Putar Masa, Kembali Ke Zaman Itu

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Sara teringat pada kampung nenek sebelah ibu Sara. Kampung yang mengisi banyak kenangan. Kenangan zaman kanak-kanak. Jalan lecah dan lumpur menghiasi di setiap laluan. Apabila bermain kejar-kejar, sorok-sorok, selipar wajib kotor. Rumah rapat-rapat. Pak saudara sebelah kanan. Mak saudara sebelah kiri. Hijau. Tenang. Air anak sungainya mengalir di bawah titi kecil tanpa pemegang. Perlu seimbangkan diri untuk meniti. Itik dan ayam berkeliaran. Tangkap, sembelih dan masak gulai. Rumah papan. Berjalan atau berlari mesti bising. Air sejuk sampai ke tulang. Rindu. Sara rindu suasana itu! 

Sedih. Mana mungkin Sara boleh kembali ke zaman itu. Walaupun sekarang kampung itu masih ada tapi berbeza. Tidak sama. Nenek sudah pergi buat selamanya. Kosong. Tiada makna. Kampung yang penuh dengan keaslian semulajadi sudah dicemari tangan-tangan pembangunan. Pokok inai di hadapan rumah nenek, lesap.
  
Macam mana Sara nak kembali ke zaman itu? Masa bolehkah diputar-putar? Putar Masa, kembali ke zaman itu, boleh?

Boleh.

Betulkah boleh?

Boleh.

Macam mana?

Allah.

Allah? 

Ikuti kisah ini.

Alhamdulillah, hari ini Sara rasa cukup terisi. Pagi tadi Sara ke satu tempat. Atas bukit. Nak ke sana, jalan sempit. Tidak berturap sempurna. Ladang kelapa sawit dan pokok-pokok getah mengiringi perjalanan. Sara tertanya-tanya ke mana sebenarnya destinasi yang hendak dituju. Tiba di selekoh. Membelok. Terkejut!

Subhanallah. Ada kampung di sini. Hidup ! Tercengang Sara. Mulut tutup. Takut ternganga. Tak senonoh pula. Tak sangka. Kampung itu mirip kampung Sara suatu ketika dulu. Itulah salah sebuah kampung di daerah Kuala Lipis. Cantik. Masjidnya strategik. Berada di tengah-tengah kampung. Sara singgah bersama beberapa orang muslimat untuk memberikan bantuan makanan dan gotong-royong membersihkan kawasan rumah mereka. Bantuan makanan bukan dari Sara. Tapi dari pihak yang memberi amanah kepada kami. Kami berjaya ke tujuh buah rumah tapi dua buah rumah yang amat menggamit memori. (iklan klasik nasional)

Sara ke rumah Mak Anjang, rumah beliau memang 87 peratus tidak menggunakan teknologi. Rumah yang hampir sama suasananya dengan rumah arwah nenek. Ada reban ayam. Ada kayu api. Ada daun kering. Sapu. Tadi Sara sempat kejar anak ayam. Seronok. Sara cuba tangkap anak ayam itu tapi tak dapat. Amat menyedihkan. Bakat Sara menangkap ayam sudah luput di telan usia. Hehe. Suka sangat suasana di rumah Mak Anjang. Rasa nak bermalam dua tiga hari di situ. Tapi, tak boleh. :-(

Rumah seterusnya, rumah muallaf (Orang Asli yang baru memeluk Islam atas kerelaan hati sendiri). Kagum dengan dia. Kami singgah sekejap. Ketika berjalan di sekitar kawasan rumahnya, Sara ternampak suatu yang unik. Menarik. Nak tahu? 

"Saya pun nak main buai juga. Bagilah saya main. Awak, bagilah saya main. Awak, tolonglah. Awak.."


Ada kanak-kanak sedang bermain buaian. Buatannya cukup mudah. Ambil kain batik sarung dan ikat di dahan pokok. Sara mendekati mereka. Tapi, mereka malu lalu menutup muka dengan kain buaian. Mereka kebanyakan memang begitu. Amat pemalu dengan orang yang mereka tak kenal.

Itu sahaja yang Sara dapat ceritakan. Hari ini, Allah makbulkan doa. Seolah-olah, Allah putar masa untuk Sara kembali ke zaman itu. Zaman penuh dengan kenangan manis kanak-kanak. Ya Allah, syukur. Gembira teramat sangat!

p/s: Bila Sara dapat ke sana lagi? Insya-Allah doa itu senjata segalanya. Pembaca nak kembali ke zaman kanak-kanak tak? Jom, doa ! Hehe

Sara Assyahidah
20 November 2011 (Ahad)
12.26 am


Tiada ulasan:

Catat Ulasan