Ihfazillah Yahfazka - Episod 1


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 1 : Hafalan Al-Quran



Pagi itu mentari sudah meninggi, Rumaisha sedang menghabiskan ulangan sehingga lembaran surah Al-Qiyamah. Khusyuk sekali dia. Sampai ayat yang ke-20, dia berjeda. Terasa seperti tidak sanggup untuk meneruskan hafalan, air matanya bercucuran dan dia teresak-esak.  Tiba-tiba badannya menggigil. Dia terus sujud lalu menyambung lagi tangisannya. 

'Ya Allah buangkanlah cinta dunia dalam hatiku. Sesungguhnya cinta ini yang menjejaskan hafalanku'. 

Bibirnya tidak lekang menyebut nama Allah. Diseka air matanya supaya dia bisa meneruskan sehingga ayat terakhir surah tersebut. Alhamdulillah hari ini ulangan hafalannya lebih bagus dari semalam tapi masih ada yang tersangkut-sangkut apabila tiba pada kalimah yang hampir sama.

Dia melipat telekungnya yang dipakai dari solat tahajjud lagi sehinggalah matahari sudah menampakkan kegagahan sinarnya. Bunyi 'tweet,tweet' tanda pesanan ringkas singgah di telefon bimbitnya memecah kesunyian. Rumaisha menekan dan memandang skrin telefonnya, ada nama yang kurang disenanginya terpampang di situ. Rumaisha mengeleng lalu dia terus membiarkan mesej itu berada dalam 'inbox' tanpa perlu dibaca. 

Rumaisha mencapai buku '50 Akhlak Salafussoleh' hasil karangan Muhammad Faiz Tanzizi Abdullah dan mengelek buku itu menuju ke ruangan dapur. Seperti biasa, dia membuka pintu peti sejuk, makanan apa yang perlu disediakan buat seisi rumah itu. 

'Nasi goreng? Ah, aku tengah diet ini. Tak boleh, tak boleh. Kuey Tiow Ladna ? Makanan kegemaran aku ini, kalau aku buat nanti banyak pula makan. Tak boleh, tak boleh. Hmm, ha! Buat cucur sahaja lah.  Senang, ringkas dan padat!' Rumaisha bermonolog.

Rumaisha mengeluarkan tepung dari almari simpanan makanan di ruang dapur basah rumahnya, lalu dia membancuh tepung tersebut bersama air yang telah dimasak. Bawang merah dan daun kucai yang telah dimayangnya halus-halus sambil berselawat kepada nabi, Allahumma solli a'la saiyidina Muhammad di campakkan kedalam adunan tepung. Sedikit garam untuk memberi rasa yang 'umph' dalam adunan tersebut dimasukkan. Dikacau-kacau sehingga adunan sebati untuk digoreng.

"Kakak masak apa itu? Cucur je?"
Adik lelakinya, Kashaf membuat Rumaisha sedikit terperanjat. 

"Amboi banyak songeh pulak hang ni! Kalau tak nak sudah. Kamu buat sendiri. Ini semua yang kakak punya."

Kashaf ketawa kecil, " Eleh, kakak kan nak diet, Kashaf tengok makin hari makin gedempol ni, apa cerita? Tak apa, biar Kashaf tolong makan untuk kakak ya." Kashaf mengambil pinggan yang berisi cucur yang telah siap digoreng.

"Kurang asam punya budak! Sampai hati kamu cakap akak gedempol! Tak payah. Kashaf cakap akak gedempol, Kashaf buat sendiri!" Rumaisha merampas kembali pinggan tersebut dari adik lelakinya.

"Alah kakak. Orang gurau pun tak boleh? Ololo kakak baik, kakak kurus, cucur kakak sedap, paling sedap di alam semesta, hehe tak kesian kat Kashaf ke, kakak ? Lapar ini." Kashaf membuat mimik muka kesian.

"Tu la mulut hang ni pakai insurans takaful ke insurans etiqa? Dah macam tak sayang mulut dah kakak tengok. Silap hari bulan, bukan setakat cucur Kashaf tak boleh makan, air pun Kashaf tak boleh nak telan tau. Alhamdulillah la kakak ni penyabar dan baik hati, nah ambik cucur ini pergi letak kat meja makan. Dah, tak payah nak buat muka kartun kat sini. Meluat akak tengok."

Kashaf terus ketawa. Suka sangat dia menyakat kakaknya. Antara adik-beradik, kakaknya yang paling dia rapat. Berkongsi rasa suka dan duka. Tempat dia meminta nasihat. Kakaknya yang sempoi dan lucu ini sering sahaja membuat dia terketawa. Di dalam hatinya, dia mengagumi perwatakan dan ilmu kakakknya ini.

Kashaf sedang membancuh air teh O untuk dihidang bersama cucur hasil air tangan Rumaisha. Dia sangat ringan tulang jika diminta untuk membantu kakak kesayangannya itu. Ketika hidangan cucur bersama sos pencicah telah lengkap bersama air teh 'O' di atas meja makan, Rumaisha menjenguk ahli keluarganya yang lain. Nampaknya, semua orang masih belum keluar dari bilik masing-masing, Kashaf dan Rumaisha sahajalah mengambil tempat di ruangan meja makan menikmati hidangan hasil dua beradik itu. 

Seperti biasa, jika mereka duduk berdua, mereka akan berteka-teki. Rumaisha membaca sepotong ayat Al-Quran dari mana-mana surah lalu Kashaf meneka surah tersebut dan mereka bergilir-gilir teka-meneka. Jika salah, hukumannya, si peneka akan mencubit kecil di tangan orang yang diteka dan perlu beristighfar.

"Kashaf, buat ulangan tak ni? Hmm.. " Rumaisha mencubit tangan adik lelakinya itu.

"Saja je tu, Kashaf bagi kakak chance." Kashaf tersengih-sengih seperti kerang busuk. Kashaf cuba mengalih topik,

"Kakak, macam mana dengan keadaan abang Uwais, kak? Dah ok ke? Dah sedar ke dari koma?" 

Rumaisha membisu. 

"Abang Uwais tu bersungguh-sungguh dia dengan kakak ya. Kalau Kashaf lah, Kashaf tak sanggup nak tackle orang segarang, sesinga kakak ni. Haish, nak mengayat pun tak makan ayat. Sabar betul Abang Uwais tu kan, kakak?"

"Amboi, amboi, amboi! Kamu dah kenyang, kamu cakap kakak garang lah singa lah kan. Ee, urat saraf Kashaf yang mana satu tercabut ni mari akak betulkan. Pandai-pandai nak ubah tajuk pulak budak ni! "

Rumaisha mencubit bahu adik lelakinya.

''Aduh, duh, sakit kak! Dah, dah bercantum dah urat saraf Kashaf kak. Dah kak. Aduh sakitnya!" Kashaf ketawa kecil.

"Tahu pun!" Rumasiha tersenyum puas! Jauh di sudut hatinya, dia tertanya-tanya, perlukah dia menziarahi Uwais di hospital?

'Nanti kalau keluarga Uwais menganggap aku sedang memberi harapan kepada Uwais macam mana?' Rumaisha keliru. Benar-benar keliru.

-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ 

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara. 

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ 

p/s :Jangan lupa baca episod seterusnya. :D


Sara Assyahidah
20 Muharam 1434 H
4 Disember 2012 (Selasa)
10.16 pagi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan