Ihfazillah Yahfazka - Episod 8


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 8 : Melihat Dengan Pandangan Hikmah


Bunyi esakan pada dinihari itu menyebabkan Fadhlin terjaga. Jam di tab menunjukkan pukul 4.57 pagi. Ya, sungguh itu tidak pelik jika Rumaisha yang kuat di siang hari menangis seperti anak kecil di tikar sejadah pada waktu sebegitu. Cuma tangisannya hari ini benar-benar menggambar hati kecil yang luluh. Fadhlin masih dalam keadaan termamai-mamai cuba mengintai Rumaisha dalam kepekatan malam. Melihat keadaan Rumaisha seperti itu, Fadhlin yang masih mencari-cari jawapan juga ikut menangis. Rintihan Rumaisha kepada Kekasih Hati yang Maha Mendengar itu benar-benar membuat Fadhlin turut merasa tempiasnya.

'Aisha, aku lagi berdosa daripada engkau. Tapi aku liat untuk bangkit qiam. Kau menangis seolah-olah kaulah yang paling berdosa. Allah!' Fadhlin bermonolog dan terus bangkit mengambil wudhuk sambil matanya masih dibanjiri air mata keinsafan.

Hujung minggu ialah hari istirehat untuk para mahasiswa di sini. Namun, bukan untuk Rumaisha. Hari minggu bukanlah hari untuk bersenang-lenang. Goyang kaki seperti yang dilakukan oleh mahasiswa lain. Tiada kuliah tidak bererti kita perlu tidur hingga matahari meninggi. Malah, hujung minggu lah hari untuk perbaiki diri. Seperti kebiasaannya, setiap hari Sabtu Rumaisha akan bertemu janji bersama adik-adik usrah. Mereka akan melakukan aktiviti riadah bersama-sama sambil mendekatkan diri dengan Kekasih Maha Cinta.

Dialah yang menciptakan cinta,
pastinya Dia Maha Tahu apa yang dicipta.
Pelik!
Ramai manusia yang mengemis cinta daripada pengemis juga.
Para pengemis ini majornya tidak tahu apa itu sebenar-benar cinta.
Ramai di antara mereka itu pembohong dan pendusta.
Hanya nafsu yang mengaburi mata.
Batu-bata dibilangnya permata.
Itukah manusia yang digelar hamba?
Seringkali lupa.
Hidup mereka dalam dunia rekaan mereka semata-mata,
dan menunggu detik untuk binasa bila-bila masa.
Sedang kehidupan yang abadi itu benar-benar nyata,
apakah mereka masih buta?

Nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhi dari segala sifat 'buta'.

'Apakah sama orang yang melihat dan orang yang buta?'

Sejak dari subuh tadi, Rumaisha masih belum berganjak dari surau. Di situ, dia duduk bersila dengan mushaf berwarna coklat miliknya. Sehari, dia akan menghafal sekurang-kurang satu muka surat. Dari sebelum subuh lagi iaitu sebelum ke surau untuk solat subuh berjemaah, dia sudah bersiap-siap dengan tudung labuh berwarna pic dan berpakaian riadah. Sambil menunggu detik temujanji tiba, iaitu sekitar pukul 7.33 pagi, Rumaisha menunaikan solat sunat israk. Solat Sunat Isyrak ialat solat sunat dua rakaat yang dikerjakan selepas waktu Syuruk iaitu setelah matahari naik anggaran setengah galah (4 hasta atau 1.5 meter), lebih tepatnya kira-kira 12 minit setelah terbit matahari.

Tirmizi merekodkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyrak). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.”

Pesan Rasul yang amat dirindui Rumaisha itu akan sentiasa tersemat di hati. Tidak ada kejayaan melainkan dengan mengikut sunnah Rasul.

Selesai memakai kasut sukan di tangga surau, Rumaisha ditemani Fadhlin bergerak ke padang kampus, tempat pertemuan seperti yang telah dipersetujui semua ahli usrah. Alhamdulillah kabus pagi yang masih menebal menyapa pipi Rumaisha. Angin berhembus perlahan-lahan membangkit rasa damai yang menyejukkan. Dalam perjalanan, Fadhlin memandang Rumaisha dengan seribu satu persoalan.

"Aisha, kau okey ke?" tanya Fadhlin, lembut.

"Alhamdulillah. Kenapa kau tanya macam tu, Lin?" Rumaisha membalas pertanyaan dengan pertanyaan.

"Hafiy buat kau terluka lagi kan? Aku dah agak. Aku memang dah agak. Lepas dia call semalam, aku nampak kau lain." Fadhlin sedikit beremosi.

"Tak adalah." Rumaisha sekadar membalas hambar.

"Tolonglah cerita kat aku, apa yang dah jadi semalam. Apa yang si Hafiy tu cakap dengan kau sampai kau jadi macam ni?" Fadhlin masih tidak berpuas hati. Semalam dia masuk ke dalam surau terlebih dahulu supaya Rumaisha tidak rasa terganggu untuk menjawab panggilan.

"Jadi macam mana, Lin? Aku macam biasa je. Tak ada apa-apa."

"Please.. kalau aku betul-betul kawan kau, bagitahulah aku. Kongsilah kesedihan kau tu dengan aku." rayu Fadhlin.

"Aku tak sedih, Lin. Aku bersyukur. Ini sebuah hadiah daripada Allah. Hadiah ketenangan, Lin. Alhamdulillah," jawab Rumaisha.

"Kenapa ni, Sha?" Fadhlin terus mengasak.

Pertanyaan Fadhlin menyebabkan Rumaisha mengingat kembali detik dia mendapat panggilan dari seorang pemuda yang bernama Hafiy semalam. Pemuda yang digelar Aisha sebagai Pemuda Ardhul Kinanah itu sedang menuntut di sebuah Universiti tertua di dunia, Universiti Al-Azhar.

Hafiy


Hafiy : Assalamualaikum, Aisha.

Aisha : Waalaikumussalam warahmatullah.

Hafiy : Aisha, sihat?

Aisha : Bil khair, alhamdulillah, Fiy.

Hafiy : Tengah buat apa ?

Aisha : Dalam perjalanan ke surau. Ada apa sebenarnya, Fiy?

Hafiy : Sha masih termakan hati lagi ke? Hafiy minta maaf. Hafiy minta maaf, Sha.

Aisha : Apa? Tak. Sha makan nasi, tak makan hati.

Hafiy : Aisha, Hafiy betul-betul ni.

Aisha : Ya, betul. Hafiy buat salah apa ya?

Hafiy : Aisha, Hafiy mengaku Hafiy silap. Dia bukan siapa-siapa. Hafiy sekadar nak buat Aisha cemburu. Hafiy minta maaf sangat-sangat. Hafiy silap.

Aisha : Hafiy, janganlah risau. Aisha tak apa-apa.

Hafiy : Kalau tak ada apa-apa, kenapa mesej tidak berbalas, Sha?

Aisha : Aisha minta maaf, Fiy. Aisha takut.

Hafiy : Takut?

Aisha : Ya, Fiy. Aisha takut selama ini Aisha telah mengambil sesuatu yang bukan milik diri sendiri.

Hafiy : Maksud Sha?

Aisha : Fiy, mungkin dia jodoh Fiy. Sha telah ambil hak dia tanpa Sha sendiri sedar.

Hafiy : Apa yang Sha cakap ni? Mustahil, Sha! Kita dah lama berkawan. Jauh di sudut hati Hafiy, Hafiy ingin jadikan Sha suri hidup. Sha, tolong Sha. Hafiy tahu jarak yang jauh macam ni memang agak sukar untuk kita. Apa lagi, waktu di sini dengan di tanah air berbeza. Tapi, insya-Allah kita kena kuat, Sha!

Aisha : Lama berkawan itu bukan penentu, Fiy. Muhammad Hafiy, yang terpuji lagi yang memuliakan. Nama Hafiy cukup cantik. Yang memuliakan. Aisha tahu dia gadis yang baik, Fiy. Cuma dia perlukan bimbingan. Bimbingan dari seorang bakal ustaz seperti Hafiy. Muliakanlah dia, Fiy. Insya-Allah, Aisha benar-benar ikhlas.

Hafiy : Tidak, Sha. Kenapa Sha macam ni? Kenapa ? Atau di sana ada yang lagi layak dari diri ini, Sha ?

Aisha : Fiy, apakah Hafiy tahu bahawa gadis melayu adalah gadis yang paling setia? Cuma keadaan sekarang sudah berbeza. Dulu, waktu kita kenal, Aisha masih jahil, Fiy. Mendambakan kasih dari seorang lelaki yang tidak berhak. Di sini, Aisha belajar banyak perkara yang selama ini Aisha langsung tidak tahu.

Hafiy : Tolong, Sha. Teruskanlah kesetiaan itu untuk lagi dua tahun. Hafiy benar-benar berharap.

Aisha : Hafiy, andai tercatat di Luh Mahfuz itu ada jodoh antara kita, pasti ada! Tapi jika tidak ada, maka semua ini sia-sia belaka, Fiy. Hafiy, Hafiy seorang penuntut di universiti yang melahirkan ramai alim ulama'. Gedung ilmu agama yang sangat diidami oleh segenap orang Islam dari seluruh dunia untuk menimba ilmu di situ. Pastinya, ilmu Hafiy jauh lagi tinggi maqamnya dari Sha. Aisha tidak sanggup untuk mengambil sesuatu yang sepatutnya menjadi milik orang lain. Bagaimana jika isteri yang benar-benar berhak untuk Hafiy nanti menuntut dengan Sha di akhirat kelak? Sha, tak sanggup, Fiy.

Hafiy : Sha..

Aisha : Hafiy. Sudahlah, Fiy. Anggaplah dahulu kita sama-sama tak tahu. Walaupun kita jarang berhubung dan tidak pernah menyatakan perasaan masing-masing, tapi Hafiy tentu bersetuju jika Aisha katakan selama kita begini, ibadah kita tidak khusyuk, bukan?

Hafiy diam sahaja.

Aisha : Fiy, dia calon terbaik buat Hafiy. Usah bermain-main dengan perasaanya, Fiy. Jangan buat dia terluka lagi. Antara kita, tidak pernah Aisha menganggap dia orang ketiga. Luculah kalau Aisha beranggapan seperti itu sedangkan kita tidak ada ikatan apa-apa. Aisha cukup yakin yang dia benar-benar berharap pada Hafiy. Jangan kecewakan dia, Fiy. Insya-Allah dialah isteri solehah yang Hafiy cari selama ini. Sha doakan.

Hafiy tetap juga berdiam dan esakan mula kedengaran dalam talian.

Aisha : Jiwa Hafiy lembut dan sangat penyayang. Janganlah begini, Fiy. Ambillah semangat Presiden Morsy yang tidak gentar dengan ujian. Semua ini pelajaran dari Allah buat kita.

Hafiy : Rumaisha binti Harits, sungguh kaulah gadis solehah yang aku nanti-nantikan. Janganlah Aisha menghukum Hafiy sebegini disebabkan kesilapan itu, Sha.

Aisha : Hafiy, semua manusia ada kelemahan. Dari kelemahan, lahirnya kesilapan. Tapi dari kesilapan itulah kita belajar tentang kehidupan, kan? Siapa Aisha untuk menghukum Hafiy? Ini bukan hukuman, Fiy. Tapi satu kenyataan yang sebenarnya kita perlu tahu dari dulu lagi. Emm Fiy, maafkan Aisha ya. Waktu zohor di sini sudah masuk. Kiranya, sampai di sini sahajalah, Fiy. Aisha akan tetap doakan kebahagiaan Hafiy, Insya-Allah. Assalamualaikum.

Hafiy : Sha.. waalaikumussalam.

Talian terputus di situ dengan diakhiri esakan Hafiy.

"Rumaisha? Sha?" Fadhlin menegurnya.

"Ha! Ya, ya!" Rumaisha tersedar.

"Aku tanya kau ni, susah sangat ke nak jawab?" Fadhlin masih menuntut Rumaisha untuk menjawab persoalan-persoalan tadi.

"Ya, mak cik Fadhlin! Hafiy seorang lelaki yang baik, Lin. Aku akan tetap doakan kebahagiaan dia." Rumaisha membalas sambil tersenyum dan berlari menuju ke padang. Alhamdulillah, dia awal seminit dari masa temujanji. Kelihatan kelapan-lapan orang adik usrahnya termasuk Mas dan Ifah sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk menunggu di situ.

"Sha, tunggu aku!" Fadhlin mengangkat tangan kanannya memberi isyarat dan terus berlari mengikut Rumaisha untuk sama-sama berusrah.


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s :  Jangan lupa ikuti episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
1 Safar 1434 H
14 Disember 2012 (Jumaat)
10.33 pagi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan