Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
♥ Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Subhanallah berada dalam Islam ini, perasaan cukup tenang. Apabila hati senang dan gembira, ada Allah tempat bersyukur. Apabila ada masalah dan perasaan sedih menyeksa jiwa, ada Allah tempat mengadu. Sungguh lapang rasanya berada dalam lindungan Allah. Bertauhidkan Allah membuatkan saat suka dan duka menjadi manis. Semuanya manis dikala hati ini penuh dengan cinta Sang Pencipta.
Sebab itu, Sara rasa cukup sedih apabila melihat orang-orang yang rapat dengan Sara itu tidak bertauhidkan Allah. Mereka baik, kadang-kala mereka lebih baik daripada orang Muslim itu sendiri. Budi bahasanya, bicara dan tutur katanya sangat sopan. Mereka sangat baik. Allah, Sara tidak sanggup melihat insan-insan ini menjadi kayu api dalam neraka buat selama-lamanya hanya kerana mereka bukan Islam.
Persoalannya, bukan hanya kerana mereka tidak bertuhankan Allah tapi kerana mereka menafikan Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam. Ingin sekali Sara mengajak mereka kenal Allah. Allah itu bagaimana? Allah itu di mana? Allah ? Siapa Allah ? Siapa?
Sungguh, jika mereka dapat merasakan apa yang orang Mukmin itu rasa apabila hati penuh dengan cinta-Nya, saat itu mereka lebih hebat belajar mengenal Allah daripada orang Islam yang biasa. Jika pembaca yang membaca ini belum Islam, Sara tidak sekali-kali memaksa kalian untuk memeluk Islam. Dan Sara tidak suka melabelkan orang yang tidak beragama Islam itu, bukan Islam tetapi Sara lebih senang jika Sara memanggil mereka, belum Islam. Islam ini bukan agama paksaan untuk mereka yang belum Islam. Jika pembaca rasakan Islam itu tidak benar dan merasakan Allah itu seperti tuhan-tuhan lain, Sara benar-benar dengan rendah hati mengajak pembaca mendalami tentang Allah. Insya-Allah, mungkin dengan cara itu hati pembaca lebih terbuka untuk tahu Islam itu benar atau sebaliknya dan Allah itu wujud atau sebaliknya. Sara tegaskan sekali lagi, Sara tidak memaksa untuk pembaca yang belum Islam memeluk Islam tapi Sara amat berharap agar pembaca-pembaca dapat sama-sama merasai kemanisan Cinta Tuhan yang Satu.
p/s : Jika pembaca memeluk Islam, bukan bermaksud pembaca menjadi melayu atau memeluk melayu. Islam dan Melayu itu satu perkara yang berbeza. Melayu hanyalah bangsa yang mungkin akan hilang suatu hari nanti. Tapi Islam adalah agama iaitu pegangan hidup yang Allah janji untuk memeliharanya hingga kiamat. Oleh itu, kenalilah diri kita, nescaya kita kenal Allah. Belajar kenal Allah nescaya kita kenal Islam. (^________________^)
Sara Assyahidah
7 Rabi'ul Thani/ Rabi'ul Akhir 1433 H
29 Februari 2012 (Rabu)
9.41 Malam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan