Pertemuan bermakna bersama Kak Ain !

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum wbt

Pada petang itu, sepatutnya Sara ada usrah bersama Kak Ain dan teman-teman yang lain, tapi tiba-tiba mendapat SMS,

"Usrah ditangguh pada petang esok ya" -sender : Kak Ain-

Ah, agak kecewa. Sara membalas "Kak Ain..esok, kami ada B.I.G*..:("

*B.I.G. adalah singkatan daripada Bina Insan Guru, iaitu satu program yang wajib diambil oleh setiap bakal guru ijazah sarjana muda pendidikan setiap semester. Jadi B.I.G pada semester 2 ini, Sara dan kawan-kawan yang lain melakukan satu aktiviti untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat seperti melakukan gotong-royong membersihkan masjid dan sekitarnya di kampung-kampung yang telah ditetapkan.*

Kak Ain : "Oh ye ke? Baru nak ajak pergi tempat rahsia."

Sara : "Ye.. :( Tempat rahsia? Nak pergi ! "

Kak Ain : "Jalan-jalan dalam 5 lebih, petang ni jom!"

Sara : "5 lebih? 5.50?" 

Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 5.35 petang.

Kak Ain : " Sekarang akak ada mesyuarat ni. Tengok dulu macam mana. Nanti akak inform kat Sarah ya"

Sara : "Okeh :)"

Disebabkan ada musyaqqoh (halangan), maka usrah pada petang itu terpaksa dibatalkan. Kak Ain atau nama penuh NurulAin Ahmad, seorang naqibah yang sangat berkaliber. Kak Ain menuntut sebagai pelajar semester 6 pada kali ini. Selama 2 tahun dia membimbing kami, para naqibah. Daripada penilaian Sara sepanjang mengenalinya, insyaAllah dia seorang wanita yang hebat ! Pada usia 23 tahun (usia sekarang) dia sudah mampu menjadi penulis buku islamik terbitan salah sebuah syarikat yang tidak asing lagi di Malaysia ! Wah, kagum Sara ! Dengan usia itu, dia juga berjaya memegang amanahnya dengan membimbing kami dengan baik ! Alhamdulillah..

Sara bersiap-siap. Hmm mahu pilih baju apa ya? Baju T-Shirt atau jubah? Sara mengintai keadaan di luar. Alhamdulillah hujan yang lebat tadi beransur renyai. Hujan itu masih lagi tidak berhenti menjalankan tugasnya menyuburkan bumi. Lantas Sara mengeluarkan jubah coklat dari almari dan memadankannya dengan tudung labuh berwarna sama. Telefon bimbit Sara berbunyi menandakan ada pesanan ringkas yang singgah. 

"Sarah, akak tunggu di Dataran Bestari ya". 

Wajah tersenyum lebar mendapat mesej itu. Kak Ain dari dulu lagi memanggil Sara, Sarah. Hehe tapi Sara tak ada masalah. Asal nama yang bermakna baik, Sara meraikan panggilan itu. 

"Ok, jap Sara tengah bersiap.."

Sara berlari-lari anak menuju ke Dataran Bestari. Bimbang juga kalau-kalau Kak Ain menunggu terlalu lama. Dari kejauhan, Sara melihat seseorang yang bertudung labuh warna ungu berdiri di satu-satunya pondok di dataran itu. Sangkaan Sara, Kak Ain. Alhamdulillah bukan. Sara agak terkilan kalau Sara pula yang membuat Kak Ain tertunggu-tunggu. Sara menghulurkan senyuman sapa kepada akak manis yang bertudung ungu itu. Sara mendekati pondok dan berteduh di situ. Hujan masih belum berhenti. Sambil menarik nafas, sara berdiri di tepi pondok. Sara menghulurkan tangan untuk merasai air hujan yang menitis dari bumbung langit. Sara mengangkat muka dan mata tertumpu ke arah langit yang terbentang luas di atas sana. Air hujan yang jatuh di telapak tangan membuatkan petang itu rasa  tenang sekali ! Allah..."Alhamdulillah". Mata terpejam.

Sara berpaling ke belakang. Ya ! Kelihatan Kak Ain bersama seorang temannya, Kak Anis dari Surau As-Syafie sedang menuju ke sini.  Sambil menunggu Kak Ain yang sedang hangat berbincang dengan Kak Anis, Sara mengalihkan semula pandangan ke arah air hujan yang sentiasa setia berkhidmat. Setelah Sara berpaling semula ke arah Kak Ain, ternyata Kak Anis berpecah melalui jalan menuju ke asrama dan Kak Ain menuju ke arah pondok kecil tempat Sara berteduh itu. Sara mendekati Kak Ain.

Kak Ain : Ala..akak lupa nak beritahu Sarah supaya pakai baju T-shirt. Ingat nak ajak Sara pusing-pusing maktab.

Sara tersenyum : Sara tadi pun terlintas nak pakai baju T-shirt. Tapi tengok keadaan hujan ni, Sara terus tak jadi. Maaf la Kak Ain.

Kak Ain : Tak mengapa. Sarah tunggu kat sini dahulu ya. Akak nak pergi ke kantin nak tempah makanan untuk kak Anis.

Sara : Tak apalah Kak Ain. Sara ikut sekali. Sara pun nak tempah masakan panas juga ni.

