Aku dan Air Mata


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥
♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥
♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥

Ya Allah, pagi ini aku masih lagi bernafas. Alhamdulillahil lazi ahyana ba'dama ama tana wailaihinnushur. Usai sahaja perbincangan bersama ahli lajnah di Surau, aku berjalan bersama dua orang sahabat. Insya-Allah sahabat dunia dan akhiratku! Sepanjang perjalanan, kabus tebal menyelimuti kami. Subhanallah, tenangnya. Jika petang semalam suhu di Kuala Lipis ini sekitar 26 darjah Celcius, pagi ini mungkin lagi rendah daripada  itu. Kabus pagi ini seakan-akan Allah hadirkan untuk menutup segala keresahan dan tangisan yang teresak-esak di dalam hati ini.


Sudah sekian lama, tidak menitiskan air mata kerinduan kepada Dia. Sudah dipaksa, namun si air mata tidak juga kunjung tiba. Mungkin si air mata ini malu untuk berdepan dengan Pencipta kerana tuannya terlalu sarat dengan dosa. Dek kerana itu, jiwa ini makin terasa kegersangannya. Teringat pada satu kata-kata,'Alirkanlah air mata mengenangkan dosa-dosa kita, jika kita mampu, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu'.

Rasulullah pernah berdoa;
"Ya Allah, kurniakan aku dua biji mata yang mudah mengalirkan air mata, dapat menyembuhkan hati dengan linangan air matanya kerana takut kepada-Mu. Perkenankanlah permohonanku, sebelum mengalir air mata darah.

Hari ini dengan mudah tanpa perlu diseka-seka, air mata murah sahaja keluar. Allah, nikmatnya rasa ini. Biarlah sekalipun seisi dunia meninggalkanku, namun jangan KAU yang meninggalkan aku. KAU tanpaku, tidak mengubah apa-apa, tapi aku tanpaMU ibarat jasad yang tidak bernyawa. 

Dalam perjuangan, jika tidak diuji dengan rasa lemah, maka itu bukan perjuangan. Gagahkankanlah dirimu, wahai si pejuang! Agar kelemahanmu tidak membebankan gerak kerja dalam perjuangan.

Dalam kita melangkah,

Terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat,

Hingga kita terduduk dan menangis,

Peritnya terasa tetapi ketahuilah,

Dan renungilah dalam diri kerana

Mungkin air mata tika itu hadir kerana

Dia mahu menjahit sejadah IMAN yang kian terkoyak

Lantaran ada langkah-langkah yang tersasar,

Semoga tabah dan tetapkan iman.



p/s : Dalam sukar, hitunglah kesyukuranmu. Dalam senang, awasi kealpaanmu. Astaghfirullah minal khotoya!


Sara Assyahidah
4 Ramadhan 1433 H
24 Julai 2012 (Ahad)
9.10 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan