Maaf, Aku Sibuk !

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Hari ni rasa nak tulis sebuah cerpen la kepada sahabat-sahabat. Tapi PERINGATAN! Sebelum baca anda kena janji anda akan baca kalimah basmallah iaitu bismillahirrahmanirrahim dan kalimah astghfirullahaladzim. Insafi dosa-dosa kalian. Cerita ini hasil nukilan saraassyahidah.blogspot.com. Namun, bukanlah bermakna cerita ini cerita saya. Cerita ini tiada kaitan dengan yang masih bernyawa ataupun dengan yang telah tiada. Jika rasa nak kongsikan bersama rakan-rakan yang lain, silakan. Tapi harap kalian amanah. Insya-Allah.

********************************************************************************************

Pagi tu suasana lengang sahaja. Aku sahaja yang kalut-kalut bersiap untuk ke kuliah. Seawal 4.55 pagi aku sudah bangkit dari tidur dan terus mengemas tempat tidur. Rakan sebilikku masih lagi lena. Aku meminimumkan sedaya mungkin pergerakan untuk tidak mengganggu tidurnya. Selepas bersiap-siap, alhamdulillah sempat juga aku bersahur dengan dua keping roti dan beberapa teguk air kosong. Tanpa membuang detik, aku menyusun langkah menuju ke surau kampus dengan membawa sebuah Al-quran berwarna coklat. Hanya beberapa minit lagi azan subuh akan berkumandang. Sebaik sampai, kelihatan dua orang muslimah telah pun mendatangi rumah Allah itu sebelumku.

Azan subuh masih lagi belum kedengaran. Aku membelek-belek Al-quran dan memulakan hafalan. Allah. Hafalanku makin hari makin merosot.

"Mungkin sebab masa suntuk. Tidak sempat untuk mengulang hafalan. Mungkin juga sebab dosa yang makin menggunung menjadi hijab." desis hati.

Sejurus kemudian, muazzin menjalankan tugasnya. Selepas menunaikan solat sunat sebelum subuh (Qabliyyah), kami solat fardhu Subuh secara berjemaah. Selesai solat, kami bersalam-salaman.

"Rumaisha, pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?" tanya Aqlily sambil memandangku kehairanan.

"Eh, cantikkah? Kenapa Kak Lily tanya macam tu, hari ni kan kuliah." jawabku sambil tersenyum.

"Kuliah?? Rumaisha, hari ni cuti lah. Oo, Rumaisha lupa ya" Aqlily terus mencubit pipiku.

"Ya Allah!! Rumaisha lupa lah. Hari ni kan hari Sabtu." aku menutup muka dengan tangan kanan. Malu sebenarnya.

"Malulah tu. Tak mengapa. Akak tak cerita kepada orang lain. Nak balik bilik ke? Jomla kita balik sama-sama. Al-maklumlah hari ni kan tak ada kuliah." kata Aqlily sambil ketawa kecil.

Aqlily ni sahaja nak kenakan aku. Aku apa lagi. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Tapi bukanlah bermakna aku busuk seperti kerang tu. Itu simpulan bahasa.

"Tak mengapa, kak Lily. Akak balik lah dulu. Rumaisha ada hal sikit." jawabku.

"Baiklah, akak balik dulu. Tapi ingat, hari ni cuti tau." Sekali lagi Aqlily mengambil kesempatan mengusikku.

Kugapai Al-quran berwarna coklat itu tadi dari atas rak. Selesai menghafal helaian baru. Aku mengangkat kaki meninggalkan surau itu. Kelihatannya, seperti aku seorang sahaja yang masih ada di situ. Lampu yang masih menyala, aku padamkan suisnya. Tidak baik membazir.

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya"  
(Surah Al-Israk :27)

Sesampainya aku di bilik, telefon bimbitku asyik berkedip-kedip sahaja. Kebiasaannya kalau begitu, ada pesanan ringkas yang dah lama singgah.

"1 message received"

Aku semak mesej tersebut. Mesej dihantar pukul 4.39pagi?

"Selamat bersahur..semoga berjaya menempuh dugaan esok hari pula"

Aku periksa nombor tersebut tapi tiada dalam senarai kenalan.

"Mungkin kawan lama aku kot" desis hati cuba 'husnu dzon' (bersangka baik).

Lalu, aku membalas "Maaf, ni siapa ye?"

Namun tiada jawapan. Ini mungkin tektik orang yang berpenyakit hati. Sudah tidak ada kerja lain lagi gamaknya.

Aku berpaling ke arah rakan sebilik. Tidurnya nyenyak sekali. Tapi kucukup yakin dia telah menunaikan solat subuh awal waktu kerana dia seorang yang menjaga solat. Aku menuju ke ruang meja bacaan. Komputer riba aku 'on'kan suisnya.  Masih banyak lagi tugasan atau 'assignment' yang belum siap. Sangat kusut memikirkan tugasan yang masih berlambak di atas meja ni sampai terlupa hari ni cuti hujung minggu. Tarikh hantarnya pun sudah dekat. Aduh, dapatkah aku siapkan semua ni?

Aku tumpukan perhatian pada skrin laptop. Taip punya taip. Buku di atas meja ni pun sudah berselerakan. Belek punya belek. Tiba-tiba, azan zohor sayup-sayup kedengaran.

"Apa? Dah Zohor??!!"

Astaghfirullahala'dzim. Mengucap panjang aku. Sudah Zohor rupanya? Allah..Terlepas Dhuha!!

"Apa dah jadi dengan aku ni?!"

Sibuk punya pasal. Inilah manusia. Baru Allah uji dengan 'assignment', sudah jauh dengan Dia. Aku segera mengambil wudhuk dan menunaikan solat zohor. Sewaktu berdoa, air mata menitis. Terasa diri ini khilaf sangat.  Allah.. Perbuatanku sejak akhir-akhir ini seolah-olah aku berkata, "Maaf Allah, aku sibuk." Berdosanya!

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." ( Al-Ankabut : 2-3)

Allah bagi sibuk, bukan untuk kita lupa pada Dia.
Allah bagi sibuk, bukan untuk kita tinggalkan suruhan-Nya.

Allah bagi sibuk sebab Allah nak lihat kasih sayang kita pada Dia.
Allah bagi sibuk sebab Allah nak kita lebih pentingkan Dia.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan  solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk Tiada daya dan upaya kecuali atas pertolongan Allah semata” (Al-Baqarah : 45)
 
Allah. Air mata terus menitis. Memohon agar Allah mengampuni dosa-dosaku serta thabatkan hati untuk terus menyayangi dan mementingkan Dia dari segenap segi. Ampuniku ya Allah..T_T



 -TAMAT-
p/s : Sama-sama kita jangan tinggalkan solat sunat dhuha ya. (^_^)

Karya Sara Assyahidah
5 NOVEMBER 2011 (Sabtu)
1.55 petang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan