Ihfazillah Yahfazka - Episod 6


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 6 : Usrah, Pengikat Ukhwah


Masturina menghampiri katil di wad kecemasan itu, kak Aisha tidak ada sementara Hasifah masih lagi berbaring lemah. Sekeping nota bertulis kelihatan di bawah gelas yang bertelangkup, dibacanya.

'Assalamualaikum. Mas, akak pergi musalla sekejap. Kalau ada apa-apa cari akak kat sana ya. Syukran my dear.. :D'

Masturina melipat semula nota itu. Dia sangat kagum dengan kakak naqibahnya itu. Seorang yang sangat banyak bersabar melayan karenah mad'unya. Hari ini juga, Kak Aisha sanggup tidak menghadiri kuliah kerana mahu menjaga Ifah. Sepatutnya, dialah yang perlu menjaga Ifah kerana Ifah teman sebiliknya. Tapi Kak Aisha tetap bertegas kerana Kak Aisha tahu hari ini, Mas terlibat dengan pembentangan. Jika tidak hadir, pasti markahnya akan dipotong.



'Mas...' Ifah memanggil Masturina dengan nada yang lesu.

"Ifah, alhamdulillah awak dah sedar." Masturina mengenggam erat tangan sahabat sekelasnya itu.

"Saya kat hospital ke ni?"Tanya Ifah.

"Ya. Tadi awak pengsan. Kak Aisha tolong hantarkan." jawab Mas.

"Kak Aisha? Mana dia? Dah balik ke?"

"Dia kat musalla sekarang. Saya pasti tentu dia solat sunat memohon kesejahteraan awak, fah." jelas Mas selaku mad'u yang paling rapat dengan Rumaisha. 

Dia faham benar dengan Kak Aisha. Jika ada masalah, Kak Aisha pasti akan segera melakukan solat sunat. Mas juga pernah bertanyakan kepada sahabat karib kakak naqibahnya, Kak Fadhlin, "Apa yang Kak Rumaisha buat sehingga kata-katanya apabila Mas dengar, Mas jadi seronok nak dengar lagi. Hati Mas jadi cenderung untuk terus mendengar nasihat-nasihatnya tidak kira sewaktu berusrah dan di luar waktu usrah." 

Kak Fadlin menjawab dengan mengatakan, Kak Aisha tidak pernah meninggalkan ibadah malam dan solat Fardhu berjemaah jika tidak ada keuzuran. Jika dia tak boleh solat pun, dia tetap bangun seawal 4.30 pagi untuk berzikir dan bermunajat serta membaca ayat-ayat Al-quran yang telah dihafalnya.

Bermula dari saat itu, Mas jadi ketagih untuk mendengar serba-serbi tentang Kak Aisha. Dia merupakan peminat rahsia Rumaisha.

Tiba-tiba Masturina terperasan bahu sahabatnya terhinggut-hinggut. Dia pantas menarik badan Ifah yang berkalih setelah nama Kak Aisha disebut tadi agar berpaling menghadapnya.

"Fah, kenapa ni?" Masturina terkejut memandang mukanya yang merona merah dengan mata bengkak digenangi air. Berjujuhan mengalir di pipinya. Serba salah pula Masturina dibuatnya. Adakah perkataan-perkataanya tadi telah membuatkan Ifah bermandi luka.

"Ifah, sa..saya minta maaf. Saya tak ada niat nak buat awak menangis. Sa...saya bersalah, fah. Maafkan saya. Saya tak sengaja." Dada Mas mula dihurung sebak.

"Tak, Mas. Bukan salah awak, Mas. Salah saya. Saya malu dengan awak..dengan Kak Aisha. Dari dulu lagi awak dengan Kak Aisha ingin menolong saya. Menarik saya dari terjatuh, tapi saya degil, Mas. Degil." manik-manik jernih berjuraian dari tubir mata. Dia benar-benar menyesal.

"Ifah.. dah la tu. Tak usahlah awak ingat perkara yang lepas." Mas cuba memujuk sebelum air matanya juga mengalir keluar.

"Mas.. maafkan saya, Mas. Maafkan saya.." Kali ini Hasifah sudah teresak-esak.

Mas memeluk Ifat erat supaya sahabatnya itu lebih tenang. 

"Mas, mana Kak Aisha? Saya teringin benar nak jumpa dia, Mas."

Tiba-tiba Kak Rumaisha muncul. Rupa-rupanya Kak Rumaisha sudah ada di situ saat mereka berpelukan.

"Akak kat sini, fah." suara lembut Kak Aisha menambahkan lagi esakkan kedua-duanya.

"Akak..." Ifah memanggil sambil merenung sayu seorang wanita yang telah lama bersabar dengan segala perlakuan buruknya itu dan selalu sahaja mengelak untuk menghadiri usrah.

Kak Aisha terus memeluk Hasifah. Akhirnya pecah juga empangan air mata Rumaisha sehingga berjuraian mengalir di pipinya. 

"Maafkan saya, kak. Saya khilaf! Saya benar-benar khilaf, kak. Betul kata Kak Aisha, cinta haram itu memang menakutkan, kak! Saya menyesal, kak. Saya benar-benar menyesal!" Ifah meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Rumaisha mengangguk dan mengosok-gosok bahu Ifah supaya Ifah lebih tenang.

"Aduh!" Rumaisha memejam matanya. Perit.

"Akak kenapa ni, kak?" Tanya Ifah berwajah serius.

"Akak laparlah." Kak Aisha memegang perutnya sambil membuat muka kasihan. Kedua-dua mad'unya memandang Kak Aisha sebelum tergelak kecil.

"Dah, tak mahu nangis-nangis tau. Kita makan sama-sama, nak? Akak ada belikan makanan tadi." Rumaisha mengelap air mata Ifah dan Mas. Kedua-duanya tersenyum bahagia.

"Kita makan sambil berusrah ya Kak?" pinta Hasifah. Kak Aisha dan Mas saling berpandangan. Pandangan mereka beralih kepada Ifah. Mas tersenyum.

Kali ini giliran Ifah dan Mas pula memandang tepat anak mata Kak Aisha.

"Oo..ok! Lagipun ini kali pertama kita berusrah dalam wad, kan?" kata-kata Kak Aisha sekali lagi membuatkan kedua-dua mad'unya itu tergelak. 

Hati Rumaisha berdesis 'Allah.. syukran kerana telah mengembalikan Ifah. Syukur Ya Allah, syukur atas segalanya.'

"Kak Aisha, macam mana akak boleh sabar dengan perangai saya selama ini, kak?" tiba-tiba Ifah memuntahkan juga persoalan yang berlegar-legar dalam benaknya itu.

Rumaisha hanya menjawabnya dengan senyuman manis. Dia mencapai sebatang pen dan sekeping kertas lalu menulis di atasnya. Kertas itu, Rumaisha lipat dan selitkan di dalam tas tangan Ifah yang sempat dicapai Masturina sebelum mereka bergegas ke hospital pagi tadi.


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Nak tahu apa yang Rumaisha tulis apa dalam kertas itu ? Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
26 Muharam 1434 H
11 Disember 2012 (Selasa)
9.38 pagi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan