Rindu

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt




Kaifa halukum? Ana bil kher walhamdulillah. Harap semua pun begitu.

Hmm kelmarin Sara diajukan oleh seorang teman tentang rindu. Beliau menanyakan pendapat Sara tentang rindu kepada seseorang yang boleh dikahwini. Katanya, sahabatnya pernah bertanyakan hal ini dan dia telah memberi penjelasan. Teman Sara ni, ilmunya lebih tinggi daripada Sara. Sejujurnya Sara bukanlah insan yang layak memberi pandangan kerana ilmu tidak seberapa. Sara hanya seorang guru biasa yang mungkin akan mengajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kajian Tempatan atau Kemahiran Hidup sesuai dengan bidang Sara.


Namun Sara sedar, setiap mukmin itu mempunyai tanggungjawab kepada mukmin yang lain. Atas tanggungjawab itu, Sara berkongsi ilmu ini dengannya. Dan tidak lupa, dengan pembaca juga. (^__^)


Setelah membuat rujukan dan melalui pembacaan, insya-Allah pendapat Sara ni mungkin akan ada sedikit kelemahan jadi teguran dan komen kalian amat Sara harapkan.


Bagi Sara, rindu itu lebihan daripada cinta. Bayangkan jikalau kita tidak suka atau benci kepada seseorang, rindukah kita padanya? Jawapannya tentu sekali tidak, bukan ? Sebab itulah. Sara katakan rindu ini adalah rentetan daripada rasa cinta, rasa sayang kepada seseorang yang amat kita kasihi. Sertailah rasa rindu itu dengan menjaga diri dan diikuti dengan rasa rendah diri kepada PENCIPTA yang telah menciptakan keindahan pada orang yang kita rindui itu.

Rindu ini merupakan salah satu daripada komponen 'software' manusia. Begitu juga dengan cinta.  Tiada seorang pun dapat membendung dan mengelak daripadanya. 'Software' itu jika tiada rosaklah dunia. 


Rindu yang hadir itu jika belum sampai masanya, mestilah diawasi kerana manusia akan dihisab atas sebab-sebab yang diharamkan dan atas hasil-hasil yang haram. Sekali pun tidak pernah rugi orang yang menjaga diri (afaf) dan menyembunyikan rasa rindu daripada orang lain, kerana beliau akan diganjari pahala, justeru Ath-Thohawi menukilkan dalam kitab Haasyi’ah Marakil Falah daripada Imam Suyuthi yang mengatakan bahawa termasuk dalam golongan syuhada di akhirat kelak ialah orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan rasa rindu itu daripada orang lain walaupun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram.

Ucapan Suyuthi itu bermaksud orang-orang yang memendam kerinduan baik lelaki mahupun perempuan, dengan tetap menjaga kehormatan dan menyembunyikan kerinduannya dengan sebab dia tidak mampu untuk mendapatkan apa yang dirindukannya dan bersabar sehingga sampai ajalnya kesan daripada kerinduan tersebut, maka dia mendapat pahala syahid di akhirat.

Kesabaran orang yang menahan diri dalam kerinduan ini amat sukar untuk dicari namun tidak mustahil. Insya-Allah moga kita tergolong dalam golongan ini. Antara orang yang menahan diri dalam kerinduan; dia bukanlah seorang yang sewenang wenang mengikut syahwat (nafsu) jua bukan orang yang suka menginjak-nginjak kehormatan manusia bahkan dia adalah seorang yang sabar, menjaga diri meskipun dalam hatinya ada kekuatan dan amat sangat menginginkan adanya ikatan dengan yang dirindui, dia tahan kekerasan jiwanya, dia ikat anggota badannya kerana semua ini masih dapat dikawal dan tertakluk di bawah kawalan dirinya. Maka berbahagialah orang-orang yang terpilih ini.

Wallahua'lam bissowab.
Syukran.
p/s : Awasilah rindu itu. Tidak salah merindui seseorang kerana Sara juga tidak terkecuali. Namun masanya belum tepat untuk itu. Tahanlah diri dengan kekuatan iman dan kekentalan jiwa. Insya-Allah sama sama kita jaga. (^_^)

Sara Assyahidah
27 Julai 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan