Ihfazillah Yahfazka - Episod 5


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 5 : Nusrah Ilahi


'Astaghfirullahal adzim.. Astaghfirullahal adzim..'

Zikir terapi dendangan Hafiz Hamidun menari-nari di telinganya menerusi 'earphone' sangat menenangkan. Benarlah, dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang. Dua bulan cuti semester telah pun berakhir minggu lepas. Tahun ini tahun keempat Rumaisha bergelar penuntut di kampus yang menempatkan semua bakal guru. Tahun yang menuntut Rumaisha untuk lebih gigih berusaha memandangkan seawal bulan Mac, dia akan mula berpraktikum di sekolah, menjelajah ke dunia perguruan yang sebenar. Masih kurang lebih satu tahun berbaki untuk Rumaisha menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perguruan.

Rumaisha masih ingat sewaktu dia memilih untuk menjadi guru, ada yang memperlekeh-lekehkan bidang ini.

"Anak kamu, si Kakak tu belajar kat mana sekarang, Ha? " Tanya Mak Cik Zawiyah, isteri Pak Long kepada ibunya, Saleha.

"Belajar kat Institut Pendidikan Guru, Kak Zah. Kalau dulu, orang panggil maktab perguruan." jawab ibu sambil membancuh teh untuk dihidang kepada keluarga abang sulungnya itu yang baru sampai dari Kuala Lumpur.

"Oh, kat maktab ke? Bukankah dulu, keputusan dia cemerlang? Takkan jadi cikgu je, Ha?"

"Tak apalah Kak Zah. Rezeki dia kat situ. Guru pun bukan senang nak dapat sekarang ni. Guru sekarang bukan macam saya dulu-dulu, guru sekarang dah berijazah." Balas ibu.

"Akak ni bukan apa, Ha. Kalau setakat nak jadi cikgu tu, tak padanlah dengan keputusan SPM dia. Orang sekarang ni berebut-rebut nak jadi doktor, engineer, dia pula nak jadi cikgu? Kau ni, Ha. Nasihatlah anak kamu tu, bagi dia fikir jauh sikit."

"Tak apa la Kak Zah. Saya tak kisah. Asalkan rezeki yang dia bawa balik nanti, rezeki halal." ibu menyusun cawan dan piring di atas dulang lalu meletakkan dulang tersebut di atas meja makan. Saleha menuang teh ke dalam cawan.

"Hmm.. tu lah kamu, Ha. Akak dah pesan masa dia kat bangku sekolah dulu, hantar anak kamu tu ke sekolah berasrama penuh, tapi kamu degil. Nak hantar juga kat sekolah agama. Ha, ni lah jadinya. Fikiran tu jadi sempit, tak berkembang."

Rumaisha yang dari tadi curi-curi dengar perbualan Mak Long dengan ibunya itu terus tersentak! 

'Apa lagi yang Mak Long tak puas hati ni' desis hati kecilnya.

Secawan teh di letakkan ibunya betul-betul di hadapan Mak Long yang sedang duduk di kerusi meja makan itu.

" Minum, Kak Zah. Tak apalah. Ada juga bekalan Ha kat sana nanti, Kak Zah. Kita ni kalau mati nanti, kak, tiga benda je kita bawa. Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kita." Balas Saleha.

"Kau tu macam tu lah. Kalau akak nasihat, kau tak nak dengar. Habis tu, si Kakak tu bertudung labuh lagi la kat maktab tu?"

"Aah, Kak Zah. Kenapa akak tanya macam tu?"

"Tak ada lah. Ni bukan akak yang cakap tapi orang yang cakap, selalunya orang yang pakai tudung labuh ni lambat nak dapat jodoh. Akak takut anak kamu tu susah nak dapat jodoh je, Ha."

'Astaghfirullah! Kenapa dengan Mak Long ni? Eei, tak boleh, tak boleh. Aku kena cakap sikit dengan Mak Long ni. Dari tadi umi bersabar dengan Mak Long!' dia berasa sangat geram. Kata-kata itu sama sekali tidak dapat diterimanya.

Rumaisha bingkas berdiri. Semasa mengatur langkah pertama, ibunya bersuara, lalu langkahnya kaku,

"Orang mana yang cakap macam tu, Kak Zah? Jodoh ni kan kerja Allah, kak. Bukan kerja manusia. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah, Kak Zah." Jawapan Saleha sekali lagi dapat mematahkan keangkuhan kakak iparnya itu. 

Rumaisha beristighfar. Sepatutnya, Rumaisha mencontohi sifat tenang ibunya. Bukan dengan melayan nafsu amarah yang menggila didorong syaitan laknatullah. Matanya dipejam sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya dan beristighfar berkali-kali.  

Dia menyarungkan anak tudung pink lembut, lalu melilit hijab berwarna sama, sangat sesuai digadingkan dengan jubah hitam yang dipakainya itu. Sopan. Sangat sopan.



"Wah, wah, wah! Patutlah Ustaz Uwais sanggup menjadi penunggu setia. Menanti seorang bidadari dunia yang boleh membuat bidadari syurga pun cemburu." Suara seorang wanita yang amat dikenali tiba-tiba menyapa gegendang telinganya. 

"Siapa pulak bidadari dunia ni? Kau kah, Lin? Wah, beruntung Syuraik bertunangkan seorang bidadari dunia yang boleh membuat bidadari syurga cemburu! Tengok, tengok! Muka dah merah. Malu la tu." Rumaisha berjaya membalas usikan Fadhlin. Rumaisha ketawa kecil. Fadhlin tersengih sebelum menukar semula topik perbualan,

"Aisha, aku dengar Uwais hilang ingatan, betulkah?"

Rumaisha sekadar mengangguk. Fadhlin menyambung,

"Jadi, hajat dia untuk melamar kau tak jadi lah?"

"Melamar aku? Kau ni Lin merepek je. Salma bagitahu aku, abang  dia actually dah ok. Cuma ingatan dia memang takkan pulih. Tapi tak apalah. 3 Tahun sahaja yang hilang tu kira alhamdulillah kalau nak dibandingkan dengan orang lain yang hilang ingatan fully. "

Mendengar penjelasan Rumaisha, Fadhlin turut bersimpati.

"Tak sangka kan kemalangan tu boleh buat macam tu sekali. Habis, kalau 3 tahun, maknanya dia langsung tak kenal kau lah? So, macam mana kau dengan dia, Aisha?" Fadhlin mula bertukar serius.

"Kenapa dengan kau ni, Lin? Sepatutnya kita bersyukur. Aku rasa ini mungkin nusrah dari Allah untuk Uwais supaya dia tak terus menerus tunggu aku. Aku benar-benar tak layak untuk dia, Lin. Kalau cara macam ini boleh buat dia tak ingat benda-benda yang bersangkut paut dengan hal tu, baguslah." Rumaisha     melemparkan senyuman tawar kepada Fadhlin yang masih tidak berpuas hati dengan jawapannya.

"Aisha, kau masih tunggu lelaki tu lagi ke? Oh, lelaki macam tu layaklah untuk kau. Macam tu?" Rumaisha  berjalan keluar dari bilik dan menyarung kasut hitam bertumit getah setebal cuma dua inchi. Dia berpura-pura  tidak mendengar bebelan rakan karibnya, Fadhlin.

"Aku nak kunci bilik ni. Kau nak keluar tak? Kalau nak berkurung dalam bilik ni, aku tak ada masalah" usik Rumaisha sambil memusing kunci biliknya itu. 

"Ish, kau ni Sha. Kalau aku cakap, saje je buat-buat tak dengar kan?" Fadhlin masih menuntut untuk Rumaisha menjawab persoalannya tadi.

"Kak Aisha! Kak Aisha!" ada suara yang termengah-mengah dari arah belakang semasa mereka berdua menyusun langkah untuk keluar dari kawasan kolej kediaman. 

"Mas, kenapa berlari-lari ni Mas?" tanya Rumaisha kepada adik juniornya, Masturina.

"Ifah! Ifah, Kak Aisha!"

"Kenapa dengan Ifah, Mas?"

"Dia pengsan! Dia makan ubat tidur banyak sangat!"

"Pengsan!!" Rumaisha kaget! 

"Lin, kau tolong bagitahu lecturer, aku lambat sikit! Aku nak pergi tengokkan Ifah jap!"

Fadhlin mengangguk, menurut perintah. Rumaisha membontoti Masturina dengan berlari anak. 


-bersambung-

Nusrah = Pertolongan
_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Jangan lupa baca episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
25 Muharam 1434 H
9 Disember 2012 (Ahad)
10.52 malam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan