Mengapa Mereka Belum Islam?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Subhanallah berada dalam Islam ini, perasaan cukup tenang. Apabila hati senang dan gembira, ada Allah tempat bersyukur. Apabila ada masalah dan perasaan sedih menyeksa jiwa, ada Allah tempat mengadu. Sungguh lapang rasanya berada dalam lindungan Allah. Bertauhidkan Allah membuatkan saat suka dan duka menjadi manis. Semuanya manis dikala hati ini penuh dengan cinta Sang Pencipta. 

Sebab itu, Sara rasa cukup sedih apabila melihat orang-orang yang rapat dengan Sara itu tidak bertauhidkan Allah. Mereka baik, kadang-kala mereka lebih baik daripada orang Muslim itu sendiri. Budi bahasanya, bicara dan tutur katanya sangat sopan. Mereka sangat baik. Allah, Sara tidak sanggup melihat insan-insan ini menjadi kayu api dalam neraka buat selama-lamanya hanya kerana mereka bukan Islam. 


Persoalannya, bukan hanya kerana mereka tidak bertuhankan Allah tapi kerana mereka menafikan Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam. Ingin sekali Sara mengajak mereka kenal Allah. Allah itu bagaimana? Allah itu di mana? Allah ? Siapa Allah ? Siapa? 



Sungguh, jika mereka dapat merasakan apa yang orang Mukmin itu rasa apabila hati penuh dengan cinta-Nya, saat itu mereka lebih hebat belajar mengenal Allah daripada orang Islam yang biasa. Jika pembaca yang membaca ini belum Islam, Sara tidak sekali-kali memaksa kalian untuk memeluk Islam. Dan Sara tidak suka melabelkan orang yang tidak beragama Islam itu, bukan Islam tetapi Sara lebih senang jika Sara memanggil mereka, belum Islam. Islam ini bukan agama paksaan untuk mereka yang belum Islam. Jika pembaca rasakan Islam itu tidak benar dan merasakan Allah itu seperti tuhan-tuhan lain, Sara benar-benar dengan rendah hati mengajak pembaca mendalami tentang Allah. Insya-Allah, mungkin dengan cara itu hati pembaca lebih terbuka untuk tahu Islam itu benar atau sebaliknya dan Allah itu wujud atau sebaliknya. Sara tegaskan sekali lagi, Sara tidak memaksa untuk pembaca yang belum Islam memeluk Islam tapi Sara amat berharap agar pembaca-pembaca dapat sama-sama merasai kemanisan Cinta Tuhan yang Satu. 
  


p/s : Jika pembaca memeluk Islam, bukan bermaksud pembaca menjadi melayu atau memeluk melayu. Islam dan Melayu itu satu perkara yang berbeza. Melayu hanyalah bangsa yang mungkin akan hilang suatu hari nanti. Tapi Islam adalah agama iaitu pegangan hidup yang Allah janji untuk memeliharanya hingga kiamat. Oleh itu, kenalilah diri kita, nescaya kita kenal Allah. Belajar kenal Allah nescaya kita kenal Islam. (^________________^)



Sara Assyahidah
7 Rabi'ul Thani/ Rabi'ul Akhir 1433 H
29 Februari 2012 (Rabu)
9.41 Malam

Bosnia

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Sebenarnya Sara suka sangat melancong terutama melancong ke tempat orang. Tempat yang Sara nak tuju sangat-sangat [selepas ke Baitullah (Mekah)], Sara nak ke Bosnia. 
 



Capljina Photos



p/s : Doakan Sara dapat pergi ya kawan-kawan. Allah, Sara berharap sangat dapat pergi ke sana. Allahumma aamiiin. (^_~)


Sara Assyahidah
27 Februari 2012 (Isnin)
10.51 Malam

Setahun Ditarbiyah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad ♥ Alhamdulillah rupa-rupanya setahun sudah berlalu. Hidup dalam genggaman amanah ini rasanya terlalu sukar. Bukan sukar untuk buat kerja, tapi sukar untuk berada terlalu tinggi. Orang yang duduknya terlalu tinggi, kalau jatuh, pasti dia lebih sakit daripada orang yang berada di bawah. Sara teringat pesan senior semasa bertugas sebagai pengawas sekolah di SMKA Naim Libanat, "Bukan senang nak jadi pemimpin. Pemimpin, sebelah kakinya di neraka dan sebelah lagi di Syurga". Jika salah memimpin, kaki yang di sebelah neraka itulah yang akan memainkan peranannya. Jika betul pimpinannya, maka alhamdulillah selamat. Pepatah arab mengatakan, 'Ketua sesuatu kaum adalah orang suruhan mereka'. Para sahabat masing-masing menolak untuk mengisi jawatan khalifah sebaik sahaja wafatnya Rasulallah sollallahu alaihi wasohbihi wassalam. Mereka yang begitu rapat dengan nabi masih merasakan mereka tidak layak untuk memimpin orang Islam dan empayar Islam yang begitu luas pada waktu itu. Terbalik pula keadaannya dengan zaman sekarang, semua orang berpusu-pusu kononnya nak jadi pemimpin. Padahal, hidup dalam kemewahan yang dikejar mereka. Mereka bukanlah pemimpin tapi pendusta besar yang ada pada era ini. Amanah ini bukan perkara main-main. Perkara yang kita buat di sini dan wajib di'jawab' di sana. 

Lega ya Allah, setahun itu sudah berlalu. Namun cukup indah pengalaman setahun itu. Dalam tempoh tersebut, Sara dapat merasakan gelombang tarbiyah. Terima kasih buat Saudara Muhammad Fahmi selaku Pengerusi yang kata-katanya banyak menyedarkan Sara. Taujihadnya rasa begitu sampai ke hati yang gersang ini. Terima kasih kerana sudi menerima insan yang dhoif ini sebagai timbalan. Walaupun tahu diri ini tidak layak, tapi Sara rasa bersyukur kerana Allah gerakkan hati-hati mereka untuk memilih Sara. Alhamdulillah wa syukurilah, berkat kesungguhan tarbiyah ini, Sara menemukan cahaya yang selama hampir 21 tahun Sara cari. Allah.... sebelum ini Sara tahu cinta Ilahi, cinta nabi tapi sayang, Sara tak pernah rasa pun. Tahu tapi tak rasa. Sekarang apabila Allah bagi rasa ini, syukur tidak terhingga. Allah. Allah. Allah. Alhamdulillah, sekarang, Sara kenal apa itu cinta hakiki dan cinta abadi. Cinta Allah dan cinta Rasulallah solallahu alaihi wasohbihi wassalam. Sehingga lapar pun tidak terasa, dahaga pun tidak haus. Allah. Pernah satu ketika, semasa Sara demam baru-baru ini Sara tak rasa apa-apa semasa makan, pada waktu itu juga, Sara berdoa, "Ya Allah jika selama ini, nikmat rasa sedapnya makan ini mengganggu nikmat aku untuk bercinta dengan-Mu dan Kekasih-Mu maka Kau tariklah nikmat rasa pada lidah ini." Alhamdulillah Allah makbulkan doa itu walaupun demam sudah pulih. Itu yang Sara maksud dengan kata-kata tadi, lapar pun tidak terasa, dahaga pun tidak haus. Terima kasih juga buat Saudara Fauzan kerana banyak sangat membantu, memahamkan dan mengajar Sara dalam banyak hal yang Sara tak tahu. Terima Kasih kepada Saudari Izzati (Kak Ti) sebab banyak bersama Sara meniti suka dan duka dalam perjuangan setahun ini. Dan terima kasih buat seluruh ahli Biro Agama Afzan. Pengalaman berkerja bersama kalian amat bernilai dalam hidup ini. 





p/s: Maafkan Sara atas segala kelemahan dan ketidakupayaan dalam menjalankan amanah yang diberikan.  Insya-Allah sudilah maafkan Sara.




Sara Assyahidah
26 Februari 2012 (Ahad)
10.27 pagi



Mahu Menulis, Lagi Dan Lagi

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad Alhamdulillah, untuk masa yang akan datang ini, insya-Allah ruang masa Sara untuk menulis sudah kembali seperti sediakala. Insya-Allah nak menulis dan terus menulis sebab banyak perkara yang terpendam ingin Sara coretkan di sini. 



p/s : Teringat pesan A.Samad Said "Membaca, membaca, dan membaca kemudian menulislah". Konklusinya, orang yang nak menulis, kena banyak membaca. Hehe masalahnya, banyak sangatkah yang Sara dah baca ?  (^_~)

Sara Assyahidah
24 Februari 2012 (Jumaat)
1.51 pagi

Sakit Itu Penawar

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Allahumma solli a'la Muhammad Alhamdulillah dengan berkat ruang dan masa yang Allah taala beri pada tengahhari ni, Sara berpeluang untuk menulis lagi. Keadaan cuaca di Malaysia ni telah menyebabkan ramai yang demam. Alhamdulillah Sara tak terkecuali. Sebaik sahaja pulang dari Kuala Lumpur hujung minggu lepas, demam makin menjadi-jadi. Setiap kali sakit, mesti terfikir, aku ni tak lama dah nak menghadap Ilahi. Teringat pada kata-kata seorang hamba Allah, kita ni kalau sakit, bibir tu tak lekang menyebut nama Allah. Nak duduk, (Allah). Nak tidur, (Allah). Nak bangun, (Allah). Kalau sihat, susah sekali nak sebut Allah. Itulah kita, saat sakit adalah saat rapatnya kita dengan Allah. Jadi bersyukurlah jika kita ditimpa sakit. Jangan mengeluh. Allah begitu rindu dan sayang kepada kita sehingga dia beri kita sakit untuk bersihkan dosa kita. 

 "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri"
 (Surah Al An'am, ayat 42)

"Tidak ada satu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan duka cita mahupun penyakit, bahkan sebatang duri yang menusuk anggota tubuhnya sekalipun melainkan akan dihapuskan Allah sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya dengan yang demikian itu." 
 (Hadis Muttafaqun Alaih)



p/s : Oleh itu, jika kita melawat orang sakit, jangan lupa minta dia doakan untuk kita. Orang yang kurang dosa, insya-Allah doanya cepat dimakbulkan.

Sara Assyahidah 
18 Februari 2012 (Sabtu)
12.40 tengah hari