Belajarlah Menjadi Isteri Seorang Kader Da'wah

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Ini sebenarnya merupakan catatan pertama ana pada tahun 2014 dalam blog yang sedia usang ini. Ramai sungguh sahabat sahabiah ana yang mahu mendirikan baitul muslim. Dan ada di antara mereka merupakan aktivis-aktivis da'wah yang hebat. MasyaAllah! Tabarakallah! Oleh itu, ana alfaqirah ini mahu mencoretkan sebuah hadiah istimewa buat isteri-isteri pejuang ini agar mereka tidak berbelah bagi dalam memilih baitul muslim melalui jalan jihad. Ketahuilah kita tidak selamanya menetap di sini kerana di sana di kampung abadi negeri akhirat sedang menanti. Tanpa bekalan pasti hidup di sana tidak lagi bererti. Dan tinggallah penderitaan dan penyesalan yang tiada henti. Usah menangis jika hidup di dunia tidak seindah mimpi. Dan berbahagialah jika kamu tidak dijanjikan kemewahan duniawi. Kerana suami yang soleh itu sedang menyiapkanmu menjadi ketua bidadari di syurga nanti. Biiznillah! Moga Allah perkenankan. Ameen ya Rabbal Alamin. 

Lathifah As Suri. Ia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahawa ia memerlukan seorang muslimah yang kukuh, yang tidak lekang dan lemah oleh halangan dan rintangan dalam berdakwah. Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekadar dakwah seperti kebanyakan orang waktu itu. Bukan hanya sekadar membangunkan sebuah rumah. Imam syahid tengah dan hendak membangunkan sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tidak akan wujud, tanpa seseorang yang ia yakini keikhlasannya.

Maka -pendampingnya-harus menyedari bahawa dibahunya ada amanah yang sama besarnya dengan yang dilakukan oleh Imam Syahid. Ada ukuran waktu dan kuasa utama disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan isterinya.

Maka bagi Lathifah As Suri menjadi isteri Hasan Al Banna. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyedari bahwa ia harus bersedia jika ada waktu yang dia perlu menjalani hidup sendiri tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.

Dakwah Ikhwan yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang sungguh besar. Penjara bahkan nyawa menjadi akibat , yang bila-bila masa sedia menyapanya.

Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan memahami bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktiviti luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah di ruang rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.
Sebelum berkahwin dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak hairan jika ia menyedari betul – betul tuntutan hidup menjadi isteri seorang dai.

Malam, ia harus sanggup untuk bangun menyambut kepulangan suaminya. Walau tak jarang Imam Syahid sangat berhati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.

Lathifah tidak pernah mengeluh, walau sehari-harinya hanya ia habiskan sekeliling rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang isteri Imam Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah pengorbanan yang besungguh - sungguh menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya resah adalah, ketika salah satu anak mereka sakit kuat dan Imam Syahid harus tetap menjalani jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,"Bagaimana jika ia meninggal?". Imam Syahid hanya menarik nafas panjang, ia kemudian berkata "datuknya lebih tahu bagaimana mengurusnya."

Sejak awal lagi, Lathifah menanamkan wawasan islam kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan yang merosakkan. Ketika Imam Syahid bolak-balik keluar penjara, Lathifah berusaha bersabar dan istiqamah.Lathifah sangat menyedari sifat dan kewajipan asas seorang wanita sebagai isteri dan ibu bagi anak-anaknya. Ia mengosongkan waktunya untuk mendidik anak2nya. Ia bahagia melihat anak-anaknya berjaya dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya.Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belum dewasa. Lathifah tidak mudah menyerah. Tak ada resah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh arwah suaminya. Ia tetap berlaku didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan batasan yang Allah tentukan.

Kerananya, tidak hairan diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis.Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam Syahid inginkan berlaku dikeluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Keseorangan , Lathifah membesarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan islam.Yang dimaksud dengan wawasan islam adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita seluruh dunia Islam. Lathifah menyedari meremehkan masalah ini akan memunculkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keislamannya, akan merasa sukar untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman islam yang baik, seorang wanita akan sedar betapa penting fungsinya terhadap keluarga dan masyarakat."

Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya berjaya meraih gelaran rasmi dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi istri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, kini sebagai peguam general di Mesir. Ia juga pernah duduk di parlimen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pengajar di Universitas Kairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai pengajar kedokteran anak di Universitas Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berertinya seorang Ibu bagi keberhasilan dakwah seorang suami. Selain juga untuk anak-anaknya..

Hasan Al Banna syahid diusianya yang masih muda, sekitar 40 tahun. Setelah bertalu –talu ditembak oleh musuh-musuh Islam di sebuah jalan di Kairo.Sebenarnya Hasan Al Banna masih boleh diselamatkan, tapi kerana konspirasi politik para musuh Islam yang dipimpin oleh pengkhianat la'natullah Gamal Abden Naser, membuatkan tubuh Hasan Al Banna yang sedang sengsara dibiarkan tidak berdaya, tanpa bantuan dari sesiapapun , termasuk doktor-doktor di hospital.
Akhirnya seorang pengasas Ikhwanul Muslimun itu pun syahid menemui kekasih tercintanya, Rabbnya.

Musuh-musuh Islam pun banyak yang tertawa dan berpesta dengan syahidnya Imam, tapi sesungguhnya Hasan Al Banna tidak pernah pergi meninggalkan pengikutnya.Allah terlalu mencintai hamba-Nya yang satu ini, sehingga memanggilnya terlebih dahulu.Hal yang memilukan adalah, meskipun Ikhwanul Muslimun mempunyai puluhan ribu pengikut, tapi tak seorangpun yang diizinkan untuk menyembahyangkan jenazah beliau, kecuali ayahnya yang sudah uzur, saudara perempuan dan istrinya."




p/s : Jika ingin menjadi isteri kepada pejuang agama Allah, maka teladanilah Srikandi Haraki, Latifah binti Hussin ini. Fi Hifzillah! Barakallahu fikum buat yang bakal mendirikan baitul muslim Baitul Haraki! :)

Dipetik dari blog Naziran Nasir, http://awalperjuangan.blogspot.com.


Sara Assyahidah
20 Rejab 1435 H
20 Mei 2014 (Selasa)
5.11 Petang

Dia Sudah Bergelar 'Zaujah'

Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥





Sabda Nabi, "An-Nikahu Sunnati" - Nikah itu Sunnahku.

Sudah lama tak menulis. Tiba-tiba tulis bab nikah pula kan? Haha. Tapi tak apa. Saya faham semua pembaca mempunyai daya husnu-dzon yang tinggi. Tak begitu? Hehe. 

Semalam saya sempat memenuhi satu undangan pernikahan dari seorang sahabat satu kampus. Jarang-jarang saya dapat hadir ke majlis pernikahan orang Pahang. Jadi satu kelainan yang saya dapati ialah dari segi penyampaian tok kadinya. Alhamdulillah bertambahlah juga ilmu saya tentang rumah tangga ini.

Tahniah buat sahabat saya, Saudari Nadia atau nama glamornya 'Iqa'. Allah sudah mengangkat darjatmu ke satu lagi fasa baru dalam kehidupan. Semoga Iqa menjadi isteri yang solehah penguat hati suami. Sara hadiahkan lagu MashaAllah dari Maher Zain untuk Iqa. Sayang Iqa kerana Allah. :D 

p/s: Esok Awal Muharram. Ingat tau. Siapa yang berkemampuan untuk berpuasa, jom berpuasa! :D

Sara Assyahidah
30 Zulhijjah 1434 H
4 Nov 2013 (Isnin)
1.47 Petang

Mereka, Adik-Adik Usrah Yang 'Nakal'!


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Malam 8 Mei 2013, saya mendapat sms dari seorang adik usrah yang saya panggilnya, Ana :

A   : "Kak Sara, esok petang free tak ?"

KS : "Insya-Allah, xde pape. Kenapa na?"

A   : "Kak, esok Ana nak jumpe bleh tak? Ana ada masalah. Tak tahu nak luah kat sape?"

KS : "Tak pe, na. Insya-Allah akak free je ptg esok.:-)"

A   : "Terima kasih kak sara. Esok pkul 6 ptg kita jumpa kat surau blok seroja. Ok?"

KS : "O, ok. Insya-Allah na. Kita jumpa esok. B-)"

A    : "Insya-Allah"


Petang, 9 Mei 2013.

Saya dari bilik melangkah ke surau seroja. Kelihatan Ana sudah ada di hadapan surau. Semestinya menunggu kehadiran saya. Pintu surau tertutup rapat. Ana berwajah muram dan sayu. Saya jadi serba salah dibuatnya. Dalam fikiran saya, mampukah saya buat Ana rasa lega dengan pertemuan ini. Saya menatap wajahnya. Langsung Ana tidak senyum. Wajahnya kelat. Dalam hati saya, "Mungkin Ana ada masalah besar ni."

Tiba-tiba dari kejauhan, saya terlihat ada salah seorang adik usrah saya lari cepat-cepat masuk ke dalam surau sambil tergelak-gelak sopan dan segera menutup pintu. Saya terfikir, "Wow, excited bebeno study kat surau!" Seperti biasa, surau blok adalah 'port study' terbaik sepanjang 'study week'. Namun saya lebih memilih untuk belajar sendiri di bilik. Itu lebih 'privacy'. Dan Ana masih lagi berdiri di hadapan pintu surau.

Saya mendekati Ana.

"Ana, nampaknya ada orang kat dalam surau. Kita pergi tempat lain la." Saya risau juga kalau-kalau Ana tak selesa untuk meluahkan perasaannya jika ada orang lain kat dalam surau sebab itu saya mencadangkan tempat lain. Ya lah. Kot-kot dia nak menangis ke, takut dia segan.

Sambil mencari-cari tempat sesuai, Ana kelihatan gelisah. Saya pun pelik dengan tingkah laku Ana. Dia macam tak nak berganjak dari situ.

Saya tanya. " Kenapa na?"

Ana menjawab, "Kak Sara, kita duduk kat surau je la."

Saya dengan muka 'blur' mula curiga dengan sikap Ana.

"Ada orang dalam tu, na. Ana tak kisah ke?"

Ana dengan gelisahnya mengajak saya untuk ke surau juga. "Marilah, kak. Marilah."

Saya dah mula rasa ada yang tak kena!

Ana tolong bukakan pintu surau untuk saya, dan sebaik sahaja kaki kanan saya melangkah masuk ke dalam surau blok tu, sekumpulan awek-awek cun di hadapan saya dengan suara padu

"Selamat Hari Jadi, Kak Sara!"

Saya melopong. Tapi cepat-cepat tutup semula. Bimbang lalat masuk ke dalam mulut!

Saya berdiri je kat pintu surau tu. Seolah-olah langkah saya mati di situ. Tak tahu nak cakap apa.

Rasa kena tipu, rasa terkejut, rasa terkesima, dan rasa terharu sangat dengan adik-adik saya ni. 'Macam mana aku tak perasan tadi semua lakonan? Haha' Saya tergelak dalam hati. Tak ada bunyi. Ya lah gelak dalam hati mana ada bunyi kan. Lagi satu, jaga standard lah depan adik-adik. Haha hipokrit tak? Ish3. Nasib korang lah dapat 'mak usrah' macam ni! :P

Ana bersuara, " Jalanlah kak. Kenapa berdiri kat sini je"

Oh ya! Saya terlupa untuk menuju ke arah mereka yang telah membentuk satu bulatan dan ditengah-tengahnya terdapat satu kek, makanan-makanan lain dan air-air kotak. Rasa terkejut saya masih lagi bersisa. Saya tersenyum dan mengeleng-ngelengkan kepala sambil berkata "Pandai ea korang berdrama?".

Mereka gelak. Di atas kek itu ada tertulis, "Sanah Helwah Kak Sara". Allah.. rasa nak nangis saya dibuatnya. Tapi hilang macho kalau saya nangis nanti. Hehe control-control!

"Akak, sori satu ceri jatuh sebab kitorang merempit tadi. Hehe. So, kek tu tak sempurna sangat, kak!" Alya bersuara sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk. Saya panggil Alya dengan panggilan Ya. (Ya, nanti tolong ajar akak merempit!) Haha.




Ya Allah. Dah lah petang tu, Kuala Lipis disimbah hujan yang agak lebat dan mereka ke bandar untuk beli kek dengan hanya menaiki motosikal semata-mata untuk saya. Ya Allah, bapak terharu! Hehe (penggunaan perkataan 'bapak' di situ tidak boleh diaplikasikan dalam karangan Bahasa Melayu. Itu hanya menunjukkan ekspresi saya yang sangat terharu).


Mereka hadiahkan saya, kain pasang dan kerongsang. Haha nanti cuti ni akak cuba jahit baju kurung dengan kain pasang kamu semua bagi tu. Tak sabar rasanya nak pakai. Hehe 'sweet' tak ? (Macamlah aku ni pandai menjahit sangat! Haha mangsa menjahit baju aku dah nampak siapa hehe --->UMI!)

Kami menikmati jamuan tu dengan suap-menyuap kek dan berceloteh panjang. Disebabkan kekangan masa, ditambah pula dengan jadual saya yang agak padat, ini sahajalah peluang yang ada walaupun telah lewat 2 bulan dari tarikh sebenar.

Apa-apa pun, syok 'giler' berusrah dengan mereka! Hehe anak-anak usrah saya ni dah gile2 macam saya dah! Hmm bila lah saya nak jadi 'thiqoh' ni? Jadi contoh kepada adik-adik kan. Tapi tak boleh lah. Sebab ni la identiti saya. Susah kot nak ubah. Tapi tabik spring kat mereka sebab sudi terima naqibah yang serba kekurangan ni! Haha sekali lagi, "Apalah nasib korang dapat naqibah macam ni!"

p/s : Kalau ada anak usrah saya yang baca ni, haha kamu semua memang sporting abis! Enjoy la sepanjang usrah ngan adik-adik! Kamu semua memang banyak ilmu dan banyak yang akak belajar dari kamu! Alya, Zulfa, Ana, Fatihah, Shakinah, Nadia, Ziha----- >Sekali lagi terima lah tabik springgggg dari akak! /(^__^)


Sara Assyahidah
5 Rejab 1434 H
15 Mei 2013 (Isnin)
2.13 Petang

Tanya Sama Itu Hud Hud


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Seperti yang Sara bagitahu sebelum ni. Lagu nasyid jiwang-jiwang UNIC INTEAM ke memang Sara tak layan. Merewang sangat! Banyak berangan! Jadi apa lagi, layan sekejap lagu M.Nasir ni, antara lagu kegemaran Sara :

Tujuh puluh tiga pintu 
Tujuh puluh tiga jalan 
Yang sampai hanya satu jalan

Ribu-ribu Margasatua 
Mencari raja si Muraq 
Yang sampai hanya tiga puluh

tiga puluh

Uuh... Sang Algojo 
Uuh... nanti dulu

Lihat dunia dari mata burung 
Atau lihat dari dalam tempurung 
Yang mana satu engkau pilih 
Dalam kalut ada peraturan 
Peraturan cipta kekalutan 
Di mana pula kau berdiri 
Di sini

Uuh... Sang Algojo 
Uuh... nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini 
Untuk menyatakan kalimah sebenar 
Berikan ku kesempatan akhir ini 
Lai lai la lai lai lai lai

"Tanya sama itu hud-hud 
Lang mensilang 
Kui mengsikui 
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari"

"Tanya sama itu hud-hud 
Lang mensilang 
Kui mengsikui 
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari"

Uuh... Sang Algojo 
Uuh... nanti dulu

Tujuh puluh tiga pintu 
Tujuh puluh tiga jalan 
Yang sampai hanya satu jalan

Ribu-ribu Margasatua 
Mencari raja si Muraq 
Yang sampai hanya tiga puluh

tiga puluh

Uuh... Sang Algojo 
Uuh... nanti dulu

Berikan ku kesempatan akhir ini 
Untuk menyatakan kisah sebenarnya 
Berikan ku kesempatan akhir ini 
Lai lai la lai lai lai lai

"Tanya sama itu hud-hud 
Lang mensilang 
Kui mengsikui 
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari"

"Tanya sama itu hud-hud 
Lang mensilang 
Kui mengsikui 
Kerana dia yang terbangkan aku ke mari"

Dah selesai. 'Part' tiupan seruling tu memang best. Sara rasa seperti kembali ke dunia zaman Tok Janggut, zaman pendekar dulu-dulu. Lagu ini memang ada seni tersendiri. Nak tahu maksud lagu ni, haa google sendiri. Banyak dalam internet. Ada banyak versi. Tapi bagi saya yang sebetulnya ini kisah Nabi Sulaiman dengan Hud Hud. Tapi kisah Nabi Sulaiman ini satu pengajaran untuk kita masa ni. Lebih-lebih lagi selepas PRU13 yang entah apa-apa tu kan. Biarlah depa jawab sendiri depan Allah. Biasalah..

Kalau dah tak ingat mati,
Buatlah sesuka hati,
Dah tiba masa nanti,
Menghadap Ilahi,
Hang jawablah sendiri.




Baiklah, seminggu lebih selesai praktikum di sekolah. Rindu juga kat anak-anak murid. Kalau tengok semula hadiah-hadiah dan kad-kad ucapan selamat tinggal dari anak murid rasa sayu pula kan. Ada satu kad yang Sara terima, "Cikgu, minta maaf tak boleh bagi hadiah. Saya anak orang miskin. Tak mampu nak beli hadiah kat cikgu. Tapi saya cuba tulis kad ni untuk cikgu. ...." Allah. Macam mana saya tak sebak. Bab ni jangan dilayan. Nanti ada yang teresak-esak.

Segmen Maaf

Minggu ini minggu yang penuh peristiwa. Selain minggu mengundi, minggu ini juga minggu 'study' atau orang putih panggil 'study week'. Dan minggu ini Sara memang berazam memaafkan semua orang. Biarlah salah siapa-siapa, yang penting kalau kita sedar itu silap kita, maka meminta maaf dan memaafkan itu jalan terbaik.
Sara tak mahu lama pendam rasa tak suka sebab lama-lama akan jadi dendam. Dendam itu bahaya. Hehe :)



Nabi Sulaiman pun dalam murka, masih lagi bagi kesempatan kepada Hud-Hud untuk memberi penjelasan kenapa lambat kan? Inikan pula Sara yang bukan siapa-siapa ni. Apabila dah dengar penjelasan, Sara sudah memaafkan  dan itu bukanlah bererti kita relakan diri sekali lagi dikhianati, tapi sebagai tanda kita hargai sesebuah persahabatan. Tak lebih dari itu. Ingat pesan roomate Sara, Anis Syakirin "Biar orang buat kita, jangan kita buat orang." Terima kasih sahabat atas nasihat ni.



Kalau kita dikhianati atau disakiti lagi lepas tu, ala semua orang manusia kan? Jadi, tanya sama itu Hud-Hud la.


p/s : Mood exam sedang berlegar-legar. So, keep smiling! Jom puasa sunat Khamis esok. :)

Sara Assyahidah
 1434 H
8 May 2013 (Rabu)
8.35 Malam






Kematian Makin Hampir


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥



Hari yang mengingatkan dekatnya saat kematian tiba lagi. 
18 Mac 1991 - 18 Mac 2013 = 22 tahun hidup penuh dengan dosa. 
Bagaimana nak kembali kepada Allah dengan keadaan macam ni? 
Malu sangat dengan Allah. 
Masa yang telah berlalu begitu banyak Sara isikan dengan perkara melalaikan. 

Sara cemburu dengan sahabat-sahabat yang solehah. 
Usaha Sara masih tempang dalam perjalanan menjadi solehah. Sedihnya. 
Sara malu dengan Allah.
Hati ni masih banyak penyakit.
Selalu mengeluh.
Selalu tak sabar.
Selalu merungut.
Selalu tak redha.
Selalu tak ikhlas.
Selalu nak marah.
Allah, nak jadi solehah bukan senang.
Main niat saja terus solehah.
Tak.
Kena usaha lagi dan lagi.

Tapi..
Sara nak jadi solehah jugak!
 T_________T



Sara Assyahidah
6 Jamadil Awwal 1434 H
18 Mac 2013 (Isnin)
8.58 Malam


Ihfazillah Yahfazka - Episod 11


 Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥


Episod 11: Bidadarikah Itu?





“Akak tak layak mewakili muslimat untuk forum itu nanti. Ya Allah, ini amanat yang amat berat untuk akak, Mas. Akak sangat takut apa yang akak pesan nanti, akak sendiri tak buat dan itu sangat dibenci Allah. ” Kata Aisha menolak pelawaan Masturina itu. 

“ Tapi Kak Aisha, semua ahli Majlis Tertinggi dah setuju apabila nama akak dicadangkan.” pujuk Mas selaku Timbalan Pengerusi Exco Kerohanian pada kali ini.

“Itu kan cadangan, masih boleh dirunding. Pasti ada nama-nama lain yang lagi mantap, lagi hebat dari akak.” Rumaisha masih lagi menolak.

“Kak... Kak Aisha tentu mencintai nabi kan?” tanya Masturina.

“Allahumma solli a’la saiyidina Muhammad. Ya Allah, Mas. Akak sangat mencintai Nabi kita, Mas. Kenapa Mas tanya begitu?” tanya Aisha sambil hatinya merasakan rindu yang tidak tertahan kepada kekasih hati yang sempurna akhlaknya itu.

“Jika benar, maka tidakkah akak  mahu mengikuti salah satu sunnah baginda. Baginda Nabi jika diminta untuk membantu, maka baginda segera menghulurkan bantuan dan tidak sesekali menolak pelawaan orang yang berhajat melainkan dengan menggantikan sesuatu yang lebih baik. Sampaikanlah walau satu ayat, kak, ” pujuk Masturina.

Bukhari merekodkan Sahal Bin Saad As-Sa’adi r.a berkata: “Sesungguhnya seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dengan membawa sehelai selendang yang baru selesai ditenun, lalu ia berkata: Wahai Rasulullah! Selendang ini sengaja saya tenun dengan kedua tangan saya ini untuk saya hadiahkan kepada engkau supaya engkau memakainya. Maka Nabi saw pun mengambilnya dengan keadaan berhajat kepadanya. Setelah itu Nabi saw lalu keluar menemui kami dan memakainya sebagai sehelai kain. Lalu ada seorang di kalangan kami yang berkata: Wahai Rasulullah! Alangkah indahnya kain ini. Berikan ia kepadaku. Nabi menyahut: Ya. Lalu duduk sebentar bersama kami dalam majlis itu kemudian Baginda masuk (ke dalam rumahnya) dan terus melipat kain itu dan memberikannya kepada sahabat yang meminta tadi. Setelah kejadian itu maka berkata beberapa orang di antara kami kepada yang menerima kain tadi: Sebenarnya tindakan engkau meminta kain itu tidak baik. Bukankah Nabi saw telah memakainya dengan keadaan berhajat kepadanya, lalu engkau memintanya sedangkan engkau sendiri tahu bahawa Nabi saw tidak pernah menolak permintaan orang. Maka berkata orang tadi: Demi Allah aku tidak memintanya kerana aku mahu memakainya, tetapi aku mahu menjadikannya sebagai kain kafan bila aku mati nanti. Maka berkata Sahal (perawi hadis ini): Maka akhirnya kain itu memang menjadi kain kafannya”  

Ibnu Hibban meriwayatkan sabda Nabi saw : “Tidak ada daripada nafas anak Adam melainkan ke atasnya sedekah setiap hari bermula terbitnya matahari. Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, dari mana kami dapat bersedekah? Jawab baginda: Sesungguhnya pintu-pintu kebaikan terlalu banyak: Tasbih, tahmid, takbir, tahlil, menyuruh yang makruf, mencegah kemungkaran, membuang gangguan di jalan, memberi tunjuk ajar kepada orang yang pekak dan buta, memandu orang yang minta panduan untuk menyelesaikan hajatnya, dan engkau berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu orang yang sangat berhajat, engkau memimpin dengan kedua tangan engkau orang yang lemah, semua ini adalah sedekah dari engkau dan untuk diri engkau.”

“Astaghfirullahaladzim. Akak tahu akak salah kerana menolak pelawaan ini, Mas. Bukan akak tak ingin membantu, Mas. Tapi.. ya Allah.. Akak tak layak, Mas. Benar-benar tak layak. Akak bukanlah dari jurusan agama, bukanlah bakal ustazah, apakah semua itu nanti akan menjadi buah mulut orang, Mas? ” kata Aisha dengan nada rendah hati. Dunia sekarang jika ingin bercakap tentang agama wajib ada pentauliahan.

“Walaupun tidak secara formal, tapi akak kan banyak menghadiri kelas-kelas agama lebih-lebih lagi di Pondok? Berguru dengan Tok-Tok Guru yang hebat-hebat belaka. Akak juga pernah memegang jawatan yang saya pegang sekarang ni suatu ketika dahulu. Mahasiswa dan mahasiswi di sini sudah pun mengenali kredibiliti akak selaku mantan Timbalan Pengerusi. Mereka juga turut menghormati akak. Kak, kami semua merindui taujihat dari seorang senior seperti akak. Sekarang, bukan kami yang memilih akak, tetapi Allah. Allah yang mengilhamkan nama akak semasa kami di pihak Majlis Tertinggi berbincang tempoh hari,” jelas Mas.

“Allahurabbi. Akak anggap ini amanah Allah buat akak. Akak memang tak mampu, tapi akak akan cuba buat yang terbaik. Akak terima dengan hati yang berat, Mas. Ya Allah, innalillahi wainna ilaihi raji’un.” akhirnya Aisha terpaksa menerima.

‘Ya Allah, apakah ini berita baik ataupun berita buruk untukku. Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang lurus, jalan orang yang Kau limpahkan rahmat dan nikmat ke atas mereka’

Usai sahaja pertemuan Rumaisha dan Masturina di Surau Kampus, Rumaisha seperti biasa mengkelek beg sandang dan laptop Asusnya hingga ke depan pintu Perpustakaan. Beg sandangnya diletakkan di dalam rak yang boleh dikunci kemudian dia masuk ke perpustakaan dengan laptopnya itu. Tajuk forum nampak sahaja ringkas tapi sukar sekali untuk mengupasnya. 

‘Di mana lagi ‘Hassan Al-Banna’?’

Allah. Ini bukan calang-calang tajuk. Hmm.. insya-Allah! Tentu ada mesej dari Allah di sebalik semua ini. Hassan Al-Banna seorang yang sangat hebat. Setiap 100 tahun akan ada orang yang hebat muncul membawa Islam dan untuk abad ini, ramai yang mengatakan Hassan Al-Banna lah yang selayaknya. 

Sewaktu ketika dahulu, pernah Hafiy berkongsi tentang lelaki hebat ini. Sewaktu dia sedang melalui maqam Hassan Al-Banna dengan van bersama teman-temannya di Mesir, van itu dilarang sama sekali untuk berhenti di situ. Polis juga mengawalnya dengan rapi. Bukan sahaja orang awam bahkan kaum keluarga beliau sendiri tidak dibenarkan melawat maqam tersebut. Di sana, memanggil dengan panggilan As-syahid Imam Hassan Al-Banna pun tidak dibenarkan melainkan hanya dengan nama Pak Hassan. Begitulah secebis cerita duka ketika era pemerintahan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir sebelum Presiden Mohamed Morsy mengambil alih. Alhamdulillah, setelah wakil Ikhwanul Muslimin ini mengganti tampuk pemerintahan Kuku Besi Mubarak, Mesir yang dahulunya gersang, kini kembali subur menghijau.

 Maqam yang tidak diselengara dengan baik ketika Zaman Pemerintahan Kuku Besi Hosni Mubarak
#Semoga Allah meredhai kalian kerana saya telah mengambil gambar ini sebagai rujukan di blog saya#

Alhamdulillah setelah Ikhwanul Muslimin mengambil tampuk  pemerintahan Mesir, Maqam ini dibaik pulih.
# Abaikan orang yang ada dalam gambar tu. Ini gambar yang diambil dari Google #
# Semoga Allah meredhai kalian kerana saya telah mengambil gambar ini sebagai rujukan di blog saya #

‘Hafiy.. bagaimana keadaanmu sekarang? Ya Allah, kau bantulah dan permudahkanlah segala urusannya. Sesungguhnya dia telah memberikanku ilmu yang cukup banyak tentang Mesir, dan kini dengan izin-Mu, ilmu itu membantuku untuk forum yang akan berlangsung tiga hari lagi. Ya Allah terima kasih kerana pernah menghadirkan dia dalam hidupku. Hafiy, terima kasih untuk segalanya,’ Rumaisha tiba-tiba teringat akan memori dulu lalu berdoa untuk kesejahteraan sahabatnya itu. 

Selepas panggilan telefon dua bulan lepas, Hafiy langsung tidak mengirim apa-apa berita. Rumaisha pula sudah tekad tidak akan menghubungi Hafiy lagi. Insya-Allah inilah jalan yang sebaik-baiknya. Hanya satu sahaja pintanya iaitu biarlah redha Allah sentiasa mengiringi sahabatnya itu. 



***********************



Para hadirin ramai yang sudah memenuhi kerusi dewan. Promosi forum ini cukup hebat. Bukan sahaja pelajar dalam yang dijemput, bahkan penduduk sekitar kampus dan seluruh penuntut-penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta juga turut sama hadir termasuk para alumni kampus. 

Rumaisha cuba untuk menenangkan dirinya dengan mengalun-alunkan kalimah zikir. Tiada seorang pun yang mampu melegakan debaran dalam hatinya melainkan Kekasihnya yang Maha Agung.

Ketika menunggu di pintu masuk bersama dengan ahli panel yang lain, tiba-tiba Rumaisha disapa dari belakang.

“Rumaisha?”

“Kak Syirah!” 

Kak Ain Insyirah ? Tak sangka pula kakak naqibahnya dari Kuala Lumpur pun datang. Khabarnya, ramai juga Alumni yang sudi datang. Allah, sudah lama dia tidak bertemu mata dengan kakak naqibahnya itu setelah Kak Syirah selesai menghabiskan pengajiannya di sini.  Ada seorang lelaki di sisi Kak Syirah. Wah, makin berseri wajah pengantin baru ni!

Mereka berdakapan dan mengucup pipi masing-masing. 

“Aisha boleh! Insya-Allah!” kata semangat dari Kak Syirah sambil senyuman terukir dibibirnya.

“Biiznillah, kak! Kak, dua orang sahaja kah?” sempat lagi Rumaisha mengusik Kak Syirah.

“Bertiga, yang!” jawab Kak Syirah. Aisha sedikit terkedu. Kak Syirah mengusap lembut perutnya.

“Betulke, kak! Allah.. mabruk alaikuma!” ucap Aisha sambil mengenggam erat tangan Kak Syirah. Kak Syirah mengangguk.

“Aisha, akak rindu sangat-sangat kat Aisha. Tak apa, nanti kita cerita banyak-banyak lepas ni tau. Akak tak sabar nak tengok adik usrah akak berforum nanti.” Ujar Kak Syirah.

“Allah.. doakan Aisha, kak!” Mereka berpelukan buat kedua kalinya sebelum Kak Syirah dan suaminya masuk ke dalam dewan untuk mengambil tempat.

Setelah def-def jemputan, moderator dan ahli panel masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat masing-masing. Tuan moderator memulakan forum ‘Di mana lagi Hassan Al-Banna’.  

Syuraik dan Uwais tiba agak lewat. Alhamdulillah, mereka masih sempat mengikuti pusingan kedua. Selesai sahaja forum, Uwais bertanya kepada Syuraik,

“Syur, panel perempuan tu pelajar kampus ini ke atau jemputan dari luar?”

“Ya, dia junior dua tahun bawah kita. Amboi, panel lelaki tak mahu tanya ke, Wais?” usik Syuraik.

“Panel lelaki tu mad’u ana, mestilah ana kenal tetapi yang perempuan itu ana tak pernah tahu pula kewujudannya. Allah memberi kehebatan kepada kata-katanya. Ana kagum! Kata-katanya begitu halus dan sampai kepada maksud yang sebenar. Puitis dan membumi! Tak sangka dia junior kita.” balas Uwais. Kagum!

“Enta betul-betul tak ingat ke Wais, siapa dia?” tanya Syuraik menuntut kepastian.

“Tak. Kenapa dengan dia, Syur? Ana pernah kenal dengan dia ke sebelum ni?” pertanyaan Syuraik dibalas dengan pertanyaan. Begitu berminat untuk mengetahui tentang panelis itu dengan lebih mendalam.

“Oh, tak ada apa-apalah. Seperti yang ana bagitahu tadi, dia junior kita. Mantan Timbalan Pengerusi Exco Kerohanian dua tahun lepas.  Dia sahabat baik Fadhlin. Fadhlin pernah bagitahu ana, Aisha tak pernah tinggal solat malam, Wais.” Jelas Syuraik. Syuraik seboleh-bolehnya ingin menyembunyikan peristiwa risikan Uwais untuk gadis itu suatu ketika dahulu.

“Aisha? Namanya juga cukup lembut. Jarang sekali ana jumpa perempuan seperti dia. Walaupun umurnya lebih muda, tapi ternyata ilmunya sangat bagus,” kata Uwais sambil tersenyum.

“Em, enta jangan main-main. Nampak lembut tetapi tegas! Menurut apa yang ana tahu, ramai dah nak masuk meminang tapi lepas usha je, terus give up! Ada juga yang terus dan terus mencuba, tapi hati gadis itu seperti dikunci erat. Wanita solehah, Wais. Tentu Allah nak bagi yang terbaik buat dia.” Terang Syuraik.
      
“Ya, Syur. Mendengar tentang dia melalui enta tadi pun, ana rasa bidadara bertuah sahaja yang boleh mendapatkannya.” Sokong Uwais.

“Enta pun apa kurangnya, Wais!” kata-kata Syuraik itu membuat Uwais tersenyum lalu mengeleng-ngelengkan kepalanya. Entah mengapa dia rasa hatinya berbunga-bunga dan tiba-tiba sahaja berdebar. 

“Amin..” bibirnya pula tiba-tiba mengungkapkan perkataan itu secara tak dirancang! Dia sekadar mengaminkan sahaja perkara yang baik. Tetapi jauh di sudut hati, rasa tidak layak itu menebal.

‘Layakkah aku, insan faqir ini digandingkan dengan seorang bidadari dunia yang bagiku mungkin turun dari syurga. Ya Allah, kenapa dengan hati ini? Sejak dari tadi, ada perasaan aneh tiba-tiba singgah. Kenapa dengan aku ni? Astaghfirullah..’ 


-bersambung-

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Insya-Allah ini sebuah karya terbaru saya, jika ingin karya diteruskan tinggalkan sebarang komen tidak kisahlah kritikan atau penguat semangat. Saya perlukan sokongan dan kritikan membina untuk meneruskan karya ini.

Karya ini terlindung dibawah hakcipta terpelihara.

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _


p/s : Ikutilah episod seterusnya. :D



Sara Assyahidah
4 Rabiul Akhir 1434 H
22 Disember 2012 (Jumaat)
5.54 petang

Niqab Itu Bukan Sekadar Kain Penutup Wajah


Bismillahirrahmanirrahim


Assalamualaikum wbt

♥ Allahumma Solli A'la Sayidina Muhammad Miftahulbaabi Rahmatillah ♥

♥ Solatan Wasalaman Daimaini Bidawami Mulkillah ♥

♥ A'dadama Fi Ilmillah ♥




Wajib Atau Sunat?

Setahu saya, majoriti ulama' berpegang bahawa pemakaian niqab adalah tak wajib namun ada juga minoriti ulama' yang berpegang bahawa pemakaian niqab adalah wajib. Saya mengambil pendapat bahawa pemakaian niqab adalah tak wajib. Niqab adalah pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW. Dan ramai juga sahabiah pada zaman Rasulullah SAW yang memakai niqab. Dan ada juga sahabiah yang tidak memakai niqab. 


Niqab dan Cabaran.

Memakai niqab memang banyak cabarannya. Pertama sekali, orang akan mengata itu dan ini, kononnya kita taksub dengan agama. Dan ada yang pandang kita kononnya kita ini malaikat yang tidak pernah melakukan silap dan dosa. Tapi sekali kita buat silap, maka kita akan dikutuk dan dihina. Saya pernah melalui semua itu dan saya yakin bahawa pemakai niqab yang lain turut pernah melalui perkara ini. Bagi saya, saya tak hiraukan kata-kata orang lain. Biarlah mereka hina atau puji saya. Hinaan dan pujian tu saya anggap sama sahaja. Saya tak kisah pandangan manusia. Kalau asyik nak kisahkan pandangan manusia, bagaimana pula dengan pandangan Allah? Utamakan pandangan Allah. 


Tempat Larangan Memakai Niqab.

Mengenai tempat-tempat yang melarangkan pemakaian niqab, ia adalah kerana untuk elakkan penyamaran atau pencerobohan kerana pernah berlaku kes seperti ini di mana lelaki memakai niqab untuk masuk ke hostel perempuan dan sebagainya. Bagi saya, kalau sesetengah tempat itu menyuruh kita menanggalkan niqab, maka tanggallah. Kita amalkan apa yang kita mampu. Pentingkan amalan dalaman, dan luaran akan ikut sama. Bila berada di dalam premis tersebut, tak perlulah memakai niqab. Bila dah keluar dari premis tersebut (IPG), pakailah balik niqab itu. Kawan-kawan saya yang berniqab pun membuat perkara sama. Usah hiraukan kata-kata orang yang berkata, "Eh apa ni? Kejap pakai, kejap tak." Usah hiraukan mereka. Mereka bukannya membawa manfaat kepada kita pun. 


Amalan Itu Lebih Penting.

Pentingkanlah amalan dalaman. Jaga solat, hati, banyakkan memperbaharui niat supaya belajar erti ikhlas kerana Allah. Luaran itu tak penting sangat kerana ramai orang yang memakai pakaian sunnah tetapi tak kuat pada amalan dalaman. Banyakkanlah menuntut ilmu sahih, dan dengan ilmu sahih itu, kita akan melakukan amalan sahih. Maka iman kita turut akan meningkat. Itulah kekuatan dalaman kita. Apa-apapun, teruskan istiqamah dengan pemakaian niqab. Buatlah yang termampu kerana Allah. :) 

Wallahu ta'ala a'lam bissowab.


p/s : Harapnya kata-kata muslimah ini dapat dijadikan sumber kekuatan buat sahabat-sahabatku, para niqabis. 



Sara Assyahidah
4 Rabiul Akhir 1434 H
15 Februari 2013 (Jumaat)
12. 45 pagi