Tik Tok Tik Tok

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, dapat juga menulis setelah dua minggu semester ini membuka tirai. Masa agak terbatas untuk meluangkan masa berkongsi sedikit sebanyak cerita bersama kalian. Hampir setiap pagi selepas solat subuh di surau, bermulalah mesyuarat di surau kampus. Tambahan pula, banyak program yang perlu digerakkan untuk semester ini. Sekarang, sedang menunggu Pengarah Kampus untuk meluluskan kertas kerja setelah bertungkus-lumus selama dua minggu untuk menyiapkannya. Ternyata, kesibukan ini telah menjadikan Sara lebih kenal erti masa. Kadang-kadang sebaik sahaja bangkit dari tidur, hati terdetik "ya Allah, bestnya kalau dapat sambung tidur lagi.." Sambil mata masih lagi tertutup dan tangan mencapai handphone di sebelah bantal melihat sudah pukul berapa. (dengan harapan, kalau-kalau masih awal, boleh sambung tidur hehehe)

Namun, amat besar anugerah Allah apabila Dia menyempitkan masa kita. Sebenarnya dengan masa, banyak mengubah manusia. Adakalanya, masa boleh mengubah seseorang yang dulunya A'lim menjadi jahil dan yang dahulunya jahil menjadi A'lim. Masa juga boleh menjadi asbab kepada manusia sama ada dia melangkah ke syurga atau neraka.  

"Masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu"

Manusia ini jika Allah melapangkan masa mereka, mulalah mereka berkata "Ala, bosanla..." Namun sedarkah kita, dengan ucapan kita itu boleh merosakkan akidah. Perkatan bored, bosan sepatutnya tidak boleh ada dalam kamus hidup kita inikan pula percakapan seharian kita. Hal ini demikian kerana Allah telah meletakkan tugas di bahu setiap kita sebagai khalifah melebihi masa yang kita ada. Jadi, mengapa kita kata boring? bosan? Sedangkan tugas itu melebihi masa 24 jam kita? Pelik kan. Tetapi yang pelik ini selalu sahaja kita lakukan samada sedar atau pun tidak. Oleh itu, kalau kita rasa kita dah tidak ada apa-apa kerja yang boleh dilakukan, berzikir dan sentiasalah mengingati Allah kerana hati yang 'gersang' dan 'kering' dari zikrullah menyebabkan syaitan begitu mudah berbisik pada hati kita supaya kita terus lalai dengan masa lapang yang kita ada.


Awasilah masa kita. Jangan bazirkan! Ingat, kerana pembaziran itu, banyak hal duniawi yang terpaksa kita kejar! Analogi yang boleh sara bagi, kita ada rumah, di rumah ada air dan elektrik. Kita bazirkan air dan elektrik tersebut. Disebabkan itu, bil air dan bil elektrik rumah kita meningkat. Jadi banyaklah yang kita kena bayar. Disebabkan banyak duit yang kita sudah gunakan untuk bil-bil tersebut, kita berkejar-kejar, bekerja pagi dan malam untuk 'cover' makan minum kita pula. Begitulah, masa. Kita dah bazirkan. Jadi, kita akan cari masa-masa lain untuk 'top up' kerja-kerja kita, sehingga terabai ibadah kita pada Allah. Solat pun di rumah/bilik sahaja, bukan lagi di masjid (khusus bagi lelaki). Solat di akhir waktu. Al-Quran pun dah tak baca. Qiamulail pun dah tak hidup. Perkara ini biasa berlaku kepada pelajar semasa assignment tengah berlambak!

Khas buat bakal-bakal suami orang di luar sana: Tunaikanlah solat fardhumu di masjid atau di rumah-rumah Allah kerana wajib ke atas kamu menunaikan solat Fardhu di masjid apabila kamu mendengar laungan azan. Paling mudah, solatlah di tempat azan dilaungkan. Oleh itu, jika kamu solat Fardhu sekadar di rumah atau di bilik, bimbang solatmu tidak dinilai Allah. Kan bakal jadi suami orang? Nak jadi suami, bukan mudah. Segala dosa isteri terletak di bahu suami. Jadi, kepada para bakal suami, andai dari pelaksanaan solat kalian sudah pun goyah, bagaimana kalian mahu membimbing kami untuk ke Syurga Allah kelak? Tolonglah, kami nak masuk syurga. So, persiapkan diri kalian betul-betul ya.

p/s : Jaga Masa dan percakapan kita dan sentiasa manfaatkan masa yang terluang. Jangan jadi macam Sara, tengah sibuk-sibuk macam ini, baru nak hargai masa lapang yang pernah sara ada dulu.

Sara Assyahidah
2 Julai 2011


Tiada ulasan:

Catat Ulasan