Ceria Aidiladha Di Perantauan

Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum wbt

Salam Aidiladha buat semua pembaca blog saraassyahidah.blogspot.com. Ada satu berita 'gembira' sara nak kongsikan bersama para pembaca sekalian. Pada kali ini, sara buat pertama kali beraya di United State of Lipision dan ini bermaksud Sara tidak beraya  di kampung halaman bersama keluarga. (Itu pun nak beritahu ke? Orang lain sudah dua tiga tahun beraya di luar negara tak kecoh pun). Perasaan sedih tu memang lah ada. Tapi hidup kena teruskan juga. (Ayat pasrah). Maklum sahajalah beraya di tempat orang ni memang berbeza lah dengan tempat sendiri kan.

Walau bagaimanapun, Sara tak sunyi kerana ada juga kawan-kawan yang senasib dengan Sara. Pagi raya mestilah kena mandi sunat aidiladha dulu kan. Selesai sahaja bersiap, kami mengatur langkah dengan penuh berkeyakinan berbekalkan semangat yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berdekatan iaitu 'Mosque Of  Tempoyang'. Mula-mula agak terkejut kerana nama masjid ini hampir sama dengan salah sebuah masjid di Kuala Lipis. Mungkin kebetulan yang tidak disengajakan. Dunia ini kecil sahaja kan? (Ayat biasa orang guna dalam drama Melayu)

Kami ke sana dengan menaiki sebuah kereta yang ditaja oleh senior semester 8, (yang senasib dengan kami). Alhamdulillah kerana dia sudi menghantar kami. Terima kasih kepada beliau.  Sesampainya di sana, kami sedar bahawasanya kami muslimat pertama yang datang ke masjid pada waktu itu. Seperti yang saya katakan kami memang berkobar-kobar untuk solat aidiladha pada pagi kejadian. Selesai solat, kami dijamu oleh penduduk kawasan tersebut dengan pelbagai juadah yang sedap dan menarik. Terima kasih kepada mereka yang menyediakan juadah. 

Saya rasa setakat itu sahaja pembikinan Filem di sebalik 'Ceria Aidiladha' pada kali ini. Ceritanya tidak sempat diselesaikan kerana Pengarah Filem ini sudah melarikan diri akibat kasutnya tersangkut di dalam longkang. Mungkin sebab perasaan malu menyelubungi dirinya rentetan kejadian tersebut. Oleh hal yang demikian, (ayat SPM 2008) kami para pelakon yang melakonkan watak-watak ini tidak dibayar upah setelah cuba sedaya upaya membanting tulang, mengerah keringat untuk filem arahan beliau.

Muka-muka ceria semua itu adalah lakonan semata-mata. Tapi sejujurnya, juadah yang ada dalam gambar memang sedap. Terima kasih kepada yang sudi memasak rendang, nasi impit, kuah kacang, lemang, kuih raya dan  'jus tembikai terbaik di alam semesta' a.k.a air sirap.

Sekian, Sara undur diri. Salam Eid Adha kepada semua pembaca yang beragama Islam.

p/s : Kutiplah ibrah (pengajaran) dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Pengorbanan ke arah kebaikan itu sesuatu yang sukar tapi nikmatnya cukup besar kepada yang IKHLAS. Moga Allah menilai pengorbanan kita, biiznillah. Amin !

Sara Assyahidah
7 November 2011 (Isnin)
4.28 Petang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan