Kerajaan Fatimiyyah Yang Makin Tidak Dikenali Anak Muda Kita!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.
Masjid yang didirikan oleh kerajaan Fatimiyyah pada tahun 859. Akhirnya berkembang menjadi salah satu universiti di Fes, Maghribi.

Sebut sahaja Kerajaan Fatimiyyah mesti ramai yang ternganga! Hah! Ada ke? (termasuklah penulis blog ni) Walaupun saya pernah diberitahu oleh guru sejarah semasa waktu sekolah dulu-dulu, namun masa tu kan belajar untuk peperiksaan bukannya berminat sangat nak tahu secara mendalam. Kerajaan Madinah, Mekah, Kerajaan Abasiyyah tu tahulah. Kerajaan Fatimiyyah memang tak tahu apalah? Kalau siapa-siapa suruh saya ceritakan secara tiba-tiba agaknya memang saya tak dapat jawab! Malunya! Sejarah sendiri pun lupa! 

Jadi, hari ini apa kata kita kenal dengan kerajaan ini. Boleh? Hehe sukalah awak semua ni. Sporting! Sebab tu saya suka belajar bersama kalian! Ajak sikit, semangat nak tahu dah berkobar-kobar! Memang terbaiklah pembaca-pembaca blog saya ni...Suka! Suka! (^_^)

Baiklah, kerajaan Fatimiyyah ni diisytiharkan penubuhannya pada tahun 197H di Maghribi. Di mana?? Hah, betul betul! Maghribi. (kene ingat ni). Kenapa diberi nama Fatimiyyah ye sahabat-sahabat?
Nama Fatimiyyah adalah sempena nama puteri Rasulullah, Fatimah binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib. (Ooo..) Kerajaan ini dikuasai dan dimonopoli oleh golongan syiah al-Imamiyyah dan Islamiyyah. 


Pada tahun 262H, pusat pentadbiran berpindah ke Mesir dan dipimpin oleh Muiz li Dinillah al-Fatimi selaku ketua negara (Amir al-Daulah) dengan bantuan seorang panglima perang, Jauhar Shaqali. Setelah bumi Mesir berjaya dikuasai, Panglima Jauhar diberi mandat memerintah negeri Mesir. Selain Qaherah, Jauhar juga turut menguasai beberapa wilayah lain seperti negeri Nouba, Mesir Selatan, Syria, Palestin, Hijaz dan Yaman. Dalam tempoh ini, beliau mula menumpukan perhatian kepada usaha pembangunan dalam pelbagai bidang. Pertama sekali, masjid didirikan sebagai pusat kegiatan umat Islam pada tahun 359H. Sebahagian ruang beratap disediakan untuk solat. Sebahagian lagi ruangan terbuka untuk para jemaah solat jika jumlah penyertaannya agak begitu ramai. Tiang-tiangnya dilapisi batu-batu marmar putih berkilat dan dindingnya dihiasi dengan ukiran ayat-ayat al-Quran serta didirikan sebuah mimbar yang indah. Jauhar menamakan masjid ini al-Jami` al-Azhar sebagai tanda kenangan kepada nenda mereka, Fatimiyyah Zahrah. Dalam tempoh yang singkat, masjid ini berubah menjadi sebuah institusi pengajian tinggi sehingga ia kemudiannya diisytihar sebagai Universiti al-Azhar pada tahun 378H dan dikunjungi oleh para mahasiswa dari seluruh pelusuk dunia.  Fakulti pengajian mazhab syiah di institusi ini masih dikekalkan hingga kini. Universiti al-Azhar merupakan universiti kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi. Jauhar juga membangunkan pusat-pusat perniagaan. Pada hari pertama beliau menduduki Fustat, terlintas di fikirannya untuk membina sebuah kota baru di sebelah utara sebagai pusat pemerintahan. Semasa sesi pembangunan lokasi itu berjalan, kelihatan bintang Marikh di langit yang mana dalam bahasa mereka di sebut “Qaher”. Lalu lokasi itu dirasmikan dengan nama Qaherah.


Selepas 4 tahun memerintah Mesir, Jauhar menghantar utusan untuk menjemput Muiz datang ke Mesir. Bagi mengiringi Muiz ke Mesir, al-Mansyuriah bersama sejumlah besar angkatan tentera, para pembesar kerajaan (menteri-menteri) dan termasuk 3 orang keluarganya yang pernah menjadi khalifah sebelum ini turut sama meninggalkan Maghribi. Rombongan ini sampai di Iskandariyyah, Mesir pada 24 Syaaban 362H dan meneruskan perjalanan mereka menuju ke istana yang telah disediakan oleh Jauhar di Qaherah.  Selaku ketua negara, Muiz mengambil inisiatif mendirikan gedung keemasan iaitu tempat bersidang (Dewan Menteri) bagi menentukan dasar negara. Dalam sidang Dewan yang dijalankan, lazimnya para menteri selaku pembantu ketua negara mengajukan saranan-saranan serta usul dan keputusan mutlak berada dalam tangan ketua negara. Setiap kali sidang Dewan berakhir, para menteri merupakan golongan yang paling akhir meninggalkan Dewan. Sebelum meninggalkan Dewan, terlebih dahulu mereka semua akan mencium tangan ketua negara. Selepas itu, ketua negara akan turun dari kerusi kerajaannya dan barulah tabir diturunkan serta semua pintu ditutup. Dalam era pemerintahnya, Muiz memerintah agar dibina sebuah kompleks perkuburan dalam lingkungan Istana untuk dijadikan pusara keluarga istana. Beliau juga mengeluarkan matawang baru yang tertulis namanya. Sebagai ahli politik, setiap tahun beliau sentiasa menghadiri majlis-majlis rasmi seperti upacara pembersihan Sungai Nil, hari Asyura, Maulid al-Rasul, Tahun Baru Hijrah dan sebagainya. Malah setiap tahun Muiz turut mengirimkan kelambu kaabah ke Mekah. Beberapa projek industri, industri rumah (kraftangan) digalakkan. Antaranya ialah kilang tenunan dan industri celupan serta alat-alat hiasan. Rancangan pembangunan Bandar dilakukan dengan intensif dan terarah. Zaman keemasan Muiz di Mesir hanya selama 3 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 46 tahun.


Sesudah kewafatan Muiz, puteranya yang bernama al-Hakim ibn Amrillah dilantik sebagai pengganti sejajar dengan wasiat Muiz. Ketika ditabalkan menjadi ketua negara, al-Hakim baru berusia 11 tahun. Beliau menjalankan urusan pentadbiran negara dengan di dampingi oleh beberapa orang pakar pendidikan selaku guru beliau.  Sebagai langkah mengagungkan pemerintah muda ini, beliau digelar sebagai al-Hakim al-Uluhiyyah (Hakim Ketuhanan). Al-Hakim amat gemarkan kemegahan. Ketika mana  berita kedatangan utusan Kaisar Rom sedang dalam perjalanan menuju ke istananya, beliau memerintah para khadamnya menghias istana. Satu guni emas dikeluarkan dari tempat penyimpanannya dan diletakkan di ruang tamu hinggakan ruang tamu yang megah itu menjadi terang benderang bermandikan cahaya.  Selepas kewafatan al-Hakim, jawatan ketua negara disandang oleh puteranya, Zahir. Kemudian setelah Zahir meninggal dunia, puteranya, al-Muntasar yang baru berusia 7 tahun pula ditabal sebagai pemerintah negara. Al-Muntasar menjawat jawatan tersebut selama 60 tahun. Dalam tempoh pemerintahan al-Muntasar banyak kekacauan meletus ekoran sikap kasar golongan tentera yang suka memporak perandakan negara dan tidak mematuhi pemerintah.  Angkatan tentera turut bertindak mencemarkan Sungai Nil yang mengakibatkan wabak penyakit menular dan menyebabkan rakyat hidup dalam kesengsaraan. Keadaan huru hara berlarutan selama 7 tahun hinggalah Menteri Badr al-Jamali berjaya mengatasi kemelut tersebut pada tahun 465H. Badr al-Jamali memangku jawatan tertinggi itu sampai akhir hayatnya pada tahun 487H di Kaherah. 


Menjelang berakhir kekuasaan al-Muntasar, para menteri berkuasa penuh hinggakan mereka digelar Malik ataupun raja. Gelaran ini digunakan bagi mencegah perlantikan ketua negara yang masih muda (belum dewasa) bagi melancarkan kekuasaan mereka.  Kerajaan Fatimiyyah hanya mampu bertahun selama 100 tahun. Selepas itu prestasinya mulai menurun ekoran sikap pemerintah dan para menteri yang terdiri daripada kalangan mereka yang tidak mampu menyelamatkan negara. Akhirnya, nama negara ini semakin muram dan tenggelam pada zaman pemerintahan khalifah al-Aidhid al-Fatimi dan muncul pula Salahuddin al-Ayyubi, panglima perang kerajaan Bani Abbasiyyah yang kemudiannya mengambil alih kuasa pemerintahan di Mesir secara aman (tanpa peperangan) dan mengisytiharkan perlantikan khalifah al-Mustadhi al-Abbasi  pada bulan Muharram 567H.  

Alhamdulillah dah tahu dah serba sikit kan? BEST nya dapat tahu sirah dan sejarah! 

Salam perkongsian ilmu buat kawan-kawan yang membaca daripada saraassyahidah.blogspot.com (^_'')/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan