turut pernah melalui perkara ini. Bagi saya, saya tak hiraukan kata-kata orang lain. Biarlah mereka hina atau puji saya. Hinaan dan pujian tu saya anggap sama sahaja. Saya tak kisah pandangan manusia. Kalau asyik nak kisahkan pandangan manusia, bagaimana pula dengan pandangan Allah? Utamakan pandangan Allah. 


Tempat Larangan Memakai Niqab.

Mengenai tempat-tempat yang melarangkan pemakaian niqab, ia adalah kerana untuk elakkan penyamaran atau pencerobohan kerana pernah berlaku kes seperti ini di mana lelaki memakai niqab untuk masuk ke hostel perempuan dan sebagainya. Bagi saya, kalau sesetengah tempat itu menyuruh kita menanggalkan niqab, maka tanggallah. Kita amalkan apa yang kita mampu. Pentingkan amalan dalaman, dan luaran akan ikut sama. Bila berada di dalam premis tersebut, tak perlulah memakai niqab. Bila dah keluar dari premis tersebut (IPG), pakailah balik niqab itu. Kawan-kawan saya yang berniqab pun membuat perkara sama. Usah hiraukan kata-kata orang yang berkata, "Eh apa ni? Kejap pakai, kejap tak." Usah hiraukan mereka. Mereka bukannya membawa manfaat kepada kita pun. 


Amalan Itu Lebih Penting.

Pentingkanlah amalan dalaman. Jaga solat, hati, banyakkan memperbaharui niat supaya belajar erti ikhlas kerana Allah. Luaran itu tak penting sangat kerana ramai orang yang memakai pakaian sunnah tetapi tak kuat pada amalan dalaman. Banyakkanlah menuntut ilmu sahih, dan dengan ilmu sahih itu, kita akan melakukan amalan sahih. Maka iman kita turut akan meningkat. Itulah kekuatan dalaman kita. Apa-apapun, teruskan istiqamah dengan pemakaian niqab. Buatlah yang termampu kerana Allah. :) 

Wallahu ta'ala a'lam bissowab.


p/s : Harapnya kata-kata muslimah ini dapat dijadikan sumber kekuatan buat sahabat-sahabatku, para niqabis. 



Sara Assyahidah
4 Rabiul Akhir 1434 H
15 Februari 2013 (Jumaat)
12. 45 pagi