Kak Ain : Jom !

Selepas selesai menempah makan. Kami berjalan-jalan, bersiar-siar ditemani air hujan. Bentuk muka bumi di tempat ini berbukit bukau. Jadi kami berada di tanah yang agak tinggi sehingga dapat melihat kaki bukit di bawah sana. Kak Ain berhenti sejenak ! Dia memandang ke arah kaki bukit itu dan memandang sekeliling.

Kak Ain : Akak suka sangat pemandangan selepas hujan. Cantikkan?

Sara : Betul. Sangat cantik, Kak Ain ! Sara suka suasana ni..

Kak Ain : Betulke?

Sara : Betul. Sara suka dengan alam semula jadi. Sara sukakan suasana ni. Tengok, seperti sebuah lukisan !

Kak Ain tersenyum lebar. "Nampaknya kita sama !"

Sara mengangguk. Setuju.

Kak Ain : Kalau kita tengok pemandangan ini, kita rasa cantikkan? Tapi kalau orang lain yang tidak mempunyai minat yang sama macam kita, mereka akan memandang semua ini adalah suatu perkara yang biasa dan tidak unik pun di mata mereka. Sesuatu itu bergantung pada pandangan kita !

Sara diam dan mendengarnya dengan tekun. 

Kak Ain menyambung lagi " Jika seseorang itu menang loteri misalnya, dia akan menganggap apa yang dia dapat itu sangatlah besar jika dia merasakan kemenangannya itu sangat bermakna. Pada masa itu, orang hina dia pun dia tak kisah sebab dia sedang gembira. Tapi kalau dia masih merasakan tidak puas hati dengan kemenangannya dan merasakan itu semua suatu perkara yang biasa-biasa, tidak terlalu istimewa, dia masih tidak berasa cukup dan puas ! Pada masa itu kalau orang herdik dia sikit pun, dia akan naik angin ! Begitulah, sesuatu itu bergantung pada pandangan kita ! Sama juga dengan masalah."

Terkedu ! Satu gambaran yang cukup jelas Kak Ain berikan untuk dia kaitkan dengan situasi yang sedang Sara alami. Sara hanya mampu tersenyum.

Kak Ain : Kalau kita melihat masalah itu sebagai satu masalah, maka masalah itu akan terus menjadi masalah.

Satu lagi kata-kata 'power' daripada Kak Ain menyelinap di telinga ini. Subhanallah....

Sara : Betul tu Kak Ain. Alhamdulillah, dalam dua tiga hari ni, Sara sudah mulai tenang. Apabila dah tenang ni, akal mengajak hati untuk sama-sama berfikir ! Apabila Sara fikir-fikir kembali, Sara baru terdetik, dengan masalah yang Sara alami ni, Sara tak boleh lemah. Nak tak nak, Sara kena bangun sendiri ! Masa tu, baru Sara sedar, Sara dah jadi seseorang yang semangatnya lebih kuat berbanding dulu. Jika dulu, apabila Sara nak  kongsikan masalah itu dengan teman-teman rapat, Sara akan sebak dan terus menangis. Air mata pun tidak segan silu untuk keluar mencurah-curah. Tapi sekarang alhamdulillah, kak Ain. Sara tak lemah macam dulu lagi ! 

Kak Ain memandang Sara dengan penuh tulus : Alhamdulillah..


Kami terus berbual-bual. Sedar tidak sedar, kakak yang memakai tudung labuh ungu sewaktu Sara berada di pondok tadi mengekori kami dari belakang. Kak Mahirah ! Sambil singgah di kandang kuda, kami melihat kuda-kuda telah pun dibawa masuk ke dalam kandang masing-masing kerana hujan mulai lebat semula. Kami terus menuju mencari jalan pulang.

Hujan yang semakin lebat, tidak menghalang kami untuk sama-sama bergambar. Gambar kenangan ! Kak Mahirah bakal menghabiskan pembelajarannya pada hujung tahun ni. Jadi masih lagi berbaki dua bulan dari sekarang. Setelah banyak foto Sara bersama Kak Ain dan Kak Mahirah diambil secara bergilir-gilir antara Kak Ain dan Kak Mahirah, Sara menawarkan diri untuk mengambil gambar mereka pula. Amboi, boleh tahan juga dua orang akak comel ni berposing ya ! Hehe.. Kak Mahirah melihat semula gambar mereka berdua yang telah Sara ambil tadi. 

Kak Mahirah tiba-tiba bersuara, "Ya Allah, cantiknya gambar ni. Pandai Sara ambil gambar."

Kak Ain pun tertarik untuk melihatnya, "Aah la cantik ! Oo Sarah ni ada bakat tersembunyi ya.."

Sara: Tak ada lah..

Tiba-tiba Sara jadi malu. Aduh ! Kak Ain dan Kak Mahirah ni ada-ada sahaja. Hehe kebetulan tu. Sara tak ada bakat apa-apa pun. Pertemuan pada petang itu usai di situ sebaik sahaja kami berpecah mencari destinasi masing-masing. Sara ke kantin dan mereka ke asrama.

p/s : Terima Kasih Kak Ain. Pertemuan petang itu sungguh bermakna ! (",)

Sara Assyahidah
10 Oktober 2011
2.57 petang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan