Dua Lamaran Datang Merisik!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad

"Angah, kat sana tu, ada ke yang berkenan dengan anak umi seorang ni? Kalau ada, angah pilihlah yang terbaik untuk diri angah. Umi serahkan kepada angah. Kalau boleh, pilihlah yang ustaz-ustaz, sejuk hati umi nanti." 

Serius sahaja bunyinya. Sara terkedu sebelum tergelak dengan kata-kata umi. Umi pun tergelak sama. Yang ustaz-ustaz tu tak tahannya. Ustaz manalah yang berkenan dengan anak umi, pelajar bukan jurusan agama ini. Ya Allah, apa mimpi sampai umi singgah ke maudhuk 'nikah' pula untuk berborak kali ini. Rancak benar perbualan bersama umi  walaupun sekadar melalui telefon bimbit pada malam selepas isyak itu.

Bukankah dahulu, umi seakan tidak bersetuju kalau-kalau anak-anaknya kahwin awal. Bukankah dulu ayah Sara juga yang berkeras, "Suami angah nanti, biar Ba yang carikan ! "

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Ba, panggilan Sara untuk lelaki yang dinobatkan Allah sebagai ayah. Apa? Suami pilihan Ba? Teringat pula Sara kepada cerita nenek dan datuk Sara sebelah ayah, mereka disatukan atas pilihan orang tua mereka (moyang Sara). Maksudnya Sara perlu kembali ke zaman itu? Ah, mengarut! Usia 17 tahun masakan diajak bincang soal suami. Benar-benar mengarut!  

Sekarang, kata-kata umi tadi mengimbau kembali kenangan hampir 5 tahun yang lalu. Sara mengeleng lalu tersenyum. Rasa geli hati! Entah-entah umi sekadar bergurau. Tapi apabila diingat kembali nada suara umi itu, rasanya bukan gurauan semata. Adakah umi teringin nak ada menantu ?  'Umi bergurau sahaja itu' segera Sara mempositifkan diri.

'Haisy.. Astaghfirullahal adzim..' jauh benar Sara berfikir, Sebaiknya soal jodoh pertemuan itu diserahkan kepada yang Maha Cinta. Malas benar nak fikir soal hati ini. Makin difikir, makin letih.
Tidak Sara nafikan, ada sahabat-sahabat baik, sebaya Sara, telah bersedia untuk memegang status 'Isteri'. Allah, kental betul semangat mereka! Teringat Sara pada kata-kata salah seorang teman rapat Sara ini. 

Rasanya, seperti terakam dan berlegar-legar dalam kepala ini ( mungkin para lelaki di luar sana perlu take note ! ),

"Orang perempuan ini susah nak jaga diri, Sara. Banyak benar cubaan yang datang menerpa. Saya nak jaga hati saya ni. Hati saya ini untuk suami saya sahaja. Saya sudah bersedia untuk menjadi suri orang. Saya nak amalan seharian saya ini, Allah ganjarkan dengan pahala yang berlipat ganda. Hati pun tidak perlu digusarkan lagi setelah ada yang halal bertapak di sini"

Dia mengisyaratkan ke jantung. Sara tersenyum. Moga Allah memakbulkan doamu sahabat. Moga Allah mengurniakan zauj yang akan melindungimu di bawah lindungan Allah. 

Pernah juga Sara diajukan soalan cepu emas, "Sara, awak ini dah ada orang kah? Saya nampak awak ini semacam tidak berminat sahaja dengan lelaki di maktab kita ini. Sara sendiri tahukan insya-Allah ramai yang soleh-soleh di sini. "

Masa itu Sara masih ingat lagi, Sara sedang menggoreng di dapur surau. Ya, kami semua berada di situ. Mereka masih menanti jawapan Sara. Memang tidak dinafi ramai. Tapi tak tahulah, seramai-ramai itu tidak ada yang benar-benar mampu menggugah perasaan Sara ini. Padahal kerap kali bersua, berurusan atas dasar kerja amal islami dan sangat terbukti memang mereka sangat baik! 


"Kalau macam itu, kita semua kahwin dengan lelaki yang bernama 'Soleh', nak? Ramai kan yang bernama 'Soleh' dalam maktab kita ini?" Sara menjawab dengan  nada bersahaja sebelum mereka tertawa sopan. Sara turut tersenyum. "Alah Sara ini, orang tanya betul-betul, boleh pula dia main-main." Teman Sara yang bertanya tadi, masih belum berpuas hati. Akhirnya Sara beralah.

"Okey. Okey. Tak adalah, bukan bermaksud ada orang ke tak ada. Tapi untuk percaya kepada lelaki ini, bukanlah pada kalimatnya tapi lihat bagaimana utuh kesetiaannya. Kesetiaan pada Pencipta, Rasul dan mak ayah dia. Kalau betul setia, masuk minang! Hehe. Bukan Sara tak berminat dengan mereka. Bukan! Ya, sememangnya mereka insya-Allah lelaki-lelaki soleh. Tapi Sara anggap kalau dia baik dengan Sara sepanjang kami berurusan atas dasar kerja, dia juga baik dengan semua orang. Barulah kita tidak mudah perasan, cik adik." jelas Sara sambil menguntum senyuman. Masakan di dapur yang telah masak, segera Sara angkat. Bimbang hangus pula nanti. Nampaknya dia terdiam. Berpuas hati barangkali. Alhamdulillah.

Baiklah, di saat ada rakan-rakan senior dan junior yang akan melangsungkan akad nikah pada waktu cuti semester nanti, Sara masih menghitung detik untuk menghabiskan tiga kertas soalan lagi yang masih berbaki. Selepas itu minggu pertama cuti semester ini, masih ada amanat untuk masyarakat yang perlu Sara tunaikan. Wajah-wajah keluarga yang menanti di al-bait perlu dilupakan sementara.

Sebelum itu, beberapa minggu sebelum peperiksaan ini, tidak tahu bagaimana harus Sara mulakan. Ada dua lamaran datang merisik khabar. Kedua-duanya pada minggu yang sama. Allahurabbi. Tidak tahu bagaimana harus Sara bereaksi. Terkejut? Terkesima? Terkedu? Lamaran itu menuntut jawapan seberapa segera daripada Sara. Semuanya Sara sudah serahkan kepada Allah. Minta Allah tunjukkan jalan.
Solat istikharah pun sudah. Umi tidak diketepikan. Setelah mendapatkan pendapat dan keizinan umi, umi meletakkan seluruh kepercayaannya kepada diri ini, katanya "Jika baik untuk angah, umi tidak menghalang." Alhamdulillah jawapannya telah Sara kemukakan buat yang melamar itu. Tidak elok rasanya pihak yang bertanya menunggu terlalu lama.

Sejurus itu diselang pula dengan insiden yang sukar untuk Sara terima, namun pahit kelat bagaimana pun tidak dapat tidak Sara terpaksa telan juga. Itulah namanya lumrah. Tidak akan ada hamparan karpet merah untuk mereka yang bergelar da'ie. Kecewa, sedih itu menjadi rencah biasa. Pada waktu itu, Sara tiba-tiba sahaja disua dengan kalam Allah pada  ayat 140, Al-Imran yang mengungkapkan :

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada' "

Allah.... biarlah selawat kepada nabi yang baru diijazahkan kepada Sara ini menjadi penenang! Ya, sangat tenang dengan berselawat! Walaupun ada air mata yang gugur masih menuntut untuk diseka beberapa kali tapi jauh di sudut hati, Sara masih lagi berharap agar Rasulullah sallahu alaihi wassalam sudi berkunjung sekali lagi dalam mimpi. Tidak dapat Sara tulis dengan kata-kata, dikunjungi nabi dalam mimpi adalah satu detik yang paling tersentuh! Mimpi yang akan menjadi pengubat dan pendamai jiwa yang resah.

Bercerita ini sebenarnya ingin mengajak pembaca renung sejenak. Semua orang berhak rindu kepada Rasulullah s.a.w. Terus dia juga layak untuk dikunjungi Insan Mulia itu. Banyakkan selawat maka hijab akan tersingkap. Berselawatlah dengan penuh rasa rindu dan cinta kepada nabi Muhammad sollallahualihi wasohbih wassalam. Sollu A'lanNabiy!


p/s: Maaf, agak lama Sara menyepi. Sangat sibuk untuk duduk berlama-lama di atas kerusi biru mencoretkan ceritera diri di ruangan ini. Moga Allah melindungi kita semua dengan rahmat kasih sayang-Nya dan moga-moga Allah redha dengan segala kerja buat kita selama kita melayari detik seorang hamba. Maafkan segala kekhilafan Sara. Sesungguhnya Sara juga manusia biasa. Selamat Hari Guru ! (^__^)


Sara Assyahidah
25 Jamadil Akhir 1433 H
17 Mei 2012 (Rabu)
1.00 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan