Dirisik Senior

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah,
Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah,
A'dadama Fi Ilmillah


Pagi ini, setinggi-tinggi kesyukuran buat yang Maha Menghidupkan kerana terus memberi nafas untuk kita semua hela bersama akal yang waras. Hamdan lillah wa syukran lillah. 

Gambar sekadar hiasan

"Sara, akak sebenarnya emm.. nak tanya. Sara, dah ada calon kah?"
 
Terkejut! Patutlah Akak H begitu formal dengan Sara sejak Sara diajak masuk untuk berbincang di bilik sebelah. Sekadar mengeleng, Sara seperti boleh membaca apa hasrat yang ingin Akak H sampaikan. Lalu dia merisik Sara untuk seseorang. Katanya, calon tersebut sudah bekerja dan berusia 25 tahun. Akak H menjamin dari segi agamanya. Jika Sara bersetuju, maka walimahnya akan berlangsung pada tahun ini. Tahun ini? Sara terus memandang tepat ke arah Akak H! 

Akak H bersuara lagi "Sara fikir-fikir dahulu macam mana ya. Apa keputusan nanti Sara maklumkan kepada akak. Akak tunggu." 

Jadi sehingga sekarang, Akak H masih menunggu jawapan. Fotonya masih belum Sara lihat. Untuk lamaran kali ini, memang tidak dinafi, serba salah juga Sara dibuatnya. Tirmizi merekodkan, 

"Jika datang kepada kamu orang yang kamu sukai akan agama dan akhlaknya, maka nikahkan ia (anak gadis kamu) dengannya. Jika tidak, maka akan berlakulah fitnah dan kebinasaan besar di muka bumi."

Tapi insya-Allah, Sara yakin calon itu berhak mendapat seseorang yang lebih baik daripada diri ini. Insya-Allah moga setiap perhitungan yang dibuat mendapat rahmat dan redha Allah. Sara sangat faqir. Masih banyak ilmu yang perlu Sara dalami. Jika Sara bersedia menukar status, maka pada saat itu Sara ingin menjadi seorang pedamping yang terbaik buat yang disayangi. Allahuyussahil! Aamiin.

Sara kalau boleh tidak mahu terburu-buru dan tergopoh-gapah. 'Al-A'jalah Finnadamah' yang bermaksud 'Setiap gopah gapah itu ada penyesalan'. Buat masa ini, biarlah namanya masih menjadi rahsia Allah. Wallahua'lam.

p/s : Kepada teman-teman yang sudah bersiap siaga menjadi seorang 'Isteri', Sara memang tabik spring! Anda memang muslimah yang hebat! Doakan Sara juga, moga dikurnia zauj yang terbaik! Aamiin. ;)


Sara Assyahidah
29 Jamadil Akhir 1433 H
21 Mei 2012 (Isnin)
8.25 pagi

Dua Lamaran Datang Merisik!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad

"Angah, kat sana tu, ada ke yang berkenan dengan anak umi seorang ni? Kalau ada, angah pilihlah yang terbaik untuk diri angah. Umi serahkan kepada angah. Kalau boleh, pilihlah yang ustaz-ustaz, sejuk hati umi nanti." 

Serius sahaja bunyinya. Sara terkedu sebelum tergelak dengan kata-kata umi. Umi pun tergelak sama. Yang ustaz-ustaz tu tak tahannya. Ustaz manalah yang berkenan dengan anak umi, pelajar bukan jurusan agama ini. Ya Allah, apa mimpi sampai umi singgah ke maudhuk 'nikah' pula untuk berborak kali ini. Rancak benar perbualan bersama umi  walaupun sekadar melalui telefon bimbit pada malam selepas isyak itu.

Bukankah dahulu, umi seakan tidak bersetuju kalau-kalau anak-anaknya kahwin awal. Bukankah dulu ayah Sara juga yang berkeras, "Suami angah nanti, biar Ba yang carikan ! "

Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Ba, panggilan Sara untuk lelaki yang dinobatkan Allah sebagai ayah. Apa? Suami pilihan Ba? Teringat pula Sara kepada cerita nenek dan datuk Sara sebelah ayah, mereka disatukan atas pilihan orang tua mereka (moyang Sara). Maksudnya Sara perlu kembali ke zaman itu? Ah, mengarut! Usia 17 tahun masakan diajak bincang soal suami. Benar-benar mengarut!  

Sekarang, kata-kata umi tadi mengimbau kembali kenangan hampir 5 tahun yang lalu. Sara mengeleng lalu tersenyum. Rasa geli hati! Entah-entah umi sekadar bergurau. Tapi apabila diingat kembali nada suara umi itu, rasanya bukan gurauan semata. Adakah umi teringin nak ada menantu ?  'Umi bergurau sahaja itu' segera Sara mempositifkan diri.

'Haisy.. Astaghfirullahal adzim..' jauh benar Sara berfikir, Sebaiknya soal jodoh pertemuan itu diserahkan kepada yang Maha Cinta. Malas benar nak fikir soal hati ini. Makin difikir, makin letih.
Tidak Sara nafikan, ada sahabat-sahabat baik, sebaya Sara, telah bersedia untuk memegang status 'Isteri'. Allah, kental betul semangat mereka! Teringat Sara pada kata-kata salah seorang teman rapat Sara ini. 

Rasanya, seperti terakam dan berlegar-legar dalam kepala ini ( mungkin para lelaki di luar sana perlu take note ! ),

"Orang perempuan ini susah nak jaga diri, Sara. Banyak benar cubaan yang datang menerpa. Saya nak jaga hati saya ni. Hati saya ini untuk suami saya sahaja. Saya sudah bersedia untuk menjadi suri orang. Saya nak amalan seharian saya ini, Allah ganjarkan dengan pahala yang berlipat ganda. Hati pun tidak perlu digusarkan lagi setelah ada yang halal bertapak di sini"

Dia mengisyaratkan ke jantung. Sara tersenyum. Moga Allah memakbulkan doamu sahabat. Moga Allah mengurniakan zauj yang akan melindungimu di bawah lindungan Allah. 

Pernah juga Sara diajukan soalan cepu emas, "Sara, awak ini dah ada orang kah? Saya nampak awak ini semacam tidak berminat sahaja dengan lelaki di maktab kita ini. Sara sendiri tahukan insya-Allah ramai yang soleh-soleh di sini. "

Masa itu Sara masih ingat lagi, Sara sedang menggoreng di dapur surau. Ya, kami semua berada di situ. Mereka masih menanti jawapan Sara. Memang tidak dinafi ramai. Tapi tak tahulah, seramai-ramai itu tidak ada yang benar-benar mampu menggugah perasaan Sara ini. Padahal kerap kali bersua, berurusan atas dasar kerja amal islami dan sangat terbukti memang mereka sangat baik! 


"Kalau macam itu, kita semua kahwin dengan lelaki yang bernama 'Soleh', nak? Ramai kan yang bernama 'Soleh' dalam maktab kita ini?" Sara menjawab dengan  nada bersahaja sebelum mereka tertawa sopan. Sara turut tersenyum. "Alah Sara ini, orang tanya betul-betul, boleh pula dia main-main." Teman Sara yang bertanya tadi, masih belum berpuas hati. Akhirnya Sara beralah.

"Okey. Okey. Tak adalah, bukan bermaksud ada orang ke tak ada. Tapi untuk percaya kepada lelaki ini, bukanlah pada kalimatnya tapi lihat bagaimana utuh kesetiaannya. Kesetiaan pada Pencipta, Rasul dan mak ayah dia. Kalau betul setia, masuk minang! Hehe. Bukan Sara tak berminat dengan mereka. Bukan! Ya, sememangnya mereka insya-Allah lelaki-lelaki soleh. Tapi Sara anggap kalau dia baik dengan Sara sepanjang kami berurusan atas dasar kerja, dia juga baik dengan semua orang. Barulah kita tidak mudah perasan, cik adik." jelas Sara sambil menguntum senyuman. Masakan di dapur yang telah masak, segera Sara angkat. Bimbang hangus pula nanti. Nampaknya dia terdiam. Berpuas hati barangkali. Alhamdulillah.

Baiklah, di saat ada rakan-rakan senior dan junior yang akan melangsungkan akad nikah pada waktu cuti semester nanti, Sara masih menghitung detik untuk menghabiskan tiga kertas soalan lagi yang masih berbaki. Selepas itu minggu pertama cuti semester ini, masih ada amanat untuk masyarakat yang perlu Sara tunaikan. Wajah-wajah keluarga yang menanti di al-bait perlu dilupakan sementara.

Sebelum itu, beberapa minggu sebelum peperiksaan ini, tidak tahu bagaimana harus Sara mulakan. Ada dua lamaran datang merisik khabar. Kedua-duanya pada minggu yang sama. Allahurabbi. Tidak tahu bagaimana harus Sara bereaksi. Terkejut? Terkesima? Terkedu? Lamaran itu menuntut jawapan seberapa segera daripada Sara. Semuanya Sara sudah serahkan kepada Allah. Minta Allah tunjukkan jalan.
Solat istikharah pun sudah. Umi tidak diketepikan. Setelah mendapatkan pendapat dan keizinan umi, umi meletakkan seluruh kepercayaannya kepada diri ini, katanya "Jika baik untuk angah, umi tidak menghalang." Alhamdulillah jawapannya telah Sara kemukakan buat yang melamar itu. Tidak elok rasanya pihak yang bertanya menunggu terlalu lama.

Sejurus itu diselang pula dengan insiden yang sukar untuk Sara terima, namun pahit kelat bagaimana pun tidak dapat tidak Sara terpaksa telan juga. Itulah namanya lumrah. Tidak akan ada hamparan karpet merah untuk mereka yang bergelar da'ie. Kecewa, sedih itu menjadi rencah biasa. Pada waktu itu, Sara tiba-tiba sahaja disua dengan kalam Allah pada  ayat 140, Al-Imran yang mengungkapkan :

"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada' "

Allah.... biarlah selawat kepada nabi yang baru diijazahkan kepada Sara ini menjadi penenang! Ya, sangat tenang dengan berselawat! Walaupun ada air mata yang gugur masih menuntut untuk diseka beberapa kali tapi jauh di sudut hati, Sara masih lagi berharap agar Rasulullah sallahu alaihi wassalam sudi berkunjung sekali lagi dalam mimpi. Tidak dapat Sara tulis dengan kata-kata, dikunjungi nabi dalam mimpi adalah satu detik yang paling tersentuh! Mimpi yang akan menjadi pengubat dan pendamai jiwa yang resah.

Bercerita ini sebenarnya ingin mengajak pembaca renung sejenak. Semua orang berhak rindu kepada Rasulullah s.a.w. Terus dia juga layak untuk dikunjungi Insan Mulia itu. Banyakkan selawat maka hijab akan tersingkap. Berselawatlah dengan penuh rasa rindu dan cinta kepada nabi Muhammad sollallahualihi wasohbih wassalam. Sollu A'lanNabiy!


p/s: Maaf, agak lama Sara menyepi. Sangat sibuk untuk duduk berlama-lama di atas kerusi biru mencoretkan ceritera diri di ruangan ini. Moga Allah melindungi kita semua dengan rahmat kasih sayang-Nya dan moga-moga Allah redha dengan segala kerja buat kita selama kita melayari detik seorang hamba. Maafkan segala kekhilafan Sara. Sesungguhnya Sara juga manusia biasa. Selamat Hari Guru ! (^__^)


Sara Assyahidah
25 Jamadil Akhir 1433 H
17 Mei 2012 (Rabu)
1.00 pagi

Aku, Si Penutur

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad


Air  mata yang gugur,
biarlah terus gugur,
bukan bererti semangatku jua luntur,
namun sebagai isyarat aku hamba yang sedang diukur,
setakat mana tahap sabar dan syukur,
bahkan keyakinan ini bertambah subur,
inilah medan tarbiyah buat si penutur,
yang katanya mahu syahid saat lena kaku terbujur,
masih basah pekat darah waktu terkubur.

Moga terus kuat untuk terus akur,
menjadi insan yang mudah dilentur,
oleh Pencipta yang Maha Jujur.



Nukilan disunting dari facebook Sara Assyahidah,
 19 April 2012, 1.53 pagi, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan.




Sara Assyahidah
27 Jamadil Awwal 1433 H
19 April 2012 (Khamis)
2.20 pagi

Dia di mana ?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Allahurabbi, ketika ini Sara mencari-cari dia. Rindu pada dia. Dulu pernah juga dia datang dan bersama Sara. Kali ini, dia pergi dan masih tidak pulang lagi hingga sekarang. Apa yang sebenarnya terjadi pada dia ? Sara di sini terkejar-kejar ke sana ke mari. Minda yang Allah anugerahkan ini hampir tidak berhenti bekerja. Lebih dari 'overtime' ! Kadang-kadang terfikir juga, alhamdulillah otak ini bukan kelapa parut, makin diperah, makin tidak berharga kan? Allah, mudah-mudahan perahan otak untuk Islam itu mendapat nilai di sisi Allah. Dia yang Sara nantikan ini tidak rindukah untuk menjenguk Sara lagi ya ?  -____-

 Semakin sempit.
 Sempit hingga terhimpit. 
Kadang-kadang lidah pun boleh tergigit. 
Bukan maksudku alat penyepit.
Bukan jua nasi impit.

Tapi dia, masa lapangku yang sedang terlilit,
Dalam rahsia Allah yang Maha Sulit.


p/s : Tolonglah sia-siakan masa anda jika anda mahu menyesal macam Sara ? Hehe. Ingat, kita selalu baca suratul 'Asr. Tapi tak amal. Rugilah kan? 5 sebelum 5. Lapang sebelum sempit > ! <

Sara Assyahidah
26 Jamadil Awwal 1433 H
17 April 2012 (Selasa)
8.13malam

Bertemu Di Blog

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahualaihi wasohbihi wassalam. Subhanallah, bersyukur Sara kerana sementara umur yang masih bersisa ini, Allah telah menemukan Sara dengan rakan-rakan (bloggers) yang lain. Mujahidah-mujahidah (mujahidaat) solehah, Insya-Allah. Selama ini pun jika Sara bersama dengan mereka, hanya sekejap, tidak sempat pun untuk rindu terubat, mengintai sahaja dari kejauhan. Rupa-rupanya Allah beri kita ruang untuk ziarah di alam tanpa suara ini. Alhamdulillah. 

Salam ziarah dan salam ukhwah, Sara hulurkan buat rakan-rakan yang sudi berkunjung. Maka dengan itu, Sara rasa perlu untuk kita bertaaruf (berkenal-kenalan) buat yang belum mengenali.


Nama sebenar Norsara dan nama panggilan 'Sara'. Alhamdulillah, umur Sara sudah genap 21 tahun pada 18 Mac 2012 baru-baru ini. Tersangat 'faqir' dalam ilmu agama. Bercita-cita untuk syahid di pengakhiran riwayat hidup. Jadi 'Sara Assyahidah' ialah gabungan nama dan cita-cita. Mohon doa daripada sahabat-sahabat. Moga doa kalian tiada hijab. Aamiin.

Bertuah rasanya insan faqir ini dapat berkenal-kenalan dan menjalin persahabatan dengan mereka yang mendekatkan diri Sara dengan Pencipta. Disebabkan Sara bukanlah pelajar jurusan agama, setiap kalam dari sahabat-sahabat yang arif dalam bab ini amat bermakna bagi Sara. Subhanallah, amat bertuah dapat bersahabat dengan kalian.

p/s : Buat iqa, ida dan rakan-rakan (bloggers) yang lain, jangan pernah serik untuk tegur silap Sara dan sudilah berkongsi ilmu dengan Sara. Sara amat dahagakan semua itu. Terima kasih sahabat.  ^____^ 

Sara Assyahidah
11 Jamadil Awwal 1433 H
4 April 2012 (Selasa)
9.09 pagi

Sekadar 'Reminder' ?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Cukupkah mengingati tarikh-tarikh penting seseorang dengan hanya menyimpannya dalam 'reminder' ? Menjawab persoalan tersebut, mungkin cukup atau tidak itu terpulang kepada pendirian masing-masing. 

Bagi Sara, kalau seseorang itu tidak begitu rapat, tiada masalah. Tapi kalau rapat, agak 'touching' juga lah jika sekadar ingat melalui 'reminder'. Jika tersalah tarikh masih lagi dapat dimaafkan. Ya. Mungkin tersalah dapat maklumat. Tapi kalau sekadar 'reminder' ini memang menyedihkan. Setuju tak ?

Pada pengamatan Sara, kalau sekadar 'reminder' yang ingatkan ini, selalunya mereka yang tidak akrab dengan Sara, jadi tak mengapalah. Ya. Kita tidak boleh terlalu mengharap orang yang kita kenal boleh ingat satu persatu tentang kita. Lain orang , lain kelebihannya. Ada orang boleh ingat nombor tapi susah pula nak ingat nama. Ada orang senang ingat nama tapi susah nak cam muka. Ada yang senang nak ingat jalan tapi susah nak kenal orang. Dalam dunia ini, macam-macam ada. 

Apa-apa pun, kita perlu sentiasa ingatkan diri sendiri supaya bersyukur. Ya. Bersyukurlah kerana ada yang masih sanggup menyimpan tarikh penting kita dalam 'reminder' berbanding tak ingat langsung kan?  Alhamdulillah.

                                      "                                                        "
                                                                                                                                       

p/s : Tarikh lahir amat penting bagi seseorang perempuan. Sebab itu Sara sedaya upaya mengingati tarikh lahir insan-insan yang Sara sayang terutama Umi, adik-beradik Sara dan sahabat-sahabat yang sangat Sara sayangi. Insya-Allah Sara cuba untuk terus ingat tarikh lahir mereka tanpa bantuan alat yang bernama ' R. E. M. I. N. D. E. R '. 


Sara Assyahidah
5 Jamadil Awal 1433 H
27 Mac 2012 (Selasa)
8.27 Malam


Penang [ 2 ]

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Sambungan kepada Penang [ 1 ] . Kenangan di SK Mak Mandin masih hijau. Penangannya cukup hebat. Mendapat mandat untuk menjadi guru ganti bagi tahun 1 Bestari dan 3 Azam antara perkara yang ingin Sara 'highlight' dalam entri kali ini. Tahun 1B memang benar-benar menguji kesabaran Sara yang senipis kulit bawang ini. Ada 5, 6 orang murid yang sangat nakal. Ya Allah, benar-benar teruji dengan mereka. Agak kelam kabut juga lah sara nak menguruskan kelas itu. Tapi alhamdulillah selepas bermacam-macam perkara Sara buat untuk tarik perhatian mereka, akhirnya berhasil dengan main teka-teka gambar. Sara lukis di papan hitam, mereka teka. Alhamdulillah ada juga bakat melukis. Sara lukis bakul, mereka teka kotak. Memang 'berbakat' sangat agaknya sampai murid-murid tak dapat teka apa yang Sara lukis. Hehe.

Kelas 3 Azam pula terbaik. Mula-mula Sara masuk kelas, Sara buat muka serius. Mereka senyap. Gaya Sara waktu itu persis guru disiplin. Sara tanya "Sebelum cikgu masuk, ada siapa-siapa yang keluar dari kelas tak? Yang keluar tadi, tolong bangun! " Mereka semua takut. Geli hati Sara melihat gelagat mereka. Selepas Sara tanya seoarang demi seorang, Sara pesan, "Lain kali, kalau cikgu tak masuk, jangan keluar kelas melainkan 2 perkara, pertama, pergi tandas, kedua, keluar untuk cari cikgu yang mengajar." Mereka mengangguk tanda faham. Tapi selepas Sara kata, "Hari ini kita main 'game', boleh?". Mereka terus bersorak. Pergh boleh tahan juga lah mereka menukar perwatakan dalam sekelip mata. Kami main permainan 'Kami Kata'. Tanpa disedari 1 jam sudah berlalu. Masa dah tamat. 

"Ustazah, nanti esok, ustazah masuk la kelas kami na". Ustazah? Terkedu. Sara hanya mampu tersenyum. 

Esoknya, pagi-pagi lagi mereka mengekori Sara dari belakang sebaik sahaja Sara keluar dari kereta menuju ke bilik guru. 

"Assalamualaikum ustazah."

"Waalaikumussalam warahmatullah. Ada apa ni senyum-senyum ni? Hmm?"

"Ustazah, kalau ada cikgu tak mai hari ni, ustazah ganti no. Ustazah jangan lupo masuk kelas kami. Kami tunggu ustazah." 

"Insya-Allah." Sara senyum sahaja. 

Tiba-tiba Sara tak masuk pun kelas meraka hari itu. Penolong Kanan Pentadbiran tidak memberi arahan untuk ganti mana-mana kelas. Jadi, Sara sebaiknya mengikut arahan. Pada waktu tengah hari terserempak dengan Ija dan Siti (murid 3A). 

"Ustazah....Ustazah tipu kami. Ustazah habaq nak mai kelas kami. Ustazah tak mai pun. Ustazah..." Ija bersuara dengan nada kecewa.

"Maafkan cikgu. Hari ini, cikgu tak boleh ganti mana-mana kelas. Sebab tu cikgu tak masuk kelas ampo"

"Ustazah, ustazah masukla. Kami suko belajaq dengan ustazah. Ustazah mengajaq bez! "

"Amboi, bila pulak cikgu mengajaq. Kita main je ka? Ampo ni kalau maen, suko no." Sara bernada jenaka.

Tiba-tiba Ija dan Siti tersengih-sengih seperti kerang busuk sambil mengangguk perlahan-lahan. 

"Ustazah, esok, ustazah janji dengan kami no. Ustazah kene masuk kelas kami"

"Ya lah. Esok kalau ada mana-mana cikgu yang tak masuk, panggil cikgu kat bilik guru. Boleh?"

"Ok ustazah!" Mereka terus berlari. 

Esoknya, hari Jumaat (hari terakhir Sara di sana). Hari itu kelas mereka penuh. Semua cikgu masuk. Dek kerana tidak mahu menghancurkan harapan mereka, Sara minta izin dengan guru yang mengajar 3A pada waktu itu untuk membenarkan Sara bersama mereka pada 10 minit terakhir sebelum pulang. {Apa yang Sara nak kita sama-sama ingat, kalau seseorang kanak-kanak itu berharap sesuatu yang munasabah daripada kita, cubalah penuhi permintaan itu kerana harapan kanak-kanak itu merupakan suatu perkara yang besar maknanya bagi mereka.}

"Hari ini hari terakhir cikgu di sini."

"Cikgu, pasai pa cikgu nak pi? Duduklah dengan kami cikgu. Cikgu...."

"Ala. Tu la cikgu pun kalau boleh tak mau pi. Tak ape, nanti kalau ada waktu lapang, kita berhubung ok? "

"Cikgu..Cikgu..kami nak nombor telefon?"

Sara menulis nombor telefon di papan hitam. Tanisya, seorang murid berbangsa India menyerbu Sara. 

"Cikgu, ni hadiah untuk cikgu!"

"Wah, Tanisya. Cantiknya. Terima kasih Tanisya."

"Cantikka, cikgu?"

"Cantik." Sara tersenyum tepat kepadanya.

Lalu kami bergambar untuk dijadikan kenang-kenangan. Tanisya,  terima kasih untuk hadiah bintang tu.  :-)







Petangnya itu, Sara dihubungi oleh dua orang daripada mereka, Ija dan Tanisya.

Malamnya pula, ketika berada di dalam bas semasa perjalanan pulang ke Kelantan. Nenek Tanisya pula menghubungi Sara. Tergamam seketika. Kenapa ya?

Nenek Tanisya : Ini cikgu Tanisya ka?

Sara : Ya. Ya saya.

Nenek Tanisya : Saya nenek Tanisya. Saya mahu cakap sama cikgu la. Tanisya habaq sama saya, dia sayang sama cikgu. Dia menangis ni, rindu sama cikgu. Dia kata cikgu baik sama dia. Dia nak pi Kelantan jumpo cikgu. Sebab itu Saya nak cakap dengan cikgu. Saya mahu kenal sama cikgu la.

Sara tergamam lagi. Lalu perbualan kami berlanjutan sehingga lebih kurang 10 minit. Selepas itu, Tanisya pula yang mahu bercakap walaupun teresak-esak. Katanya "Cikgu, I LOVE YOU!"

Allah. Cikgu pun sayang Tanisya juga. (T__T)

p/s : Seronok jadi cikgu. Rugilah siapa yang tak jadi cikgu kan ? Hehe. 



Sara Assyahidah
4 Jamadil Awal 1433 H
27 Mac 2012 (Selasa)
6.56 Petang


Penang [ 1 ]

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Hari Jumaat, 23 Mac 2012, hari terakhir Sara di SK Mak Mandin, Mak Mandin, 13400 Butterworth, Pulau Pinang. Maka ini bermakna hari terakhir juga Sara di Penang. Allahuakbar, mengutip makna hidup di sekolah kecil ini antara kenangan yang terindah bagi Sara. Namun bukan sebarang kecil, kecilnya itu ada keberkahan sehingga terasa ke jantung yang berdegup ini. Ya. Segalanya Sara rasa begitu sempurna. Landskapnya cukup indah. Sekolahnya cukup bersih. Sesuatu kelainan bagi Sara atas peluang yang Allah aturkan ini, Sara belajar erti cinta kepada kanak-kanak istimewa. Di mata mereka, Sara lihat ada suara yang merayu kepada kami, 

"Tolong kami cikgu. Kami tahu kami tidaklah sesempurna anak-anak yang lain, namun cikgu tolong bantu kami sama seperti cikgu tolong mereka. Tolong cikgu, bantulah kami. "

Zuhairi dan Amir tengah 'warm up' sebelum kami PJ
Partiban dan Eric . Partiban mengalami masalah autisme yang serius dan Eric pula mengalami masalah pembelajaran. Bagaimanapun keadaan kamu, cikgu sayang kamu.  
Beratur sebelum makan

 Baca doa sebelum makan. Hehe Eric pun baca doa juga. Mohon Allah bagi hidayah kepada Eric . Amin.

Menemani mereka makan. Sedapnya tapi tak pelawa cikgu pun. :(

Chung Hua cuci gelas selepas makan dan minum. Very good girl ! Chung Hua menangis saat kami berpisah. Dia meghulur-hulurkan tangannya supaya Sara tidak meninggalkan bilik Pendidikan Khas itu. Terlalu ikhlas kasih sayang mereka.

Ai Xin juga mengalami masalah autisme (iaitu berada dalam dunianya sendiri) tapi tidak serius. Dia memandang Sara saat terakhir kali kami jumpa dengan pandangan yang sangat sebak untuk Sara ingat. Dia memandang Sara hingga Sara hilang dari pandangannya. Dia melambai-lambai tangannya. Allah, mata Sara sudah mula berkaca. 


p/s : Mereka juga seperti kita. Tiada lebihnya kita dari mereka. Dekatilah mereka dengan kasih sayang, insya-Allah pasti kalian juga merasai kasih sayang mereka. Sara rindu untuk bersama mereka lagi.



Sara Assyahidah
1 Jamadil Awwal 1433 H
24 Mac 2012 (Sabtu)
6.27 Pagi


Sanah Helwah Umi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Pada tanggal 5 Mac 1966 seorang anak perempuan yang bernama Che Zalehawati binti Abdul Rahman telah selamat dilahirkan dari rahim seorang ibu yang amat penyayang. Anak perempuan itu sangat comel dan setelah dia dewasa, dia sangat cantik. Hari ini, tarikh 5 Mac muncul lagi. Hari ini, hari ulang tahun kelahiran dia. Sara sayang 'dia' sangat-sangat. Kalau Sara ada masalah, Sara banyak berkongsi dengan 'dia'. Sara minta pendapatnya. Dia sangat 'sporting' dan amat disayangi anak-anak. Apabila Sara di rumah, Sara luangkan hampir sepenuh masa bersamanya. Kalau dia tidak ada di rumah, pasti Sara rasa sunyi dan janggal sekali. Sara betul-betul merinduinya. Rindu untuk mengurut lenguhnya. Rindu untuk memasak untuknya. Rindu segala-galanya apa adanya dia. Dialah sahabat baik dan pengkritik terhebat Sara setakat ini. Hehe. Umi, sanah helwah. Angah sayang umi kerana Allah. Moga Allah meredhai umi di dunia dan di akhirat. 




 p/s: Doakan ibu sara bahagia di dunia dan di akhirat. Aamiin. Dan sudikanlah rakan-rakan pembaca menyedekahkan al-fatihah kepada nenek Sara iaitu ibu kepada ibu Sara yang telah pulang ke rahmatullah. Sara amat merindui arwah. (T________T). Al-Fatihah...


Sara Assyahidah
13 Rabi'ul Thani/ Rabi'ul Akhir 1433 H
5 Mac 2012 (Isnin)
10.40 Malam

Mengapa Mereka Belum Islam?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Subhanallah berada dalam Islam ini, perasaan cukup tenang. Apabila hati senang dan gembira, ada Allah tempat bersyukur. Apabila ada masalah dan perasaan sedih menyeksa jiwa, ada Allah tempat mengadu. Sungguh lapang rasanya berada dalam lindungan Allah. Bertauhidkan Allah membuatkan saat suka dan duka menjadi manis. Semuanya manis dikala hati ini penuh dengan cinta Sang Pencipta. 

Sebab itu, Sara rasa cukup sedih apabila melihat orang-orang yang rapat dengan Sara itu tidak bertauhidkan Allah. Mereka baik, kadang-kala mereka lebih baik daripada orang Muslim itu sendiri. Budi bahasanya, bicara dan tutur katanya sangat sopan. Mereka sangat baik. Allah, Sara tidak sanggup melihat insan-insan ini menjadi kayu api dalam neraka buat selama-lamanya hanya kerana mereka bukan Islam. 


Persoalannya, bukan hanya kerana mereka tidak bertuhankan Allah tapi kerana mereka menafikan Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam. Ingin sekali Sara mengajak mereka kenal Allah. Allah itu bagaimana? Allah itu di mana? Allah ? Siapa Allah ? Siapa? 



Sungguh, jika mereka dapat merasakan apa yang orang Mukmin itu rasa apabila hati penuh dengan cinta-Nya, saat itu mereka lebih hebat belajar mengenal Allah daripada orang Islam yang biasa. Jika pembaca yang membaca ini belum Islam, Sara tidak sekali-kali memaksa kalian untuk memeluk Islam. Dan Sara tidak suka melabelkan orang yang tidak beragama Islam itu, bukan Islam tetapi Sara lebih senang jika Sara memanggil mereka, belum Islam. Islam ini bukan agama paksaan untuk mereka yang belum Islam. Jika pembaca rasakan Islam itu tidak benar dan merasakan Allah itu seperti tuhan-tuhan lain, Sara benar-benar dengan rendah hati mengajak pembaca mendalami tentang Allah. Insya-Allah, mungkin dengan cara itu hati pembaca lebih terbuka untuk tahu Islam itu benar atau sebaliknya dan Allah itu wujud atau sebaliknya. Sara tegaskan sekali lagi, Sara tidak memaksa untuk pembaca yang belum Islam memeluk Islam tapi Sara amat berharap agar pembaca-pembaca dapat sama-sama merasai kemanisan Cinta Tuhan yang Satu. 
  


p/s : Jika pembaca memeluk Islam, bukan bermaksud pembaca menjadi melayu atau memeluk melayu. Islam dan Melayu itu satu perkara yang berbeza. Melayu hanyalah bangsa yang mungkin akan hilang suatu hari nanti. Tapi Islam adalah agama iaitu pegangan hidup yang Allah janji untuk memeliharanya hingga kiamat. Oleh itu, kenalilah diri kita, nescaya kita kenal Allah. Belajar kenal Allah nescaya kita kenal Islam. (^________________^)



Sara Assyahidah
7 Rabi'ul Thani/ Rabi'ul Akhir 1433 H
29 Februari 2012 (Rabu)
9.41 Malam

Bosnia

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Sebenarnya Sara suka sangat melancong terutama melancong ke tempat orang. Tempat yang Sara nak tuju sangat-sangat [selepas ke Baitullah (Mekah)], Sara nak ke Bosnia. 
 



Capljina Photos



p/s : Doakan Sara dapat pergi ya kawan-kawan. Allah, Sara berharap sangat dapat pergi ke sana. Allahumma aamiiin. (^_~)


Sara Assyahidah
27 Februari 2012 (Isnin)
10.51 Malam

Setahun Ditarbiyah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Alhamdulillah rupa-rupanya setahun sudah berlalu. Hidup dalam genggaman amanah ini rasanya terlalu sukar. Bukan sukar untuk buat kerja, tapi sukar untuk berada terlalu tinggi. Orang yang duduknya terlalu tinggi, kalau jatuh, pasti dia lebih sakit daripada orang yang berada di bawah. Sara teringat pesan senior semasa bertugas sebagai pengawas sekolah di SMKA Naim Libanat, "Bukan senang nak jadi pemimpin. Pemimpin, sebelah kakinya di neraka dan sebelah lagi di Syurga". Jika salah memimpin, kaki yang di sebelah neraka itulah yang akan memainkan peranannya. Jika betul pimpinannya, maka alhamdulillah selamat. Pepatah arab mengatakan, 'Ketua sesuatu kaum adalah orang suruhan mereka'. Para sahabat masing-masing menolak untuk mengisi jawatan khalifah sebaik sahaja wafatnya Rasulallah sollallahu alaihi wasohbihi wassalam. Mereka yang begitu rapat dengan nabi masih merasakan mereka tidak layak untuk memimpin orang Islam dan empayar Islam yang begitu luas pada waktu itu. Terbalik pula keadaannya dengan zaman sekarang, semua orang berpusu-pusu kononnya nak jadi pemimpin. Padahal, hidup dalam kemewahan yang dikejar mereka. Mereka bukanlah pemimpin tapi pendusta besar yang ada pada era ini. Amanah ini bukan perkara main-main. Perkara yang kita buat di sini dan wajib di'jawab' di sana. 

Lega ya Allah, setahun itu sudah berlalu. Namun cukup indah pengalaman setahun itu. Dalam tempoh tersebut, Sara dapat merasakan gelombang tarbiyah. Terima kasih buat Saudara Muhammad Fahmi selaku Pengerusi yang kata-katanya banyak menyedarkan Sara. Taujihadnya rasa begitu sampai ke hati yang gersang ini. Terima kasih kerana sudi menerima insan yang dhoif ini sebagai timbalan. Walaupun tahu diri ini tidak layak, tapi Sara rasa bersyukur kerana Allah gerakkan hati-hati mereka untuk memilih Sara. Alhamdulillah wa syukurilah, berkat kesungguhan tarbiyah ini, Sara menemukan cahaya yang selama hampir 21 tahun Sara cari. Allah.... sebelum ini Sara tahu cinta Ilahi, cinta nabi tapi sayang, Sara tak pernah rasa pun. Tahu tapi tak rasa. Sekarang apabila Allah bagi rasa ini, syukur tidak terhingga. Allah. Allah. Allah. Alhamdulillah, sekarang, Sara kenal apa itu cinta hakiki dan cinta abadi. Cinta Allah dan cinta Rasulallah solallahu alaihi wasohbihi wassalam. Sehingga lapar pun tidak terasa, dahaga pun tidak haus. Allah. Pernah satu ketika, semasa Sara demam baru-baru ini Sara tak rasa apa-apa semasa makan, pada waktu itu juga, Sara berdoa, "Ya Allah jika selama ini, nikmat rasa sedapnya makan ini mengganggu nikmat aku untuk bercinta dengan-Mu dan Kekasih-Mu maka Kau tariklah nikmat rasa pada lidah ini." Alhamdulillah Allah makbulkan doa itu walaupun demam sudah pulih. Itu yang Sara maksud dengan kata-kata tadi, lapar pun tidak terasa, dahaga pun tidak haus. Terima kasih juga buat Saudara Fauzan kerana banyak sangat membantu, memahamkan dan mengajar Sara dalam banyak hal yang Sara tak tahu. Terima Kasih kepada Saudari Izzati (Kak Ti) sebab banyak bersama Sara meniti suka dan duka dalam perjuangan setahun ini. Dan terima kasih buat seluruh ahli Biro Agama Afzan. Pengalaman berkerja bersama kalian amat bernilai dalam hidup ini. 





p/s: Maafkan Sara atas segala kelemahan dan ketidakupayaan dalam menjalankan amanah yang diberikan.  Insya-Allah sudilah maafkan Sara.




Sara Assyahidah
26 Februari 2012 (Ahad)
10.27 pagi



Mahu Menulis, Lagi Dan Lagi

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad Alhamdulillah, untuk masa yang akan datang ini, insya-Allah ruang masa Sara untuk menulis sudah kembali seperti sediakala. Insya-Allah nak menulis dan terus menulis sebab banyak perkara yang terpendam ingin Sara coretkan di sini. 



p/s : Teringat pesan A.Samad Said "Membaca, membaca, dan membaca kemudian menulislah". Konklusinya, orang yang nak menulis, kena banyak membaca. Hehe masalahnya, banyak sangatkah yang Sara dah baca ?  (^_~)

Sara Assyahidah
24 Februari 2012 (Jumaat)
1.51 pagi

Sakit Itu Penawar

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad Alhamdulillah dengan berkat ruang dan masa yang Allah taala beri pada tengahhari ni, Sara berpeluang untuk menulis lagi. Keadaan cuaca di Malaysia ni telah menyebabkan ramai yang demam. Alhamdulillah Sara tak terkecuali. Sebaik sahaja pulang dari Kuala Lumpur hujung minggu lepas, demam makin menjadi-jadi. Setiap kali sakit, mesti terfikir, aku ni tak lama dah nak menghadap Ilahi. Teringat pada kata-kata seorang hamba Allah, kita ni kalau sakit, bibir tu tak lekang menyebut nama Allah. Nak duduk, (Allah). Nak tidur, (Allah). Nak bangun, (Allah). Kalau sihat, susah sekali nak sebut Allah. Itulah kita, saat sakit adalah saat rapatnya kita dengan Allah. Jadi bersyukurlah jika kita ditimpa sakit. Jangan mengeluh. Allah begitu rindu dan sayang kepada kita sehingga dia beri kita sakit untuk bersihkan dosa kita. 

 "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri"
 (Surah Al An'am, ayat 42)

"Tidak ada satu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan duka cita mahupun penyakit, bahkan sebatang duri yang menusuk anggota tubuhnya sekalipun melainkan akan dihapuskan Allah sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya dengan yang demikian itu." 
 (Hadis Muttafaqun Alaih)



p/s : Oleh itu, jika kita melawat orang sakit, jangan lupa minta dia doakan untuk kita. Orang yang kurang dosa, insya-Allah doanya cepat dimakbulkan.

Sara Assyahidah 
18 Februari 2012 (Sabtu)
12.40 tengah hari


Kembali Bersua

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Agak lama Sara meninggalkan blog ini tanpa coretan. Alhamdullillah Allah masih memberi nafas. Sebaik sahaja pulang dari sana, semacam dah tiada mood untuk menaip. Sara sebenarnya nak berkongsi pengalaman sepanjang Sara berada di Kedah baru-baru ini. Pengalaman ditarbiyah dan mentarbiyah. Berada di tanah perkuburan pada waktu malam. Mendaki Gunung Jerai. Ditendang dan diterajang oleh peserta yang histeria. Semua itu pengalaman bermakna yang Sara rasa perlu dikongsi. Tapi belum ada kesempatan lagi untuk menulis. Tengok dulu keadaannya. Tunggu dan lihat. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak sebab ada yang tak jemu-jemu berkunjung ke sini walaupun tiada apa pun yang berubah.


p/s : Kepada yang bakal atau yang sedang exam, online tu online juga tapi buku-buku yang perlu dihabiskan tu nampaknya masih lagi tersengih-sengih menunggu tuannya menghabiskan bacaan. Hehe. Jadi jangan malu-malu ya untuk membaca dan memahaminya. Bittaufiq wannajah!


Sara Assyahidah
26 Disember 2011 (Isnin)
9.38 pagi


Wasiat Sayonara

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Insya-Allah malam ini, Sara akan berangkat ke tempat jauh. Jauh. Ingin menabur bakti di bumi orang. Menarik tangan-tangan yang lemas supaya boleh berenang bersama menuju destinasi abadi. Supaya jika Sara pula yang kelemasan, ada yang sudi membantu, menarik diri ini dari tengggalam ke dasar lautan yang kelam. Semoga syahid di sana, insya-Allah. Bersemadi tanpa mandian terakhir. Jika Sara tidak menulis lagi, mungkin pembaca boleh mengirim doa tanda ingatan. Terima kasih semua atas segalanya. Sesungguhnya orang yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah. Sebelum berangkat, Sara juga ingin memohon maaf. Mohon maaf sangat-sangat. Sara tahu Sara banyak melakukan kekhilafan dengan keluarga tercinta, sahabat-sahabat, rakan-rakan, jiran, saudara-mara dan sesiapa sahaja yang pernah kenal dengan insan ini. Sudilah maafkan Sara. :-'(


Lambaian Sayonara -___-
 
p/s: Pembaca, doakan keselamatan saudara seislam kita di Mesir. Mereka sedang berjuang menjatuhkan pemerintahan tirani. Jua sama-sama kita doakan keselamatan rakyat Malaysia di sana. Insya-Allah, moga pilihan raya di sana berjalan lancar tanpa menggangu gugat pendidikan musafir yang menuntut di bumi Mesir. Insya-Allah selamat!



Sara Assyahidah
23 November 2011 (Rabu)
7.59 malam


Jumpa Sizuka

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Apakah rancangan kartun yang paling pembaca minat semasa kecil dulu? Dragonball? Doraemon? Cardcaptor Sakura? Naruto? atau lain-lain..

Kalau anda minat Doraemon, maknanya kita sama. Hari Ahad lepas, semasa dalam perjalanan pulang ke Kelantan, Sara jumpa Sizuka! Ala Sizuka dalam cerita kartun Doraemon tu. Ramai yang cakap tak sama. Tapi bagi Sara, dialah Sizuka! Sama. 

Sizuka Minamoto dalam cerita Doraemon
Ini Shuhada, Sizuka yang Sara maksudkan.

Sama tak agak-agak? Sara tanya siapa nama dia. Dia dengan mesra menjawab namanya Shuhada. Nama pun nak hampir dengan Sizuka. Tapi apa-apa pun, adik Shuhada lagi comel dan nama Shuhada jauh lebih baik maknanya.


p/s: Semoga kita jumpa lagi ya Sizuka, eh silap silap, Shuhada. Hehe ^___^

Sara Assyahidah
22 November 2011 (Selasa)
11.40 malam


Program Anak Bijak Solat Bersama Imam Muda Hizbur

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Sudah lama Sara tidak bertanya khabar dengan pembaca. Sihat? Insya-Allah sihat-sihat belaka. Ingat 5 sebelum 5. Gunakan nikmat sihat kita untuk Islam, insya-Allah. :-)

Entri lepas, tentang Kem Smart Solat. Entri ini tentang program yang lebih kurang sama, tapi berbeza tempat dan sambutan.  Seawal pukul 8 pagi kami bertolak dari Kuala Lipis ke Jerantut menaiki kereta. Walaupun sudah agak biasa melalui jalan ke Jerantut, tapi setiap kali melaluinya, mesti akan rasa mual. Sara agak pening sebab jalan tu memang tragis (tutup kelemahan dengan menyalahkan jalan) seperti ular kena palu. (Karangan bahasa Melayu UPSR 2003)

Alhamdulillah, setelah berjuang bermati-matian dengan jalan itu, Sara dan sembilan orang fasilitator  yang terdiri daripada 5 orang muslimin dan 5 orang muslimat tiba juga di perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (tempat berlangsungnya program).

Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut

Urusetia menguruskan pendaftaran adik-adik

Semangat adik-adik kita ni ^__^


Sementara adik-adik diberi taklimat, Sara bersama fasilitator yang lain merancang aktiviti untuk adik-adik berdasarkan atur cara program yang diberikan oleh pihak penganjur. 

Merangka aktiviti

Seterusnya pembahagian kumpulan dilakukan. Maka seperti kebiasaannya, kes buli akan bermula. Adik-adik yang diletakkan dibawah pengawasan Kak Sara, sila bersiap sedia untuk dibuli. Hehe. Kali ini, Sara memperkenalkan diri bukanlah sebagai cikgu tapi sebagai kakak. 

Inilah adik-adik yang bertuah ^__^

Pertama, adik-adik didedahkan dengan amali wudhuk. Seterusnya amali solat. Sebenarnya mereka sudah pandai mengambil wudhuk dengan baik. Jika ada yang terlupa lafaz niat dalam bahasa arab semasa mengambil wudhuk dan doa selesai wudhuk itu perkara biasa. Adik-adik masih dalam proses belajar. Tapi adik-adik ni memang bijak, Sara ajar sekali sahaja, mereka sudah boleh ingat. Begitu juga ketika amali solat, semuanya boleh melakukannya dengan baik. Kalau ada kesalahan pun, sikit sangat. Sara betulkan, adik-adik terus boleh ikut. Malu kepada adik-adik, adik-adik lebih hebat daripada akak. 

Amali solat

Selesai amali solat, adik-adik bersama Imam Muda Hizbur untuk sesi motivasi solat di dewan masjid.

Semangat adik kita membaca surah al-fatihah. Tahniah dik! Bangga mempunyai seorang mujahidah celik seperti ini. Berani.

Selepas solat zohor dan makan tengah hari, aktiviti seterusnya bermula. Kami diminta membimbing adik-adik ini untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat supaya lancar. Seperti biasa, bacaan tahyat akhir dan qunut perlu ditekankan. Selesai menghafal, adik-adik diminta berkumpul.

Adik-adik lelaki berkumpul


Adik-adik perempuan lagi bersemangat! Biasalah, perempuan memang sentiasa bersemangat. Hehe


Semua kumpulan bersedia dan tidak sabar untuk menang dalam Explorace Bacaan Solat. Tanpa membuang detik, Explorace bermula ! Semua berkejar-kejar untuk menang. Sampai ada yang jatuh, luka-luka dan sakit perut. Jika ada yang luka dan sakit, kamilah doktor. Membersihkan luka. Sapu minyak angin. Keselamatan adik-adik penting sementara mereka dibawah pengawasan kami.

Masih sempat 'posing' adik-adik kita ni. Hehe nakal tapi bacaan solat mantap!
Selesai Explorace, adik-adik berkumpul di dewan untuk sesi majlis penutup. Adik-adik diminta untuk memberikan pendapat dan menceritakan apa yang telah mereka dapat sepanjang hari itu. Adik-adik lelaki berani. Tapi adik-adik perempuan malu-malu pula (itu perkara normal, orang perempuan kan pemalu). 

Seterusnya, kami bersalam-salaman sebelum pulang. Semasa bersalaman dengan adik-adik perempuan, Sara merapati mereka. Peluk erat-erat dan bisikkan pada mereka supaya jangan tinggal solat dan akak sayang adik! Rasa nak menitis air mata masa itu. Ada adik-adik yang teresak-esak. Adik-adik, adik-adiklah pejuang Islam yang kami harapkan.

p/s : Adik-adik ini cekal hati untuk belajar memperbaiki solat ke arah yang lebih sempurna solatnya. Tolong doakan mereka agar mereka teguh di jalan ini. Insya-Allah. Amin.

Sara Assyahidah
22 November 2011 (Selasa)
9.04 pagi